Syi’ah dan al-Qur’an [3]

Oleh: Syaikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki

3. Ayat al-Mubahalah

Iaitu firmanNya yang di dalam (surah Ali Imran (3): 61)”Sesiapa yang membantahmu mengenai (kisah ‘Isa) sesudah datang ilmu (yang menyakinkan kamu), maka katakanlah (kepadanya): Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubalahah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.”

Semua ulama Tafsir Sunnah dan Syi’ah bersepakat bahawa ayat al-Mubahalah diturunkan kepada lima manusia suci; Muhammad, ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Di sana terdapat para sahabat lelaki tetapi beliau tidak memanggil seorang pun daripada mereka selain daripada ‘Ali, Hasan dan Husain. Kemudian di sana juga terdapat Ummahat al-Mukminin dan wanita-wanita Bani Hasyim, tetapi beliau tidak memanggil seorangpun daripada mereka selain daripada anak kandungnya Fatimah al-Zahra’ AS.

Satu hakikat yang tidak dapat disembunyikan lagi oleh orang yang mempunyai pandangan yang tajam bahawa maksud Anfusa-na (diri kami) di sini ialah saudara Rasulullah SAW yang kedudukannya di sisi Rasulullah SAW samalah dengan kedudukan Harun di sini Musa. Beliau ialah Imam Amiru l-Mukiminin ‘Ali AS kerana Allah menjadikannya (‘Ali AS) di dalam ayat ini nafs Muhammad SAW (diri Muhammad itu sendiri).

Demi Allah sesungguhnya itu adalah keistimewaan yang besar yang dikhususkan oleh Allah SWT kepada mereka dan tidak ada orang lain selain daripada mereka dari umat ini. Ibn Hajr telah menyebutkannya di dalam al-Sawa’iq al-Muhriqah di dalam bab kesebelas riwayat daripada al-Dar al-Qutni bahawa ‘Ali di majlis Syura (‘Umar) telah berhujah dengan menyatakan: Aku menyeru kalian dengan nama Allah adakah kalian seorang yang lebih hampir kepada Rasulullah dari segi kekeluargaan selain daripadaku? Dan siapakah yang telah dijadikan dirinya oleh beliau seperti dirinya sendiri? Anak-anaknya seperti anak-anaknya dan wanita-wanitanya seperti wanita-wanitanya selain daripadaku? Mereka menjawab: Allahuma la. Wahai Tuhanku! Tidak ada seorang pun selain daripada anda sekeluarga. Seorang penyair yang memuji Imam ‘Ali AS mengemukakan syairnya:

Dia di dalam ayat al-Tabahul adalah diri Nabi sendiri
Tiada selain daripadanya (‘Ali) yang dimaksudkan dengannya.

Kemudian hadith al-Mubahalah adalah masyhur dan disebutkan oleh Ahli Tafsir, Hadith dan Sirah. Mereka menulis peristiwa itu pada tahun kesepuluh Hijrah iaitu tahun Mubahalah. Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib50  berkata: Ketahuilah, sesungguhnya riwayat ini adalah seperti disepakati  kesahihannya di kalangan Ahli-ahli Tafsir, Hadith dan lain-lain.

Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf51  mengenai ayat al-Mubahalah berkata: Ianya diriwayatkan manakala Rasulullah SAW menyeru Kristian Najran untuk bermubahalah, mereka berkata: Kami akan pulang dan kami akan membuat keputusannya. Manakala mereka pergi, mereka berkata kepada ‘Aqib seorang yang pintar mereka, wahai hamba al-Masih apa pandangan anda? Dia menjawab: Demi Allah sesungguhnya kalian telah mengetahui bahawa sesungguhnya Muhammad adalah seorang Nabi yang diutuskan. Dia telah mendatangi kalian dengan keterangan daripada Tuhan kalian. Demi Allah tidak ada satu kaumpun yang pernah bermubahalah dengan seorang Nabi sehingga yang kecil dan besar mereka dapat hidup. Sekiranya kalian lakukan, nescaya kalian akan binasa. Dan sekiranya kalian enggan bermubahalah maka dia akan membiarkan agama kalian dan kalian kekal dengan agama kalian. Lantaran itu ucaplah selamat tinggal kepada lelaki itu dan kembalilah ke tempat kalian.

Maka merekapun datang kembali menemui Rasulullah SAW pada ketika itu beliau sedang mendukung Husain, memegang tangan Hasan, Fatimah berjalan di belakangnya dan ‘Ali di belakang Fatimah AS. dan bersabda:Tidakkah aku telah menyeru kalian maka berimanlah. Lalu Bisyop Najran menjawab: Wahai kaum Nasara! Sesungguhnya aku sedang melihat kepada muka-muka mereka, sekiranya Allah mahu menghilangkan bukit dari tempatnya, nescaya Dia akan menghilangkannya melalui kemuliaan muka-muka mereka. Justeru itu janganlah kalian bermubahalah, nanti kalian akan binasa, dan tidak tinggal lagi seorang Nasranipun di bumi ini hingga di Hari Kiamat. Mereka berkata: Wahai Abu Qasim, kami fikir kami tidak akan bermubahalah dengan anda sebaliknya kami mengakui anda di atas agama anda sementara kami kekal di atas agama kami. Nabi SAW menjawab:”Sekiranya, kalian enggan bermubalahah, maka masuklah Islam. Kalian akan dilayani dengan baik dan mendapat hak seperti mereka.”

Lantas mereka menolaknya, kemudian beliau SAW bersabda: Aku melepaskan kalian. Mereka menjawab: Kami tidak mampu untuk memerangi Arab, justeru itu kami membuat perdamaian dengan anda supaya anda tidak memerangi kami, menakut-nakutkan kami dan memaksa kami supaya meninggalkan agama kami. Sebagai balasan kami akan memberikan kepada anda setiap tahun dua ribu Hillah, seribu pada bulan Safar, dan seribu pada bulan Rajab, dan tiga puluh baju besi biasa.

Maka beliau SAW mengadakan perdamaian dengan mereka dengan syarat-syarat tersebut. Beliau bersabda: Demi diriku di tangannya sesungguhnya kebinasaan telah jelas ke atas ahli Najran. Dan sekiranya mereka bermubahalah, nescaya mereka bertukar menjadi kera dan babi serta lembah ini menjadi api membakar mereka. Allah SWT akan melenyapkan Najran dan penduduk-penduduknya sekali sehingga burung yang hinggap di atas pokok.” Manakala genap setahun mereka dibinasakan (kerana tidak menepati janji mereka).

Daripada ‘Aisyah RD: Sesungguhnya Rasulullah SAW keluar dengan meletakkan kain hitam di atasnya. Maka Hasan pun datang, lalu beliaupun memasukkannya, kemudian Husain maka beliau memasukkannya, kemudian Fatimah, kemudian ‘Ali, lalu beliau membaca ayat at-Tathir (Surah al-Ahzab (33):33)”Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”

Ini menunjukkan tidak ada dalil yang lebih kuat daripada ini tentang kelebihan Ashab al-Kisa’ AS. Aku berkata: Ianya suatu kemuliaan yang sejati dan penghormatan yang agung di mana Dia tidak akan mengurniakan seorangpun dengannya sebelum dan selepas mereka. Dan ketahuilah sesungguhnya hadith-hadith muktabar yang diriwayatkan adalah mutawatir tentang turunnya ayat ini mengenai Ahlu l-Bait AS, ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. Ianya telah dicatat oleh Ahli-ahli Tafsir, Hadith dan Sirah. Semuanya mencatat peristiwa-peristiwa tahun kesepuluh Hijrah iaitu Tahun Mubahalah.

Di sini aku ingin mengemukakan kepada pembaca yang budiman, sebahagian daripada nama-nama para imam Ahlu s-Sunnah wal-Jama’ah yang menulis mengenai seperti berikut:

Muslim di dalam Sahihnya52  mengatakan bahawa Qutaibah bin Sai’d dan Muhammad bin ‘Ubbad telah memberitahukannya kepada kami dengan lafaz yang hampir sama. Mereka berdua berkata: Hatim telah memberitahukan kami (iaitu anak lelaki Ismail) daripada Bakir bin Miswar daripada ‘Amir bin Sa’ad bin Abi Waqqas daripada bapanya dia berkata: Muawiyah bin Abu Sufyan memerintahkan Sa’ad bahawa dia berkata: Apa yang menegah anda dari mencaci Abu Turab (‘Ali AS)? Maka dia menjawab: Aku mengingati tiga perkara di mana Rasulullah SAWA mengucapkan kepadanya. Justeru itu aku sekali-kali tidak akan mencacinya kerana jikalaulah aku mempunyai satu perkara sahaja adalah lebih aku cintai daripada segala nikmat; sehingga dia berkata: Manakala turun ayat al-Mubahalah: Maka katalah:”Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu.” Maka Rasulullah SAW menyeru ‘Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain. Dia bersabda: Allahumma Haula’ Ahli (Wahai Tuhanku! Mereka itu adalah keluargaku).

Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya53 berkata:’Abdullah telah memberitahukan kami dia berkata:Bapaku memberitahuku dia berkata: Qutaibah bin Sa’id dan Hatim bin Isma’il telah memberitahukan kami daripada Bakir bin Mismar daripada Amir bin Saad daripada bapanya dia berkata: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda kepadanya: Dia berkata: Manakala turun ayat al-Mubahalah maka beliau SAW menyeru ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain dan bersabda:Wahai Tuhanku, mereka itulah keluargaku.

Al-Tabari di dalam Jami’ al-Bayan54  telah mengeluarkan banyak hadith-hadith mengenai ayat al-Mubahalah dengan saluran yang bermacam-macam daripada Zaid bin ‘Ali al-Sudi, Qatadah, Thana bin Zaid dan daripada al-Yasykari.

Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur55  daripada Jabir dia berkata di akhirnya: Jabir berkata: Anfusa-nawa anfusa-kum (diri kami dan diri kamu):Rasulullah SAW dan ‘Ali AS wa abnaa-na (anak-anak lelaki kami):Hasan dan Husain dan Nisaa-ana(wanita-wanita kami): Fatimah.

Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul56  berkata pada akhirnya:Sya’bi berkata: Abnaa-na (anak-anak lelaki kami):Hasan dan Husain dan Nisaa-na (wanita-wanita kami):Fatimah, Wa anfusa-na (diri-diri kami):’Ali bin Abi Talib AS.

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi’ al-Mawaddah57  meriwayatkan bahawa ‘Ali bin Abi Talib AS adalah nafs Rasulullah (diri Rasulullah sendiri) sejajar dengan nas tersebut.

Al-Syablanji di dalam Nur al-Absar58  menyatakan bahawa maksud Nisaa-na (wanita-wanita kami) ialah Fatimah, Abnaa-na (anak-anak lelaki kami) ialah Hasan dan Husain, Anfusa-na (diri-diri kami) ialah nafsu-hu dirinya sendiri dan diri ‘Ali AS.

Muhibbudin al-Tabari di dalam Dhakha’ir al-‘Uqba.59
Al-Kanji al-Syafi’i di dalam Kifayah al-Talib.60
al-Hakim di dalam al-Mustadrak.61
Abu Nu’aim di dalam Dala’il al-Nubuwwah.62
al-Baghawi di dalam Ma’alim al-Tanzil.63
Fakhruddin al-Razi di dalam Mafatih al-Ghaib.64
Al-Dhahabi di dalam al-Talkhisnya.65
Ibn al-Athir al-Jazari di dalam Usd al-Ghabah.66
Sibt al-Jauzi di dalam Tadhkirah al-Huffaz.67
Al-Qurtubi di dalam Jami’ li Ahkam al-Qur’an.68
Al-Baidhawi di dalam Anwar al-Tanzil.69
Ibn Hajr al-‘Asqalani di dalam al-Isabah.70

Syaikh Muhammad bin Talhah al-Syafi’i di dalam Matalib al-Su’ul,71   menyatakan bahawa ayat al-Mubahalah telah diriwayatkan oleh perawi-perawi yang thiqah bahawa ianya diturunkan pada ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS.

Dan ramai lagi bilangan para imam Ahlu s-Sunnah yang aku tidak dapat menyebutkan nama mereka di dalam buku ini. Semuanya menegaskan bahwa ayat ini diturunkan kepada lima manusia yang suci. Imam Bahrani telah menyatakan di dalam Ghayah al-Maram72   bahawa ayat ini telah diturunkan kepada ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. melalui sembilan belas hadith menurut Ahlu s-Sunnah dan lima belas hadith menurut Syi’ah. Ayatullah al-Najafi telah menyebutkan nama-nama para ulama Ahlu s-Sunnah yang menyatakan bahawa ayat al-Mubahalah diturunkan kepada lima manusia yang suci di dalam Ta’liqatuhu ‘Ala Ihqaq al-Haq.73

Justeru itu aku membuat kesimpulan bahawa khalifah yang wajib selepas Rasulullah SAW ialah ‘Ali bin Abi Talib AS kerana ‘Ali di dalam ayat tersebut ialah nafs Muhammad SAW. Dengan ilmunya, akhlaknya, kemuliaannya, keberaniannya, lemah lembutnya, kasihan belasnya terhadap orang-orang yang lemah, garangnya terhadap orang yang zalim dan kedudukannya yang tinggi di sisi Allah selain daripada kenabian, bersandarkan sabda Nabi SAW maksudnya:”Anda di sisiku sepertilah kedudukan Harun di sisi Musa hanya tiada Nabi selepasku.” Lantaran itu seorangpun tidak harus mendahuluinya kerana ‘mendahuluinya’ sepertilah mendahului Rasulullah SAW. Oleh itu berwaspadalah anda dan insaflah wahai pembaca yang budiman.

4. Ayat al-Mawaddah

Iaitu firmanNya dalam (Surah al-Syu’ara (42): 23):”Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan (al-qurba). Dan siapa yang mengerjakan kebaikan (al-Hasanah) akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.”

Ahli Tafsir Syi’ah bersepakat bahawa ayat tersebut diturunkan secara khusus kepada Ahlu l-Bait; ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Demikian juga kebanyakan Ahli Tafsir Ahlu s-Sunnah wal-Jama’ah di dalam buku-buku Sahih dan Musnad mereka mengakui bahawa ayat tersebut diturunkan kepada ‘itrah yang suci. Tetapi terdapat sebilangan kecil daripada mereka yang membuat pentafsiran yang menyalahi apa yang diturunkan Allah SWT.

Ahlu l-Bait AS dan para ulama Syi’ah bersepakat bahawa perkataaan al-Qur’ba di dalam ayat tersebut ialah kerabat Rasulullah SAW; ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Merekalah orang yang paling rapat dengan Rasulullah SAW. Dan perkataan al-Hasanah (kebaikan) bererti kasih sayang kepada mereka dan menjadikan mereka imam, kerana Allah amat mengampuni orang yang mewalikan mereka.

Dan ini adalah satu perkara yang disepakati oleh kami kerana ianya merupakan suatu kepastian kerana banyak hadith-hadith muktabar mengenainya. Kami akan kemukakan kepada pembaca kami yang budiman beberapa hadith yang muktabar menurut Ahlu s-Sunnah wa l-Jama’ah seperti berikut:

Ahmad bin Hanbal telah meriwayatkan di dalam Manaqib, al-Tabrani, al-Hakim dan Ibn Abi Hatim daripada ‘Abbas sebagaimana telah diriwayatkan oleh Ibn Hajr di dalam pentafsiran ayat 14 daripada ayat-ayat yang telah dinyatakan di dalam fasal pertama daripada bab sebelas daripada al-Sawa’iqnya dia berkata: Manakala turunnya ayat ini mereka bertanya: Wahai Rasulullah! Siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau SAW menjawab: ‘Ali, Fatimah dan dua anak lelaki mereka berdua.

Hadith ini juga telah dicatatkan oleh Ibn Mardawaih,74  diriwayatkan daripada  Ibn ‘Abbas oleh Ibn Mundhir, al-Muqrizi, al-Baghawi, al-Tha’labi di dalam tafsir-tafsir mereka. Al-Suyuti di dalam Durr al-Manthur, Abu Nu’aim di dalam Hilyahnya, al-Hamawaini di dalam al-Fara’id, al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul dan Ibn Maghazili di dalam al-Manaqib, al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf,75  Muhibbuddin al-Tabari di dalam Dhakha’ir al-‘Uqba,76  Talhah al-Syafi’i di dalam Matalib Su’ul,77 Abu Sa’id di dalam Tafsirnya,78 al-Nasafi di dalam Tafsirnya,79 Abu Hayyan di dalam Tafsirnya,80  Ibn Sibagh al-Maliki di dalam Fusul al-Muhimmah,81 al-Hafiz al-Haithami di dalam al-Majma’,82  al-Kanji al-Syafi’i di dalam Kifayah al-Talib.83

Al-Qastalani di dalam al-Mawahib, berkata: Allah memastikan kasih sayang kepada semua kerabat Rasulullah SAW dan mewajibkan kasih sayang sebahagian daripada Ahlu l-Baitnya AS dan zuriatnya. Justeru itu Dia berfirman dalam (Surah al-Syura'(42):23)…..”Katakanlah: Aku tidak meminta upahmu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan.” al-Zurqani di dalam Syarh al-Mawahib,84 al-Syablanji di dalam Nur al-Absar,85  Ibn Hajr di dalam Sawa’iq al-Muhriqah,86 al-Suyuti di dalam ‘Ihya al-Mayyit di Hamisy al-Ithaf.87

Al-Bukhari di dalam Sahihnya,88 daripada Ibn ‘Abbas RD bahawa dia ditanya mengenai firmanNya:…”kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan.” Dia menjawab: Ianya adalah kerabat Rasulullah SAW. Al-Tabari di dalam Tafsirnya,89  daripada Sa’id bin Jubair tentang firmanNya, Surah al-Syura'(42):23)…..”Katakanlah: Aku tidak meminta upahmu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang kepada kekeluargaan.” Dia menjawab: Ianya adalah kerabat Rasulullah SAW.

Ibn Hajr al-‘Asqalani di dalam al-Kafi al-Syafi fi Takhrij Ahadith al-Kasysyaf,90 berkata: al-Tabrani, Ibn Abi Hatim dan al-Hakim telah meriwayatkannya di dalam Manaqib al-Syafi’i daripada Husayn Asyqar daripada Qais bin al-Rabi’ daripada A’masy daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas ditanya: Wahai Rasulullah! Siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab:’Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.

Al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi’ al-Mawaddah,91 berkata: Ahmad telah meriwayatkan di dalam Musnadnya dengan sanadnya daripda Sa’id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas RD bahawa ayat ini diturunkan kepada lima orang. Al-Tabrani di dalam Mu’jam al-Kabirnya menyatakan ayat ini diturunkan kepada lima orang.

Ibn Abi Hatim di dalam Tafsirnya dan al-Hakim di dalam al-Manaqibnya menyatakan ayat ini diturunkan kepada lima orang. Al-Wahidi di dalam al-Wasit, Abu Nu’aim di dalam Hilyah al-Auliya’, al-Tha’labi di dalam Tafsirnya, al-Hamawaini di dalam Fara’id al-Simtin, Abu Bakar bin Syahabbuddin al-Syafi’i dalam Rasyfah Sadi92 semuannya meriwayatkan bahawa ayat tersebut di turunkan kepada lima orang.

Al-Mulla di dalam Sirahnya meriwayatkan sebuah hadith:”Sesungguhnya Allah telah mewajibkan ke atas kalian kasih sayang terhadap kerabatku dan aku bertanyakan kalian tentang mereka di hari esok.” Ahmad di dalam Manaqib dan al-Tabrani di dalam al-Kabir meriwayatkan daripada ‘Abbas RD dia berkata: Manakala turunnya ayat ini mereka bertanya: Wahai Rasulullah SAW siapakah kerabat kamu yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab: ‘Ali, Fatimah, dan kedua-dua anak lelaki mereka.

Al-Baghawi dan al-Tha’labi meriwayatkan di dalam Tafsir mereka daripada ‘Ibn Abbas RD dia berkata: Manakala turunnya ayat  (Surah al-Syu’ara'(42):23), sebahagian orang ramai pula berkata: Beliau hanya menghendaki supaya kita mengasihi kerabatnya. Lantas Jibrail memberitahukan Nabi SAW tentang tuduhan mereka. Maka turunlah ayat  (Surah al-Syu’ara'(42):24) “Bahkan mereka mengatakan: Dia (Muhammad) telah mengada-adakan dusta terhadap Allah.” Maka sebahagian mereka pula berkata: Wahai Rasulullah kami menyaksikan sesungguhnya anda adalah seorang yang benar. Maka turunlah pula  (Surah al-Syu’ara'(42):25): “Dan Dialah yang menerima taubat dari hamba-hambaNya dan memaafkan kesalahan-kesalahan dan mengetahui apa yang kamu kerjakan.”

Al-Tabrani di dalam al-Ausat dan al-Kabir telah meriwayatkan daripada Abu Tufail sebuah khutbah Hasan AS:Kami daripada Ahlu l-Bait yang telah difardhukan Allah untuk mengasihi mereka dan menjadikan mereka pemimpin. Maka beliau berkata:Di antara apa yang telah diturunkan ke atas Muhammad SAW ialah:Katakanlah:”Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” Di dalam riwayat yang lain:Kami adalah daripada Ahlu l-Bait yang telah fardhukan Allah ke atas setiap Muslim mengasihi mereka. Maka turunlah ayat (Surah al-Syu’ara(24):23):”Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun ke atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan.” Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.”

Al-Sudi meriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas mengenai firmanNya:”Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri” dia berkata: al-Muawaddah (cinta) terhadap kerabat keluarga Muhammad SAW.

Al-Hakim di dalam al-Mustadrak93   dengan membuang sanad-sanadnya daripada ‘Umar bin ‘Ali daripada bapanya daripada ‘Ali bin Husain dia berkata:Hasan bin Ali berpidato ketika pembunuhan ‘Ali AS. Beliau memuji Tuhan hingga akhirnya beliau berkata:”Kami adalah daripada Ahlu l-Bait yang dihilangkan kekotoran mereka oleh Allah dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya. Dan kamilah Ahlu l-Bait yang difardhukan Allah ke atas setiap Muslim supaya mengasihi mereka. Maka beliau berkata: Allah berfirman kepada NabiNya: Katakanlah ‘Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun…..”

Al-Dhahabi juga meriwayatkan hadith tersebut di dalam al-Talkhisnya.94 Al-Zamakhsyari di dalam al-Kasysyaf95  berkata: Manakala ayat tersebut diturunkan, ada orang bertanya: Wahai Rasulullah, siapakah kerabat anda yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau menjawab:’Ali, Fatimah, dan kedua-dua anak lelaki mereka.

Dan diriwayatkan daripada ‘Ali AS: Aku merayu kepada Rasulullah SAW tentang hasad dengki manusia terhadapku. Maka beliau menjawab: Tidakkah anda meridhai bahawa anda di kalangan empat orang yang pertama akan memasuki syurga? Aku, anda, Hasan dan Husain…..

Al-Karimi meriwayatkan daripada ‘Aisyah dengan sanadnya daripada ‘Ali RD. al-Tabrani meriwayatkannya daripada Abi Rafi’ di dalam Takhrij al-kasysyaf daripada Nabi SAW: Diharamkan syurga ke atas orang yang menzalimi Ahlu l-Baitku dan menyakitiku pada itrahku. Hadith ini juga telah diriwayatkan oleh al-Tha’labi di dalam al-Takhrij al-Kasysyat. Al-Khawarizmi di dalam Maqtal al-Husain,96 Ibn Batriq di dalam al-Umdah97  daripada Musnad Ahmad dengan membuang beberapa sanad daripada Sa’id bin Jubair daripada Ibn ‘Abbas bahawa ayat tersebut telah diturunkan kepada lima orang.

Muhammad bin Talhah al-Syafi’i dalam Matalib al-Su’ul98  berkata: Merekalah dhawi l-Qurba di dalam ayat tersebut, ianya telah diterangkan dan diperakui oleh perawi-perawi hadith di dalam musnad-musnad mereka daripada Jubair daripada ‘Ibn ‘Abbas manakala turunnya firmanNya:”Katakanlah: Aku tidak meminta kepadamu sesuatu upahpun atas seruanku kecuali kasih sayang dalam kekeluargaan. Dan siapa yang mengerjakan kebaikan akan Kami tambahkan baginya kebaikan pada kebaikannya itu. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Mensyukuri.” Mereka bertanya wahai Rasulullah SAW: Siapakah mereka yang diwajibkan ke atas kami mengasihi mereka? Beliau SAW menjawab:’Ali, Fatimah, Hasan dan Husain.

Al-Wahidi dan al-Tha’labi meriwayatkan hadith ini dengan sanadnya al-Tha’labi menyatakan: Ketika Rasulullah SAW melihat kepada ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain beliau bersabda: Aku memerangi orang yang memerangi kalian dan berdamai dengan orang yang berdamai dengan kalian. Al-Hijazi di dalam al-Wadhih99  berkata: Mereka itu ialah ‘Ali, Fatimah kedua-dua anak lelaki mereka berdua. Dia berkata lagi: Pengertian ini telah diriwayatkan oleh Rasulullah SAW yang telah diterangkan oleh Allah SWT.

Al-Kanji al-Syafi’i di dalam Kifayah al-Talib100  dengan membuang beberapa sanad daripada Jabir bin ‘Abdullah, berkata: Seorang badwi datang kepada Nabi SAW dengan berkata: Wahai Muhammad bentangkan ke atasku Islam. Maka dia berkata: Kami naik saksi bahawa tiada tuhan melainkan Dia yang Tunggal tiada sekutu bagiNya dan sesungguhnya Muhammad adalah hambaNya dan pesuruhNya. Dia bertanya: Adakah anda meminta upah dariku ke atasnya? Beliau menjawab: Tidak! Melainkan mengasihi kerabatku. Dia bertanya: Kerabatku atau kerabat anda? Beliau menjawab: Kerabatku. Dia menjawab: Sekarang aku membai’ah anda, dan bagi orang yang tidak mencintai anda dan mencintai kerabat anda, maka laknat Allah ke atas mereka. Maka Nabi SAW bersabda: Amin…..Buatlah rujukan kepada buku-buku hadith karangan Ahlu s-Sunnah wal-Jama’ah, nescaya anda akan mendapati hadith-hadith yang banyak mengenainya.

Ayatullah Mar’asyi al-Najafi di dalam Ta’liqatuhu ‘Ala Ihqaq al-Haqa’iq101   karangan al-Sa’id al-Syahid Nur Allah al-Tastari, telah mengumpulkan hadith-hadith yang banyak dari rujukan-rujukan Ahlu s-Sunnah dengan menyebutkan perawi-perawi mereka. Begitu juga al-‘Allamah al-Amini di dalam al-Ghadir.102

Justeru itu rujukan-rujukan Ahlu s-Sunnah sendiri telah mengukuhkan dakwaan Syi’ah kerana terdapat hadith-hadith yang muktabar dan mutawatir tentang hak ‘Ali dan keluarganya AS. Sesungguhnya kebenaran terserlah wa l-hamdulillah.

Ringkasnya, dengan ayat ini orang yang menjadi imam dan khalifah selepas Rasulullah SAW secara langsung ialah imam ‘Amiru l-Mukmimin ‘Ali AS. Kerana ayat tersebut membuktikan bahawa mengasihi ‘Ali AS adalah wajib kerana Allah memberikan pahala kepada orang yang mengasihi kerabatnya. Oleh itu jika kesalahan berlaku daripada mereka maka kasih sayang kepada mereka wajib dihentikan kerana firmanNya di dalam (Surah al-Mujadalah(58): 22):”Kamu tidak akan mendapati sesuatu kaum yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, saling berkasih sayang dengan orang-orang yang menentang Allah dan RasulNya.”

Dan selain daripada ‘Ali AS adalah tidak maksum. Oleh itu, beliaulah imam secara langsung. Ayatullah al-‘Uzma al-Syahid al-Nur al-Tastari di dalam buku Ihqaq al-Haqa’iq berkata: Orang-orang Syi’ah mengemukakan dalil-dali tentang keimamahan ‘Ali AS terhadap Ahlu s-Sunnah bukanlah suatu perkara yang wajib, malah ianya suatu amalan sukarela kerana Ahlu s-Sunnah wal-Jama’ah telah bersetuju sesama mereka tentang keimamahan ‘Ali AS selepas Rasulullah SAW. Tetapi perbezaannya Syi’ah menafikan wasitah103 sedangkan Ahlu s-Sunnah menetapkannya. Justeru itu ianya dikemukakan  oleh orang-orang yang menetapkannya (al-Muthbit) dan bukan orang yang menafikannya sebagaimana telah ditetapkan di dalam kaedah usul fiqh melainkan mereka telah mencari ijmak dengan mengingkari keimamahannya secara mutlak. Lantaran itu Syi’ah wajib mengemukakan dalil. Dan Allah adalah Penunjuk kepada jalan yang benar.

Catatan Kaki:

   50. Mafatih al-Ghaib, III, hlm. 20.
51. al-Kasysyaf, I, hlm. 482.
52. Sahih, VII, hlm. 120.
53. al-Musnad, I, hlm. 185.
54. Jami’ al-Bayan, III, hlm. 192.
55. al-Durr al-Manthur, II, hlm. 38.
56. Asbab al-Nuzul, hlm. 47.
57. Yanabi’ al-Mawaddah, hlm. 43.
58. Nur al-Absar, hlm. 101.
59. Dhakha’ir al-‘Uqba, hlm. 25.
60. KIfayah al-Talib, hlm. 54.
61. al-Mustadrak, III, hlm. 150.
62. Dala’il al-Nubuwwah, hlm. 297.
63. Ma’alim al-Tanzil, I, hlm. 302.
64. Mafatih al-Ghaib, VIII, hlm. 85.
65. al-Takhis, III, hlm. 150.
66. Usd al-Ghabah, IV, hlm. 25.
67. Tadhkhirah al-Huffaz, hlm. 17.
68. Jami’ li Ahkam al-Qur’an, III, hlm. 104.
69. Anwar al-Tanzil, II, hlm. 22.
70. Al-Isabah, II, hlm. 503.
71. Matalib, al-Su’ul, hlm. 7.
72. Ghayah al-Maram, hlm. 300.
73. Ta’Liqatuhu ‘Ala Ihqaq al-Haq, hlm. 46.
74. al-Nabhan, al-Arba’in, hlm. 90.
75. al-Kasysyaf, II, hlm. 339.
76. Dhakha’ir al-‘Uqba, hlm. 25.
77. Matalibal-Su’ul, hlm. 8.
78. Hamisyh Mafatih al-Ghaib, VI, hlm. 665.
79. Tafsir al-Nasafi, hlm. 99.
80. Tafsir Abu Hayyan, VII, hlm. 156.
81. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 12.
82. Majma’ al-Zawaid, IX, hlm. 168.
83. Kifayah al-Talib, hlm. 31.
84. Syarh al-Mawahib, VII, hlm. 3 & 21.
85. Nur al-Absar, hlm. 112.
86. al-Sawa’iq al-Muhriqah, hlm. 105.
87. Ihya’ al-Mayyit, 101 & 135.
88. Sahih, VI, hlm. 129.
89. Jami’ al-Bayan, XXV, hlm. 14-15.
90. al-Kafi al-Syafi’i, hlm. 145.
91. Yanabi’ al-Mawaddah, hlm. 106.
92. Rasyfah al-Sadi, hlm. 21…106.
93. al-Mustadrak, III, hlm. 172.
94. al-Talkhis, III, hlm. 172.
95. al-Kasysyaf, III, hlm. 402.
96. Maqtal al-Husain, hlm.1.
97. al-Umdah, hlm. 23.
98. Matalib al-Su’ul, hlm. 3.
99. al-Wadhih, XXV, hlm. 19.
100. Kifayah al-Talib, hlm. 31.
101. Ta’liqatuhu ‘Ala Ihqaq al-Haqa’iq, III, hlm. 2 & 23.
102. al-Ghadir, II, hlm. 306.
103. Syi’ah mengatakan bahawa Imamah ‘Ali AS adalah selepas Rasulullah SAWAW secara langsung tanpa wasitah iaitu tidak didahului oleh orang lain. Sementara Ahlu s-Sunnah mengatakan Imamah ‘Ali AS adalah selepas Rasulullah SAWAW secara wasitah (perantaraan) iaitu telah didahului oleh Khalifah Abu Bakar, Umar dan Uthman.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s