Syi’ah dan al-Qur’an [2]

Oleh: Syaikh Muhammad Mar’i al-Amin al-Antaki

2. Ayat at-Tathir

FirmanNya di dalam (Surah al-Ahzab (33): 33):”Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu (‘an-kum) wahai Ahlu l-Bait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”

Menurut tafsir-tafsir Syi’ah, ayat ini diturunkan secara khusus kepada Ahlu l-Bait AS sahaja. Sementara orang lain tidak termasuk di dalam ayat-ayat tersebut. Manakala tafsir-tafsir Ahlu s-Sunnah pula, ada yang mengakui bahawa ayat tersebut dikhususkan untuk Ahlu l-Bait AS sahaja, ada yang menyatakan ayat tersebut termasuk isteri-isteri Nabi (SAW), dan ada yang mengatakan ianya dikhususkan kepada isteri-isterinya (SAW) sahaja. Lantaran itu ianya bertentangan dengan kaedah Bahasa Arab yang tidak menggunakan Dhamir Ta’nith (gantinama perempuan) untuk perempuan di dalam ayat tersebut. Malah Allah SWT menggunakan Dhamir Tadhkir (gantinama lelaki) iaitu perkataan ‘an-kum (daripada kamu) dan perkataan yutahhira-kum membersihkan kamu (lelaki). 

Kaedah ini memang diketahui oleh penuntut-penuntut yang kecil dan kebanyakan orang awam. Di dalam ertikata yang lain, jikalau Allah SWT di dalam ayat tadi menghendaki isteri-isteri Nabi (SAW), nescaya Dia menggunakan dhamir Ta’nith, ‘an-kunna (daripada kamu isteri-isteri) dan yutahhirakunna Dia membersihkan (kamu isteri-isteri) sebagaimana Dia menggunakan dhamir Ta’nith sebelumnya (Surah al-Ahzab (33):32. Lantaran itu Allah telah menggunakan dhamir tadhkir untuk mengeluarkan isteri-isteri daripada ayat tersebut.

‘Ali bin Ibrahim di dalam Tafsirnya 20  daripada Zaid bin ‘Ali AS dia berkata: Sesungguhnya orang-orang yang jahil mengatakan bahawa Allah menghendaki dengan ayat ini isteri-isteri Nabi SAW. Pada hakikatnya mereka berbohong dan mereka berdosa. Demi Allah sekiranya Dia maksudkan isteri-isteri Nabi SAW, nescaya Dia akan berkata: an kunna al-Rijs (daripada kalian isteri-isteri) dan yutahhira-kunna (membersihkan kalian isteri-isteri dengan sebersih-bersihnya. Dan Dia menggunakan perkataan muannathan (ganti nama perempuan) sebagaimana Dia berfirman: Wazkurna mayutla fibuyuti-kunna, wa la Tabarrajna, wa lastunna Kaahadin min l-Nisa.’ Oleh itu ayat Tathir (Surah al-Ahzab (33):33) tidak harus pada isteri-isteri Nabi SAW sekalipun ianya ditafsirkan sebagai berkongsi dengan Ahlu l-Bait AS. Kerana Allah SWT telah mengancam mereka sebelum ayat Tathir dalam firmanNya (Surah al-Ahzab (33): 28-30).

Dan Dia juga telah mengancam mereka dengan firmanNya (Surah al-Tahrim (66):4-5):”Jika kamu berdua bertaubat kepada Allah, maka sesungguhnya hati kamu berdua telah condong (untuk menerima kebaikan); dan jika kamu berdua bantu membantu menyusahkan Nabi, maka sesungguhnya Allah adalah Pelindungnya dan (begitu pula) Jibril dan orang-orang Mukmin yang baik; dan selain dari itu malaikat-malaikat adalah penolongnya pula. Jika Nabi menceraikan kamu, boleh jadi Tuhannya akan memberi ganti kepadanya dengan isteri-isteri yang lebih baik daripada kamu, yang patuh, yang beriman, yang taat, yang bertaubat, yang mengerjakan ibadah, yang berpuasa, yang janda dan yang perawan.”

Inilah adalah menurut apa yang difirmankanNya (al-Mantuq). Adapun mafhumNya: Wahai-wahai isteri-isteri Nabi kalian tidaklah mukminat, qanitat, ta’ibat, sekiranya kalian masih menyakitinya SAW. Dan diriwayatkan bahawa Nabi SAW tidak mencampuri mereka selama sebulan kerana mereka menyakiti hatinya SAW. Rujuklah kepada tafsir-tafsir Ahlu s-Sunnah mengenai ayat ini.

Dan apa yang jelas terdapat di kalangan isteri-isteri tersebut yang telah memerangi Khalifah ‘Ali, Hasan dan Husain AS. Memerangi mereka bererti memerangi Allah menurut hadith Rasulullah (SAW): Jangan anda melupai bahawa ‘Aisyah telah mengetuai angkatan bersenjata kerana memprotes jenazah Hasan untuk disemadikan di samping datuknya Rasulullah SAW.21  Jikalau ‘Aisyah masih hidup di hari peperangan Husain AS di Karbala, nescaya dia akan memerangi Husain bin ‘Ali AS pula kerana sifatnya yang sentiasa memerangi Ahlu l-Bait AS.

Justeru itu tidak hairanlah jika Ibn ‘Abbas berkata kepada ‘Aisyah:

Anda menaiki unta, menaiki baghal,
dan sekiranya anda hidup anda akan menaiki gajah.
Bagi anda sepersembilan daripada seperlapan tetapi anda memiliki kesemuanya.

Iaitu anda memiliki rumah anda sedangkan anda memiliki sepersembilan daripada seperlapan dan bakinya adalah untuk isteri-isterinya (SAW). Dan tujuh perlapan adalah untuk Fatimah kemudian untuk anak-anaknya.

Jikalau setengah daripada isteri-isteri beliau bertindak begitu keadaannya, bagaimana mereka termasuk di dalam ayat at-Tathir yang disucikan daripada segala dosa? Telah diriwayatkan bahawa ‘Aisyah RD berkata kepada Nabi SAW di dalam keadaan marah:”Tidakkah anda sahaja yang menyangka anda seorang Nabi Allah?”22

Adakah mereka layak dengan tindakan mereka yang menyalahi peradaban sebagai isteri, lebih-lebih lagi suami mereka itu adalah Rasulullah SAW, dimasukkan ke dalam ayat Tathir (Surah al-Ahzab (33):33) daripada dosa sedangkan mereka berlumuran dengannya? Jikalau ayat itu termasuk “isteri-isteri” khususnya ‘Aisyah, nescaya dia berpesta dan memberitahukannya kepada orang yang masih hidup dan orang yang telah mati. Dan tentu sekali Umm Salmah lebih berhak untuk dimasukkan di dalam ayat tersebut. Kerana kedudukannya di sisi Rasulullah SAW dan ayat Tathir telah diturunkan di rumahnya. Manakala mereka tidak dimaksudkan di dalam ayat tersebut, Rasulullah SAW mengeluarkannya (Umm Salmah) dengan menarikkan al-Kisa’ daripada tangannya lantas Umm Salmah bertanya: Tidak. Berdirilah di tempat anda. Mudah-mudahan anda berada di dalam kebaikan.

Sebagaimana juga beliau menegah ‘Aisyah dan Zainab dari memasuki bersama mereka dan memberi jawapan kepada mereka berdua sebagaimana jawapan beliau terhadap Umm Salmah.

Rasulullah SAW telah menutup ke atas ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain dengan al-Kisa'(pakaian) dan mengangkatkan tangannya ke atas mereka sambil membaca ayat Tathir yang bermaksud:”Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kami (‘an-kum) wahai Ahlu -Bait, dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya” adalah semata-mata untuk memisahkan mereka daripada isteri-isteri dan orang-orang Islam yang lain, dan sabdanya aku bermaksud: Wahai Tuhanku, mereka itulah Ahlu l-Baitku.

Di dalam riwayat yang lain (Ahli) keluargaku iaitu tidak ada selain daripada mereka. Penafsir kepada ayat ini ialah Rasulullah SAW sendiri. Manakah penafsiran yang diterima selepas penafsirannya? Adakah orang yang datang dengan al-Qur’an (Nabi SAW) yang mengeluarkan isteri-isterinya daripada ayat al-Tathir lebih diterima penafsirannya? Atau sebaliknya orang yang tidak mengetahui takwilannya sehingga memasukkan isteri-isterinya atau sebaliknya di dalam ayat tersebut?

Dan juga dalil yang lebih kuat bahawa isteri-isteri Nabi SAW tidak termasuk Ahlu l-Baitnya ialah  Nabi SAW tidak membawa mereka keluar di Hari Mubahalah dengan Kristian Najran kerana beliau menjanjikan mereka untuk membawa wanita-wanitanya bersama sebagaimana firmanNya di dalam (Surah Ali Imran (3):61):”maka katakanlah (kepadanya):Marilah kita memanggil anak-anak kami dan anak-anak kamu, wanita-wanita kami dan wanita-wanita kamu, diri kami dan diri kamu; kemudian marilah kita bermubahalah kepada Allah dan kita minta supaya laknat Allah ditimpakan kepada orang-orang yang dusta.”

Sebagaimana ketua Kristian Najran berpidato kepada kumpulannya: Sekiranya Muhammad keluar dengan Ahlu l-Baitnya, maka jangan kalian lakukan mubahalah. Dan sekiranya beliau keluar dengan sahabat-sahabatnya, maka lakukanlah mubahalah. Semua ahli tafsir dan sejarah bersepakat bahawa Nabi SAW tidak keluar bersamanya untuk mubahalah selain daripada Ali, Fatimah, Hasan dan Husain AS. Justeru itu merekalah Ahlu l-Baitnya bukan orang lain. Sekiranya ada orang lain selain daripada mereka nescaya Nabi SAW akan mengajak mereka keluar untuk “bermubahalah” bersama di sa’at yang paling genting bagi menentang kebatilan.

Oleh itu orang yang Nabi SAW bermubahalah bersama mereka bagi menentang Nasara Najran ialah orang yang Allah telah menghilangkan daripada mereka kekotoran di dalam al-Qur’an yang mulia. Lagipun apabila perkataan Ahlu l-Bait AS diucapkan secara langsung bererti al-itrah al-Tahirah AS;’Ali, Fatimah, Hasan dan Husain Ali tidak termasuk isteri-isteri. Justeru itulah Nabi SAW memaksudkan mereka semenjak beliau mewasiatkan mereka dan menerangkan kelebihan-kelebihan mereka di dalam hadith-hadithnya yang mutawatir di dalam buku-buku Sahih “mereka.” Dan tidak seorang pun memasukkan “isteri-isteri” di dalam hadith-hadith tersebut. Di antaranya dua hadith yang muktabar yang diriwayatkan oleh jumhur Muslimin”
1. Hadith Thaqalain: Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Aku tinggalkan kepada kalian dua perkara yang berharga; Kitab Allah dan ‘Itrahku (Ahlu l-Baitku) selama kalian berpegang kepada kedua-duanya kalian tidak akan sesat selama-lamanya.23
2. Hadith al-Safinah: Sesungguhnya yang bermaksud: Umpama Ahlu l-Baitku sepertilah Bahtera Nuh, siapa yagn menaikinya akan berjaya, dan siapa yang tidak menaikinya akan sesat selama-lamanya.24 

Adapun menjadi kebiasaan kepada kaum Muslimin apabila mereka menyebutkan Ahlu l-Bait di dalam majlis-majlis mereka, mereka tidak maksudkan isteri-isteri Nabi SAW. 

Begitu juga penyair-penyair Ahlu s-Sunnah dan Syi’ah apabila mereka menyusun syair memuji Ahlu l-Bait AS mereka maksudkan lima Ahlu l-Kisa’: Muhammad SAW, Fatimah, ‘Ali, Hasan dan Husain AS. Perhatikanlah kenyataan yang dibuat oleh Imam Syafi’i mengenai Ahlu l-Bait AS:

Wahai Ahlu l-Bait Rasulullah cintamu suatu fardhu daripada Tuhan di dalam al-Qur’an telah diturunkan.
Memadailah kebesaran Nabimu sesungguhnya kami siapa yang tidak bersalawat ke atas kamu tidak sah sembahyangnya.

Dimaksudkan dengan Ahlu l-Bait AS ialah ‘Ali, Fatimah, Hasan, dan Husain AS. Demikianlah juga beribu-ribu karangan para ulama Ahlu s-Sunnah menjelaskan bahawa maksud Ahlu l-Bait ialah Nabi SAW dan keturunan ‘Ali yang disucikan.

Ya, memang terdapat orang-orang seperti ‘Ikramah al-Barbari, Muqatil dan lain-lain yang terkenal dengan pembohongan ke atas Rasulullah SAW telah membuat hadith-hadith palsu. Rasulullah SAW bersabda maksudnya: Akan banyak pembohongan ke atasku, siapa yang membohongi ke atasku dengan sengaja maka hendaklah ia duduk di tempatnya di neraka.

Oleh itu mengkhususkan “isteri-isteri” atau meletakkan mereka bersama Ahlu l-Bait AS di dalam ayat Tathir (Surah al-Ahzab (33): 33) adalah rekaan musuh-musuh Ahlu l-Bait. Malah mereka mencipta perkara-perkara yang berlawanan dengan Ahlu l-Bait AS, perkara ini adalah jelas. Lantaran itu menolak hadith-hadith palsu dan membersihkan buku-buku sirah dan sejarah daripadanya adalah perkara yang wajib dilaksanakan.

Justeru itu ianya suatu kepastian bahawa ayat Tathir dan pembersihan kekotoran daripada mereka adalah istimewa untuk para imam Ahlu l-Bait AS. Mereka adalah zuriat Rasulullah SAW dan mereka lebih berhak dengannya. Justeru itu perkataan innama di dalam ayat tersebut bermaksud al-Hasr (pengkhususan kepada mereka sahaja).

Ayat ini juga dengan jelas menunjukkan bersihnya “itrah Nabi SAW daripada keaiban dan kemaksuman mereka daripada dosa-dosa. Dan aku akan menerangkan dalam bukuku ini bahawa imamah tidak layak melainkan bagi mereka yang bersih daripada segala keaiban dan dosa. Justeru itu sabitnya imamah ‘Ali dan anak-anaknya AS sama ada mereka memegang jawatan itu ataupun tidak disebabkan orang ramai tidak menyokong mereka sebagaimana sabdanya:”Hasan dan Husain kedua-duanya imam sama ada mereka memegang jawatan  ataupun tidak” kerana kedua-duanya telah dilantik oleh Allah SWT. Dan sesiapa yang mempunyai kedudukan sedemikian, keimamahannya tidak akan dicacatkan oleh penentangan orang ramai terhadapnya. Kerana imamah bukanlah melalui perlantikan orang ramai, malah melalui nas daripada Allah SWT.

Imam al-Bahrani di dalam Ghayat a-Maram25  telah mencatat lebih daripada satu ratus dua puluh hadith mengkhususkan  Ahlu l-Bait AS dengan “mereka” bukan isteri-isteri Nabi SAW dan lebih sepertiga daripada hadith-hadith tersebut adalah menurut saluran Ahlu s-Sunnah. Oleh itu buatlah rujukan kepada buku-buku tersebut wahai pembaca yang budiman.

Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur26  menegaskan bahawa ayat tersebut diturunkan kepada lima orang Ahlu l-Kisa melalui dua puluh saluran. Al-Tabari di dalam Jami’ al-Bayan27   menyatakan ianya diturunkan kepada Nabi SAW, Fatimah, ‘Ali, Hasan dan Husain melalui enam belas saluran. Al-Sayyid Syihabuddin dan al-Mar’asyi al-Najafi di dalam Ta’liqatuhu ‘Ala Ihqaq al-Haq    karangan Qadhi Nur Allah al-Tastari RH telah menyebutkan riwayat-riwayat dan hadith-hadith yang banyak semuanya menurut saluran Ahlu s-Sunnah wal-Jama’ah bahawa ayat tersebut telah diturunkan kepada lima orang Ahlu l-Kisa’;Muhammad, Fatimah,’Ali, Hasan dan Husain AS.

Di sini diperturunkan beberapa riwayat Ahlu s-Sunnah yang menunjukkan bahawa ayat Tathir diturunkan kepada lima orang Ashabu l-Kisa’ seperti berikut:
1. Ahmad bin Hanbal telah mencatat dalam Musnadnya29   daripada Anas bin Malik bahawa Nabi SAW telah melalui rumah Fatimah AS selama enam bulan. Apabila beliau keluar untuk sembahyang Subuh, beliau bersabda: wahai Ahlu l-Bait! Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu kekotoran Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul30   telah menafsirkan ayat tersebut dengan menyatakan bahawa ianya diturunkan kepada lima orang Ashabu l-Kisa’.
2. Ibn Jarir telah mencatat di dalam Tafsirnya begitu juga Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, Ibn Mardawaih,al-Tabrani, dan lain-lain. Al-Turmudhi dan al-Hakim menyatakan kesahihan hadith tersebut. Begitu juga al-Baihaqi di dalam Sunannya dengan bermacam-macam saluran. Umm Salamah berkata: Ayat Tathir telah diturunkan di rumahku. Di dalam rumah itu ada ‘Ali, Fatimah, Hasan dan Husain. Maka Rasulullah SAW menyelimutkan mereka dengan al-Kisa’ (kain berwarna hitam) dan bersabda: Wahai Tuhanku, mereka itulah Ahlu l-Baitku. Justeru itu hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya.
3. Muslim di dalam Sahihnya31  bab ‘Fadhl Ahlu l-Bait AS’ meriwayatkan daripada ‘Aisyah dia berkata: Rasulullah keluar di waktu pagi, di atasnya kain hitam, maka datanglah Hasan bin ‘Ali, maka beliau memasukkan ke dalamnya. Kemudian datang Husain, maka dia memasukkan bersamanya, kemudian datang ‘Ali, maka beliau memasukkannya. Kemudian beliau bersabda: Sesungguhnya Allah menghendaki untuk menghilangkan daripada kamu kekotoran dosa Ahlu l-Bait dan membersihkan mereka dengan sebersih-bersihnya.” Hadith ini telah dikeluarkan oleh Ahmad daripada hadith ‘Aisyah di dalam Musnadnya. Dan ianya juga telah dikeluarkan oleh Ibn Jarir, Ibn Abi Hatim, al-Hakim pengarang al-Jami’ baina al-Sahihaini, dan pengarang al-Jami’ Baina al-Sihah al-Sittah. Dan sesiapa yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut, hendaklah membuat rujukan kepada Rasyfah al-Sadi karangan Abu Bakar Syahabuddin dan Muruja’at (Dialog Sunnah-Syi’ah) karangan Sayyid Syarafuddin tentang pengkhususan ayat Tathir kepada lima Ahlu l-Kisa’.Dan ianya sudah mencukupi bagi orang yang mempunyai mata hati.

Di sini aku akan mengemukakan sebahagian daripada nas-nas yang menerangkan tentang terkeluarnya isteri-isteri Nabi SAW dari ayat al-Tathir dan ianya tidak bertentangan dengan nas-nas yang telah lepas yang mengkhususkan ayat tersebut kepada lima orang AS. Sesungguhnya apa yang dikemukakan di sini adalah berdasarkan kepada penerangan Nabi SAW sendiri bahawa isteri-isterinya adalah terkeluar daripada ayat tersebut di antaranya:

Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya32  daripada ‘Abdu l-Malik daripada ‘Ata ibn Abi Rayah dia berkata: Orang yang telah mendengar Umm Salmah meriwayatkan kepadaku bahawa dia berkata: Sesungguhnya Nabi SAW berada di rumahnya. Maka Fatimah mendatanginya dengan cerek yang berisi makanan, maka dia memberikan kepadanya. Lalu beliau bersabda: Panggilkan suami anda dan dua anak lelaki anda. Dia berkata: Maka datanglah ‘Ali, Hasan dan Husain, maka merekapun masuk dan memakan makanan tersebut. Nabi SAW berada di atas tempat tidurnya di penjuru di bawah al-Kisa’ Khaibar. Dia bersabda: Aku sedang sembahyang di dalam kamarku, maka Allahpun menurunkan ayat (Surah al-Ahzab (33):33)”Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya. 

Maka dia berkata: Beliau (Nabi SAW) mengambil al-Kisa’ dan membentangkannya ke atas mereka. Kemudian beliau mengeluarkan tangannya mengangkat ke langit sambil berkata: Wahai Tuhanku mereka itulah Ahlu l-Bait dan orang istimewaku. Hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya. Dia berkata: Aku memasukkan kepalaku di dalamnya maka aku berkata: Aku bersama kalian wahai Rasulullah. Beliau bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan di akhirat kelak. Ahmad berkata selepas meriwayatkan hadith ini,”Abdu l-Malik berkata: Abu Laila telah meriwayatkan kepadaku daripada Umm Salmah seperti hadith ‘Ata. ‘Abdu l-Malik berkata: Daud bin Abi ‘Auf al-Jahaf telah meriwayatkan kepadaku daripada Hausyab daripada Umm Salmah seumpamanya.

Ibn Kathir di dalam Tafsirnya33  telah meriwayatkan hadith ini. Al-Wahidi di dalam Asbab al-Nuzul34 daripada ‘Ata. Ibn al-Sibagh al-Maliki dalam al-Fusul al-Muhimmah35  meriwayatkannya daripada al-Wahidi.

Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur,36  Ibn Jarir, Ibn al-Mundhir, Ibn Abi Hatim, al-Tabari dan Ibn Mardawaih daripada Umm Salmah RD isteri Nabi SAW: Sesungguhnya Rasulullah SAW berada di rumahnya (Umm Salmah) di atas tempat tidur dan di bawahnya al-Kisa’ Khaibar. Maka Fatimah membawa kepadanya cerek yang berisi makanan. Maka Rasulullah SAW berkata: Panggillah suami anda dan dua anak lelaki anda, Hasan dan Husain. Maka beliaupun memanggil mereka dan ketika mereka sedang makan, tiba-tiba diturunkan ke atas Rasulullah (Surah al-Ahzab (33):33)”Sesungguhnya Allah bermaksud hendak menghilangkan segala dosa dari kamu wahai Ahlu l-Bait dan membersihkan kamu sebersih-bersihnya.”

Maka Nabi SAW mengambil al-Kisa’ dan membentangkannya ke atas mereka kemudian beliau mengeluarkan tangannya daripada al-Kisa’ dan memberi isyarat ke langit sambil bersabda:”Wahai Tuhanku! Mereka itulah Ahlu l-Baitku dan orang istimewaku. Oleh itu hilanglah daripada mereka kekotoran dan bersihlah mereka dengan sebersih-bersihnya. Beliau berkata sebanyak tiga kali. Umm Salmah berkata: Aku memasukkan kepalaku ke dala al-Kisa’ maka aku berkata; Wahai Rasulullah! Aku bersama kalian? Beliau menjawab: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan (di akhirat kelak). Beliau mengulanginya sebanyak dua kali.

Hadith ini telah juga diriwayatkan oleh Sayyid Muhsin al-Amini di dalam A’yan al-Syi’ah37  daripada Usd al-Ghabah. Al-Suyuti di dalam al-Durr al-Manthur juga mengatakan: Al-Tabrani telah mengeluarkan hadith ini daripada Umm Salmah RD, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda kepada Fatimah AS: Panggillah suami dan dua anak lelaki anda. Maka beliaupun datang bersama mereka semua. Kemudian beliau bersabda: Wahai Tuhanku! Mereka itulah Ali Muhammad. Di dalam perkataan lain: Jadikanlah salawat Engkau ke atas Ali Muhammad sebagaimana Engkau telah menjadikannya untuk Ali Ibrahim Innaka hamidun majid.

Maka Umm Salmah berkata: Akupun mengangkat al-Kisa’ supaya aku memasuki bersama mereka. Tetapi beliau menariknya daripada tanganku dan bersabda: Sesungguhnya anda akan mendapat kebaikan (di akhirat kelak). Hadith ini telah diriwayatkan oleh Ahmad bin Hanbal di dalam Musnadnya38  daripada Umm Salmah. Al-Kanji al-Syafi’i di dalam Kifayah al-Talib39  daripada Ahmad di dalam Manaqib ‘Ali AS dan daripada Syahr bin Hausyab daripada Umm Salmah RD.

Al-Tabrani di dalam Dhakha’ir al-‘Uqba,40  al-Muttaqi al-Hindi di dalam Kanz al-Ummal,41  Ibn Kathir di dalam Tafsirnya,42  Ibn Sibagh al-Maliki di dalam al-Fusul al-Muhimmah,43 al-Turmudhi di dalam Sahihnya,44  al-Qunduzi al-Hanafi di dalam Yanabi’ al-Mawaddah,45 al-Syablanji al-Syafi’i di dalam Nur al-Absar,46 Syaikh Muhammad al-Siban di dalam As’af al-‘Raghibin Hamisy Nur al-Absar,47 dan lain-lain pembesar-pembesar ulama Ahlu s-Sunnah yang meriwayatkan hadith tersebut dengan sedikit perbezaan dari segi lafaz.

Nas-nas yang sahih dan mutawatir yang dikemukakan adalah diriwayatkan oleh semua lapisan Muslimin dan ianya merupakan bukti-bukti yang jelas dan hujah-hujah yang kuat tentang terkeluarnya isteri-isteri Nabi SAW daripada ayat tersebut dan iannya diturunkan kepada lima manusia suci Ashabul l-Kisa’ dssan iannya tidak dapat diingkari melainkan oleh orang-orang yang fanatik (muta’assib) kepada kebatilan.

Apa yang telah aku kemukakan tentang terkeluarnya ‘isteri-isteri’ daripada ayat al-Tathir dan turunnya ayat tersebut ke atas lima manusia suci Ahlu l-Kisa’ AS, adalah mencukupi untuk menolak sangkaan yang menyatakan ianya diturunkan ke atas ‘isteri-isteri’ secara khusus atau secara perkongsian (al-Isytirak). Dan sekiranya anda ingin mendapatkan maklumat yang lebih daripada apa yang telahku kemukakan, maka buatlah rujukan kepada bukuku yang berjudul al-Syi’ah wa hujjatu hum fi al-Tasyayyu’ (Syi’ah dsan hujah mereka tentang Tasyayyu’).

Oleh itu aku ingin menegaskan bahawa apa yang telahku kemukakan adalah menunjukkan bahawa ayat al-Tathir adalah dikhususkan kepada lima Ashab al-Kisa’ dan juga menunjukkan bahawa mereka adalah maksum daripada segala dosa. Dan ianya menunjukkan bahawa khalifah selepas Rasulullah SAW secara terus ialah ‘Ali bin Abi Talib AS. Selepas beliau ialah Hasan, kemudian Husain, kemudian sembilan daripada anak-anak Husain AS secara berturut-turut menuruti nas-nas yang wujud dalam buku-buku Sunnah dan Syi’ah.

Dalilku di atas dakwaan tersebut ada dua perkara:
1. al-‘Ismah adalah menjadi syarat pada seorang imam menurut Syi’ah kerana imam yang diikuti selepas Nabi SAW bila tidak maksum, tidak boleh dipercayai kata-katanya. Oleh itu sabitnya ‘ismah imam seperti sabitnya ‘ismah Nabi SAW. Ayat tersebut telah menunjukkan kemaksuman Amiru l-Mukminin Ali dan dua anaknya Hasan dan Husain AS. Justeru itu, terbukti bahawa jawatan khalifah adalah untuk mereka bukan selain daripada mereka. Mereka itulah para imam dan khalifah-khalifah selepas Rasulullah SAW. Setiap orang daripada mereka mengnaskan kepada imam selepasnya. Begitulah seterusnya sehingga sampai kepada Imam Mahdi al-Muntazar AS. Oleh itu berpegang kepada pendapat mereka adalah wajib kerana orang lain tidak maksum. Dan apabila tidak wujudnya ‘ismah maka berlakulah kesalahan. Oleh itu ianya tidak sah untuk menjadi khalifah yang mengendalikan syariat Rasulullah SAW tanpa ‘ismah.
2. Imam Amiru l-Mukimin telah berulang-ulang kali menuntut jawatan khalifah untuk dirinya di tempat-tempat yang bermacam-macam. Di antaranya beliau berkata di dalam khutbah al-Syiqsyiqiyyah48  yang dicatat oleh jumhur Muslimin Sunnah dan Syi’ah seperti berikut:

” Demi Allah Ibn Abi Qahafah (Abu Bakar ibn Abi Qahafah) telah mengenakan pakaian khalifah itu, padahal ia mengetahui dengan yakinnya bahawakedudukanku sehubungan dengan (kekhalifahan) itu sama seperti hubungan pasak dengan roda. Air mengalir menjauhiku dan burung tidak dapat terbang kepadaku. Aku memasang tirai (terhadap kekhalifahan) dan melepaskan diri daripadanya.”

” Aku pun mulai berfikir, apakah aku akan menyerangnya atau aku harus menanggung cubaan sengsara kegelapan yang membutakan itu hingga orang dewasa menjadi daif, orang muda mejadi tua, dan mu’min yang soleh hidup dalam kongkongan sehingga ia menemui Allah (di saat kematiannya). Aku pun berpendapat bahawa adalah lebih bijaksana untuk menanggungnya dengan tabah. Aku lalu menempuh jalan kesabaran, walaupun mata rasa tertusuk-tusuk dan kerongkong rasa tercekik. Aku menyaksikan perampasan terhadap warisanku hingga yang pertama (Abu Bakar) menemui ajalnya; namun ia menyerahkan kekhalifahan itu kepada Ibn Khattab (Umar al-Khattab) sendiri. (Lalu Ali mengutip syair A’sya:)

” Hari-hariku kini berlalu di punggung unta,

       Dan berlalu sudah hariku bersama Jabir, saudara Hayyan.”

” Sungguh aneh, semasa hidupnya ia ingin terbebas dari jawatan khalifah, tetapi ia mengukuhkannya kepada yang lain itu (Umar) setelah kematiannya. Tidak syak lagi kedua orang ini hanya berbahagi puting susu di antara keduanya sahaja. Yang satu ini (Umar) mengunci  kekhalifahan rapat-rapat, di mana ucapannya sombong dan sentuhannya kasar. Kekeliruan sangat banyak, dan kerana itu maka dalihnya pun sangat banyak. Orang yang berhubungan dengan kekhalifahan itu ibarat menunggang unta yang degil. Apabila penunggang itu menarik kekangnya maka muncung unta itu akan robek; dan apabila penunggang itu membiarkannya maka ia sendiri akan jatuh terlempar. Sebagai akibatnya, demi Allah, rakyat terjerumus ke dalam ketidakpedulian, kejahatan, kegoyahan dan penyelewengan. Sekalipun demikian, aku tetap bersabar dalam waktu yang lama dengan cubaan yang keras, hingga ketika (Umar) menemui ajalnya ia menyerahkan urusan kekhalifahan itu kepada satu kelompok dan menganggap aku sebagai salah seorang daripada mereka.”

” Tetapi, Ya Allah! Apa urusanku dengan syura ini! Di manakah keraguan tentang diriku dibandingkan dengan yang pertama dari antara mereka (Abu Bakar) sehingga sekarang aku harus dipandang sama dengan orang-orang ini? Namun, aku terus merendah sementara mereka merendah, dan membumbung tinggi ketika mereka terbang tinggi. Seorang dari mereka berpaling menentangku kerana hubungan kekeluargaannya, sedangkan yang lainnya cenderung memihak ke jalan lain kerana hubungan iparnya, dan ini, dan itu, sampai yang ketiga dari orang-orang ini berdiri dengan dada membusung di antaranya (Bani Umayyah) pun bangkit menelan harta Allah, bagaikan unta memakan dedaunan musim semi, sampai talinya putus, tindak tanduknya mengakhirinya dan keserakahannya menyebabkan ia terguling.”

” Pada saat itu tiada yang mengejutkan aku lebih daripada (tindakan) orang ramai  yang berpusu ke arahku dari segala penjuru seperti serbuan sekumpulan rubah (hyena) sehingga Hasanain (Hasan dan Husayn, dua putra Fatimah dan Ali) terinjak dan kedua bahagian bahu pakaianku terkoyak. Mereka berkumpul di sekelilingku seperti kawanan domba dan kambing. Ketika aku memegang tampuk pemerintahan sebahagian memutuskan bai’ahnya (nakatsa) dan sebahagian lagi mengingkarinya (maraqa) dan yang lain bertindak salah (qasata), kerana mereka tidak mendengar firman Allah SWT yang berbunyi [bermaksud]:

” (Kebahagian) di negeri akhirat Kami sediakan bagi mereka yang tidak suka menyombongkan diri dan melakukan kerosakan di bumi. Dan kesudahannya (adalah baik) bagi mereka yang bertaqwa.” [Surah al-Qasas(28):83]

Tidak, demi Allah, mereka mendengarnya dan memahaminya tetapi dunia terlihat berkilau di mata mereka dan hiasan dunia menggoda mereka. Lihat, demi Dia yang mengembangkan biji-bijian dan menciptakan makhluk hidup, apabila orang-orang tidak datang kepadaku dan pendukung-pendukung tidak menegakkan hujah dalam bentuk penolong itu (pasukan yang membantu Ali) dan bila tidak ada perjanjian Allah dengan ulama bahawa mereka tidak boleh bungkam terhadap kerakusan seorang yang zalim dan kelaparan orang yang dizalimi maka aku akan melemparkan tali kekang (kekhalifahan) itu dan akan aku beri minum kepada yang terakhir dengan piala yang aku gunakan untuk orang yang pertama. Maka akan kamu lihat  bahawa dalam padanganku duniamu tidak lebih dari bersinnya seekor kambing.49

Begitu juga anak perempuan Rasulullah, dan kedua-dua anaknya Hasan dan Husain dan sembilan anak-anak Husain AS menuntut khalifah untuk Amiru l-Mukminin AS. Lantaran itu, ianya menjadi kewajipan kepada umat membenarkan mereka kerana kemaksuman mereka. Dan tidak harus ke atas mereka pembohongan kerana pembohongan adalah suatu kekotoran (rijsun) yang dinafikan daripada mereka oleh ayat tersebut.

Oleh itu jelaslah sabitnya khalifah selepas Rasulullah SAW bagi ‘Ali bin Abi Talib AS. Dan ianya bukanlah mencukupi dengan ayat-ayat at-Tathir sahaja, malah banyak dalil-dalil dan hujah-hujah yang kuat yang menunjukkan ‘Ali AS berhak menjadi khalifah selepas Rasulullah SAW sehingga diakui oleh musuh-musuhnya dan diketahui oleh yang terdekat dan yang jauh.

Dan buku-buku mengenainya telah ditulis dengan banyak. Di antaranya buku karangan Ayatullah al-‘Uzma Muhammad bin Yusuf bin al-Mutahhar dikenali dengan al-‘Allamah al-Hulli RH. Dia telah menulis dua ribu dalil menyokong ‘Ali AS. sebagai khalifah selepas Rasulullah SAW. Satu daripadanya mengandungi dalil-dalil aqliyyah dan seribu lagi mengandungi dalil-dalil naqliyyah. Dan dia menamakan bukunya al-Faini.

Catatan Kaki:

   20. Tafsir ‘Ali bin Ibrahim, hlm. 531.
21. Hasan AS disemadikan berjauhan dari datuknya SAWAW sebagai menyahuti protes ‘Aisyah RD; Sibt Ibnu Jauzi, Tadhkirah al-Khawwas, hlm. 122.
22. Ihya’ ‘Ulum al-Din, II, hlm. 20.
23. Muslim, Sahih, VII, hlm. 123; Turmudhi, al-Sunan, II, hlm. 307; al-Darimi, al-Sunan, II, hlm. 332; Ibn Hanbal, al-Musnad, III, hlm. 14,17, dan 36.
24. al-Mustadrak, II, hlm. 343.
25. Ghayat al-Maram, hlm. 150.
26. al-Durr al-Manthur, V, hlm. 18.
27. Jami’ al-Bayan, XXII, hlm. 198.
28. Ta’liqatuhu ‘Ala Ihqaq, II, hlm. 502.
29. al-Musnad, II, hlm. 259.
30. Asbab al-Nuzul, hlm. 251.
31. Sahih, hlm. 331.
32. al-Musnad, VI, hlm. 292.
33. Tafsir Ibn Kathir, III, hlm. 484.
34. Al-Wahidi, op.cit. hlm. 268.
35. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 8.
36. al-Sayuti, al-Durr al-Manthur, V, hlm. 198.
37. A’yan al-Syi’ah, II, hlm. 433.
38. al-Musnad, VI, hlm. 32.
39. Kifayah al-Talib, hlm. 228.
40. Dhakha’ir al-‘Uqba, hlm. 21.
41. Kanz al-Ummal, VII, hlm. 103.
42. Tafsir Ibn Kathir, III, hlm. 484.
43. al-Fusul al-Muhimmah, hlm. 7.
44. Sahih, II, hlm. 308.
45. Yanabi’ al-Mawaddah, hlm. 78.
46. Nur al-Absar, hlm. 104.
47. As’af al-Raghibin, hlm. 104.
48. Seramai dua puluh lapan orang para ulama Ahlu s-Sunnah memperakui kesahihan Khutbah al-Syiqsyiqiyyah. Lihat al-Amini, al-Ghadir, I, hlm. 82-85.
49. Nahj al-Balaghah, hlm. 48-50.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s