Petunjuk Kebenaran Menuju Puncak Kemanusiaan [Terakhir]

Oleh: Tijani 

Di sebuah desa selatan Tunisia, ketika berlangsungnya sebuah kenduri, wanita-wanita yang hadir sedang asyik membincangkan tentang seorang isteri dari suami si Fulan. Seorang wanita tua yang berada di sekitar mereka sangat terkejut mendengar berita perkahwinan dua orang ini. Ketika ditanya kenapa dia tekejut, dijawabnya bahawa dua suami isteri tersebut sebenarnya pernah menyusu darinya; dan mereka adalah adik beradik dari satu ibu susu.

Berita besar ini dibawa pulang oleh wanita-wanita yang hadir kepada suami mereka. Kaum lelaki yang ada di sekitar ingin membuktikan kebenaran berita ini. Akhirnya ayah si perempuan menyaksikan bahawa anak perempuannya memang pernah menyusu dari ibu susu yang terkenal ini; sebagaimana ayah si lelaki ini juga menyaksikan kebenaran kata-kata si ibu tua ini. Akibatnya dua suku ini berperang dengan tongkat dan kayu. Masing-masing menuduh yang lain sebagai sebab musibah yang akan menyebabkan turunnya bala Allah ini. Apatah lagi perkahwinan itu telah berusia sepuluh tahun dan telah menghasilkan tiga orang anak.

Mendengar berita ini, si isteri lari ke rumah ayahnya. Dia tidak mahu makan dan minum. Bahkan dia berusaha bunuh diri lantaran tidak tahan menerima “bencana” yang sangat besar itu. Bagaimana dia dapat menerima kenyataan bahawa suaminya adalah saudaranya sendiri dan telah melahirkan anak-anak pula. Bilangan korban yang luka berjatuhan di kedua belah pihak, sehinggalah orang tua yang disegani menghentikan peperangan dan menasihati mereka agar menanyakan para alim ulama tentang hukumnya dan mencari jalan keluar.

Mulalah mereka pergi ke kota-kota besar yang berhampiran menanyakan para ulamanya tentang jalan keluar dari perkara ini. Setiap kali mereka bertanya, jawapan mereka adalah perkahwinan tersebut adalah haram dan suami isteri wajib dipisahkan seumur hidup. Mereka juga wajib membayar fidyah dengan membebaskan hamba sahaya atau puasa dua bulan berturut-turut atau fatwa-fatwa sejenisnya.

Mereka juga pergi ke Qafsah dan menanyakan soalan tersebut kepada alim ulamanya. Namun jawapan mereka tetap sama. Mengingat ulama-ulama mazhab Maliki menghukumkan muhrim pada setiap anak susuan walau sekadar satu titis sekalipun ; berdasarkan pendapat Imam Malik yang mengkiaskan air susu dengan arak. Dalam hukum arak dikatakan bahawa “jika banyaknya memabukkan maka sedikitnya juga haram.” Dengan itu maka menyusui, walau setitis sekali pun adalah berhukum muhrim.

Seorang yang hadir mencelah dan menunjukkan mereka rumahku. Katanya: “Tanyakan pada Tijani masalah-masalah seperti ini kerana beliau mengetahui pendapat semua mazhab.Aku saksikan beliau berhujah dengan ulama-ulama tadi berkali-kali dan bahkan dapat mematahkan dalil mereka.”

Ketika ku ajak mereka masuk ke dalam perpustakaanku, si suami menceritakan segalanya kepadaku secara terperinci, dia juga berkata demikian: “Tuan, isteriku mahu bunuh diri dan anak-anak tidak terurus. Kami tidak mendapatkan apa-apa penyelesaian dari kemusykilan ini. Mereka telah tunjukkanku alamatmu, dan aku sangat yakin kerana melihat buku-buku yang sebegini banyak di perpustakaan ini yang tidak pernah aku lihat sebelum ini. Mudah-mudahan saja anda dapat menyelesaikan perkaraku ini.”

Kemudian aku hidangkan secawan kopi untuknya dan aku berfikir sejenak, lalu kutanyakan kepadanya bilangan susu yang dia hisap dari  si ibu tua itu. Beliau menjawab: “Aku tidak pasti berapa tetapi isteriku menyusu dari orang tua itu dua kali atau tiga kali sahaja. Ayahnya juga menyaksikan bahawa dia hanya dua atau tiga kali saja membawanya pergi ke tempat orang tua itu.” Lalu ku jawab: “Jika ini memang betul, maka kalian bukanlah adik-beradik dan perkahwinan kalian adalah sah.” Mendengar ini lelaki  tersebut terus menerpaku dan mencium-cium kepalaku dan tanganku. Katanya: semoga Allah membalasmu dengan kebaikan. Anda telah membukakan pintu kedamaian di hadapanku”. Dia terus pergi dan tidak sempat menghabiskan kopinya, bahkan tidak bertanya lagi perinciannya atau dalil dariku. Dia hanya meminta izin untuk pulang agar dapat segera  menemui isterinya dan membawa berita gembira untuknya, anak-anaknya serta kaum kerabatnya.

Namun esoknya dia kembali bersama tujuh orang lelaki yang lain. Katanya: “Ini ayahku dan ini ayah isteriku. Yang ketiga itu ketua desa dan keempat Imam Jum’ah dan Jama’ah, kelima Penghulu agama, keenam ketua suku dan ketujuh ketua sekolah. Semua mereka datang untuk bertanya tentang masalah menyusui tersebut dan dengan alasan apa anda menghalalkannya?

Semua aku ajak masuk ke dalam perpustakaanku dan aku memang menduga yang mereka akan mendebatku. Ku hidangkan mereka minuman kopi dan kusambut mereka dengan mesra. Mereka berkata: “Kami datang untuk bertanya akan fatwamu yang menghalalkan susuan itu sementara Allah telah mengharamkannya di dalam alQuran dan telah diharamkan juga oleh RasulNya, dengan sabdanya: “Telah diharamkan dengan susuan segala apa yang diharamkan dengan cara nasab. Begitu juga Imam Malik telah mengharamkannya.”

Aku berkata: “Wahai tuan-tuan, kalian Masya Allah lapan orang dan aku seorang. Jika aku berbicara dengan kesemua kalian maka aku tidak akan dapat meyakinkan kalian dengan hujahku dan diskusi kita nantinya akan berlarutan. Aku usulkan kalian memilih salah seorang di antara kalian sebagai juru cakap sehingga aku senang berdiskusi dengannya dan yang lainnya menjadi hakim kami.”

Mereka terima usul tersebut dan menyerahkan sepenuhnya kepada penghulu agama sebagai wakil kerana lah yang paling alim dan paling arif di antara mereka. Maka penghulu pun mulailah memulakan pertanyaannya mengapa aku menghalalkan apa yang diharamkan oleh Allah, RasulNya dan para Imam?

Aku jawab: “Aku berlindung kepada Allah danri berbuat demikian. Allah mengharamkan susuan dengan ayat yang mujmal(ringkas) dan tidak menjelaskan secara terperinci. DiserahkanNya kepada Rasul cara dan bagaimana perincian hukumnya.”
     – “Tetapi Imam malik menghukumkan muhrim hatta dari setitis air susu.”
     – “Aku tahu. Namun Imam Malik bukanlah hujah kepada semua kaum Muslimin. Kalau tidak maka bagaimana pendapat anda dengan imam-imam yang lain?”
     – “Semoga Allah meredhai mereka. Kesemua mereka mengambil dari Rasul saw.”
     – “Lalu bagaimana nantinya hujahmu di sisi Allah atas taklidmu kepada pendapat Imam Malik    yang bercanggah dengan nas Nabi ini?”
     – “Subhanallah” katanya sambil merasa hairan. “Aku tidak pernah tahu yang Imam Malik, Imam Dar al-Hijrah, menyalahi nas-nas Nabi.”

Yang hadir juga kehairan dengan kata-kataku ini. Mereka sangat terkejut atas sikapku yang sangat ‘berani” terhadap Imam Malik yang tidak pernah dilihatnya sebelum ini dari ulama-ulama yang lain. Kemudian aku menambah lagi:
     – “Apakah Imam Malik dulunya dari kalangan sahabat?”
     – “Bukan.” Jawabnya.
     – “Apakah beliau dari kalangan Tabi’in?”
     – “Bukan. Bahkan dari kalangan Tabi’it-Tabi’in, generasi keempat setelah Nabi saw.”
     – “Mana yang lebih dekat kepada Rasul; Imam Malik atau Imam Ali bin Abi Thalib?”
     – “Imam Ali bin Abi Thalib.  Beliau adalah satu dari empat Khulafa’ Rasyidin.”
     Salah seorang dari yang hadir berkata :
     – “Sayyidina Ali Karramallahu Wajhahu adalah gerbang kota ilmu.”
     – “Mengapa kalian tinggalkan gerbang kota ilmu dan ikut seorang bukan sahabat dan bukan Tabi’in sekalipun. Bahkan seorang yang dilahirkan setelah berlakunya berbagai pertelingkahan antara kaum muslimin, dan setelah kota Madinah Nabi dicabuli oleh tentera Yazid dan diperlakukan sedemikian rupa sehingga sahabat-sahabat yang terbaik terbunuh, para wanita diperkosa dan sunnah-sunnah Nabi diubah. Bagaimana seseorang boleh percaya sepenuhnya kepada imam-imam yang dipersetujui oleh para penguasa saat itu, yang memberikan fatwanya mengikut persetujuan mereka.”
Salah seorang dari mereka berkata:
     – “Memang kami pernah dengar yang anda adalah seorang Syiah yang menyembah Imam Ali.”
Serta merta sahabat yang duduk di sampingnya manamparnya dengan agak kuat, lalu berkata:
     – “Diam. Apakah anda tidak malu berkata seperti ini kepada seseorang yang terhormat seperti beliau. Aku banyak kenal ulama, tetapi aku tidak pernah melihat perpustakkan sebesar ini. Beliau berbicara dengan pengetahuan yang dalam dan penuh keyakinan.”
 Aku jawab:
     – “Memang benar saya seorang Syiah. Tetapi Syiah tidak menyembah Ali. mereka ikut Imam Ali sebagai ganti dari ikut Imam Malik. Kerana Ali adalah gerbang kota olmu seperti yang kalian saksikan.”
Penghulu agama berkata: “Apakah Imam Ali menghalalkan perkahwinan dua adik-beradik susuan?”
     – “Tidak. Beliau menghukum-muhrimkannya jika si bayi menyusu sebanyak lima belas kali dengan kenyang dan berturut-turut atau sehingga menumbuhkan daging dan tulang.”
Mendengar ini ayah si isteri merasa sangat lega dan berkata:
     – “Alhamdulillah. Anakku hanya menyusu dua atau tiga kali sahaja. Fatwa Imam Ali ini adalah jalan keluar bagi kami dari kemusykilan ini dan rahmat Allah kepada kami setelah puas kami mencari dan hampir-hampir putus asa.”
Penghulu berkata: “Berikan kami dalilnya agar kami berpuashati.”
Lalu kuberikan kepada mereka kitab Minhaj as-Sholihin, fatwa Syed al-Khui. Dibacakannya Bab Hukum Menyusui kepada mereka. Semua mereka sangat gembira terutama si suami yang takut kalau-kalau saya tida mempunyai dalil yang memuaskan. Mereka memohon agar aku meminjamkan buku tersebut kepada mereka agar dapat berhujah kelak di kampungnya. Lalu ku serahkan buku tersebut setelah mereka meminta izin untuk pulang.

Setelah mereka keluar dari rumahku mereka berjumpa dengan seseorang yang akhirnya membawa mereka kepada beberapa ulama-upahan. Diugutnya mereka dan dikatakan yang aku adalah agen Israel, kitab Minhaj as-Solihin yang kuberikan itu adalah sesat, penduduk Irak semuanya kafir dan munafik, dan Syiah adalah Majusi yang menghalalkan perkahwinan adik beradik. Kerana itu tidak hairan kalau aku menghalalkan perkahwinan antaara adik beradik susu dan berbagai tuduhan lain yang mengarut. Sedemikian rupa ancaman mereka sehingga kesemuanya kembali seperti semula dan tidak percaya akan kebenaran pendapat yang ku berikan.

Dipaksanya sang suami mengangkat perkara ini ke mahkamah negeri di Qafsah. Ketua mahkamah meminta mereka pergi ke pusat dan meminta penyelesaian dari Mufti Besar Negara. Maka pergilah orang yang malang ini ke sana dan menunggu selama satu bulan penuh untuk dapat menghadap mufti. Diveritakannya masalahnya dari awal hingga akhir. Mufti bertanya tentang pendapat ulama yang menganggap sah perkahwinan mereka. Katanya tiada siapa pun yang mengatakan demikian kecuali seorang yang bernama at-Tijani as-Samawi. Mufti mencatat namaku dan berkata kepada orang ini: “Pulanglah! Aku akan kirimkan sepucuk surat kepada ketua mahkamah negeri di Qafsah.”

Tidak lama selepas itu tibalah sepucuk surat dari Mufti Besar. Kemudian wakil orang ini memberitahunya bahawa mufti juga menghukumkan haram perkahwinan mereka dan dianggap tidak sah.

Itulah apa yang diceritakan oleh orang yang malang dan lemah ini kepadaku. Dia meminta maaf kerana telah menyebabkanku susah dan terganggu. Aku juga berterima kasih kepadanya atas timbang rasanya yang tinggi. Tetapi aku hairan kenapa mufti besar menganggap perkahwinan seumpama itu tidak sah. Aku minta orang ini mendapatkan lembaran tulisan yang dikirimkan oleh mufti kepada mahkamah di sini agar aku dapat memuatnya di akhbar-akhbar Tunisia. Aku ingin katakan bahawa mufti tidak mengetahu mazhab-mazhab Islam dan jahil akan perbedaan-perbedaan fiqh mereka di dalam perkara susu-menyusu ini.

Orang ini berkata bahawa dia tidak dapat melihat fail perkaranya, apalagi untuk mendapatkannya. Akhirnya kami berpisah.

Setelah beberapa hari sepucuk surat panggilan datang kepadaku dari mahkamah. mereka memerintahkanku agar datang membawa rujukan dan hujah atas keabsahan perkahwinan “dua adik-beradik susu” ini.  Aku datang dengan membawa berbagai buku rujukan yang telah ku teliti sebelum ini. Setiap Bab Menyusui ku letakkan tanda agar mudah dapat mengenalnya kelak. Aku pergi pada waktu dan jam yang ditentukan itu. Sekretari ketua mengambil kedatanganku dan memintaku masuk ke ruang bilik pejabat ketua. Di sana aku dikejutkan dengan kehadiran ketua mahkamah negeri, ketua mahkamah kampung dan wakil dari pusat beserta tiga anggotanya yang lain.  Semua mereka mengenakan pakaian kebesaran mahkamah yang seakan-akan mereka sedang berada dalam satu perjumpaan resmi. Aku perhatikan juga di sana ada lelaki yang malang itu duduk di sisi lain. Aku ucapkan salam kepada semua. Semua mereka memandangku dengan sikap menghina dan jengkel. Ketika aku duduk , ketua mereka berbicara kepadaku dengan nada yang kasar:
     – “Anda Tijani Samawi?”
     – “Ya.” Jawabku
     – “Anda yang memberi fatwa akan sahnya perkahwinan ini?
     – “Bukan saya. Tetapi Imam-imam fiqh dan ulama kaum Muslimin yang memberikan fatwa akan sahnya perkahwinan tersebut.”
     – “Itulah kenapa kami memanggilmu. Anda sekarang dalam tuduhan. Jika anda tidak dapat membuktikan kebenaran dakwaan anda makan anda akan dihukum penjara. Dan dari sini anda akan terus diiring ke penjara.”

Aku sedar bahawa aku kini dalam suatu tuduhan. Bukan kerana aku memberikan fatwa tersebut, tetapi ada beberapa ulama jahat yang mengatakan kepada penguasa bahawa aku adalah penyuluh fitnah , mencaci sahabat dan menyebarkan Syiah Ahlul Bait Nabi. Ketua mahkamah berkata bahawa jika ada dua saksi yang membuktikan kesalahanku maka dia akan memasukkanku ke dalam penjara.

Di sisi lain, Jama’ah Ikhwan Muslimin memanipulasi fatwa ini. Mereka sebarkan kepada kalangan umum dan khusus bahawa aku menghalalkan nikah antara adik-beradik. Dan ini adalah pendapat Syi’ah. Begitulah dugaan mereka.

Semua ini aku sedari ketika Ketua Mahkamah mengancamku dengan penjara. Tiada lain bagiku waktu itu kecuali menentang dan mempertahankan deri dengan penuh keberanian. Kukatakan kepada ketua: “Apakah saya boleh bercakap dengan terus terang dan tanpa takut?”
     – “Bercakaplah. Tetapi anda tidak mempunyai pembela.”
     – “Pertama-tama, aku tidak mengangkat diriku sebagai mufti. Ini suami perempuan itu berada di hadapan kalian dan tanyakan kepadanya. Dialah yang datang ke rumahku dan bertanya kepadaku. Sudah tentu aku wajib mengjawabnya mengikut apa yang aku tahu. Aku tanyakan kepadanya berapa kali dia minum susu tersebut. Ketika diberitahunya bahawa isterinya menyusu dua atau tiga kali sahaja maka aku memberitahu kepadanya hukum Islam yang benar. Dalam hal ini aku bukan seorang yang mujtahid dan bukan pula seorang yang mengadakan syariat baru.”
     – “Aneh. Anda sekarang mendakwa yang anda tahu akan hukum Islam dan kami jahil.”
     – “Astaghfirullah. Aku tidak bermaksud demikian. Semua orang di sini tahu apa pendapat mazhab Imam Malik dan hanya berhenti pada pendapatnya saja, sementara aku menelitinya dalam berbagao mazhab dan mendapatkan cara penyelesaiannya di sana.”
     – “Di mana anda dapatkan jalan penyelesaiannya?” tanya ketua.
     – “Sebelum itu bolehkah aku bertanya satu soalan hai ketua?”
     – “Tanyakanlah apa yang kau mahu.”
     – “Apa pendapat anda tentang mazhab-mazhab Islam yang lain?”
     – “Semua benar. Semua mereka mengambilnya dari Nabi; dan perselisihan yang ada adalah rahmat.”
     – “Kalau demikian maka kasihanilah orang yang malang ini (sambil menunjuk ke arah orang tersebut) yang telah dua bulan lebih berpisah dengan isteri dan anak-anaknya. Padahal di sana ada mazhab Islam lain yang memberinya penyelesaian.”

Dengan nada marah ketua itu berkata:
     – “Bawakan dalilnya dan jangan berdolak dalik. Kami telah berikan hak kepadamu untuk membela dirimu; dan sekarang kau mahu membela orang lain.”

Kuberikan kepadanya kitab Minhaj as-Solihin, fatwa Syed al-Khui. Kukatakakan kepadanya bahawa ini adalah mazhab Ahlul Bait. Di dalamnya memuat berbagai dalil. Kemudianbeliau memotong kata-kataku: “Jangan libatkan kami dengan mazhab Ahlul Bait. Kami tidak mengenalnya dan tidak beriman kepadanya.”

Aku memang menduga demikian. Kerana itu aku bawa bersamaku beberapa buku rujukan Ahli Sunnah Wal Jamaah yang telah ku kaji dan ku susun sejauh pengetahuanku. Kuletakkan Sahih al-Bukhori di bahagian pertama. Kemudian Sahih Muslim. Lalu kitab fatwa Syaltut, Bidayah al-Mujtahid Wa Nihayah al-Muqtasid karangan Ibnu Rushd, kitab Zad al-Masir Fi I’lmi at-Tafsir karangan Ibnu al-Jauzi dan beberapa buku rujukan lain dari kalangan Ahli Sunnah.

Ketika pengetua menolak kitab Syed al-Khui, kutanyakan keadanya kitab apa yang beliau pegang dan jadikan rujukan. “Bukhori dan Muslim,” katanya. Lalu ku ambil kitab Sahih al-Bukhori dan kubukakan halaman yang telah ku tandakan. “Silakan baca hai yang arif.” kataku mempersilakan. “Engkau baca.” Mintanya kepadaku. Lalu kubaca: “Telah diriwayatkan oleh Fulan daripada si Fulan dan daripada A’isyah Ummul Mukminin yang berkata: “Rasulullah saw meninggal dan tidak menjatuh-muhrimkan susuan melainkan setelah lima susuan atau lebih.”

Maka pengetua tersebut mengambil buku itu dariku dan membacanya. Kemudian diberikannya kepada wakil dari pusat yang duduk di sampingnya. Lalu dibacanya dan diberikannya pula kepada orang yang duduk di sisinya. Kemudian aku keluarkan pula kitab Sahih Muslim dan kubukakan pula hadis yang sama. Lalu kitab Fatwa Syaikh al-Azhar Mahmud Syaltut, di mana beliau telah menjelaskan berbagai perbezaan pendapat para imam fiqh tentang perkara susu-menyusu ini. Ada sebahagian pendapat mengatakan bahawa ia akan jatuh muhrim setelah lima belas kali susuan; pendapat lain mengatakan setelah tujuh kali susuan, dan pendapat berikutnya di atas lima kali susuan. Melainkan Imam Malik yang menyalahi nas dan menjatuh-muhrimkan walau satu titis sekalipun. Kemudian Syaltut berkata: “Aku condong pada pendapat yang tengah, yakni tujuh kali susuan atau lebih.”

Setelah ketua mahkamah mengetahui semua itu, beliau berkata: “Cukuplah.”  Kemudian beliau memandang pada suami wanita tersebut dan berkata: “Engkau pergi dan bawa ayah isterimu ke mari untuk menyeksikan di hadapanku bahawa anaknya menyusu hanya dua atau tiga kali saja. Kalau betul maka kau boleh ambil isterimu semula hari ini juga.

Orang yang malang ini pun pergi. Wakil dari pusat dan hadirin yang lain meminta izin keluar meneruskan tugas masing-masing. Ketika majlis itu lengang, pengetua tersebut menghadapku sambil meminta maaf. Katanya: “Maafkan aku hai Ustaz. Mereka telah mengelirukan aku tentang dirimu. Mereka berkata tentang hal yang aneh-aneh atas dirimu. Sekarang aku tahu yang mereka hasad dan dengki kepadamu.”

Hatiku sangat gembira melihat perubahan kilat seperti itu. Aku berkata: “Segala puji bagi Allah yang telah memenangkanku di tanganmu hai pengetua yang arif.”
     – “Aku dengar anda juga mempunyai buku Hayat al-Hayawan al-Kubro karya ad-Dumairi?” Tanyanya kepadaku.
     – “Ya.” Jawabku.
     – “Bolehkah anda pinjamkan  padaku? Telah dua tahun aku mencari buku itu.”
     – “Ia adalah milikmu bila saja kau mahu.”
     – “Apakah anda mempunyai masa untuk datang ke pejabatku agar kita berbincang dan belajar darimu.” Pintanya.
     – “Astaghfirullah. Saya yang seharusnya belajar darimu. Anda adalah orang yang lebih tua dan lebih agung dariku. Saya ada empat hari cuti dalam seminggu. Saya sentiasa hadir menerima jemputanmu.”

Akhirnya kami sepakat  setiap hari Sabtu untuk dapat duduk bersama, kerana hari itu beliau tidak disibukkan dengan urusan mahkamah. Setelah beliau memintaku meninggalkan kitab Bukhori dan Muslim serta kitab Fatwa Syaltut untuk dapat disalinnya semua nas-nas yang ada, beliau sendiri berdiri dan menghantarku pulang sehingga pintu tanda satu penghormatan.

Aku keluar dengan hati yang sangat gembira sambil memuji-muji Allah atas kejayaan ini di mana sebelumnya aku masuk dalam keadaan takut dan diancam penjara. Kini aku keluar dari mahkamah dan pengetuanya telah menjadi seorang sahabat yang dekat, menghormatiku dan memintaku menemaninya agar dapat “belajar”. Semua ini adalah berkat Ahlul Bait yang tiada akan rugi orang yang berpegang kepada mereka dan akan aman orang yang merujuk kepada mereka.

Suami yang malang tadi menceritakan semua apa yang dilihatnya kepada penduduk desanya sehingga berita itu tersebar ke seluruh pelusuk desa yang ada di sekitarnya. Dia kini kembali bersama-sama isterinya dan perkara perkahwinannya dianggap sah. Prang-prang mula berkata yang aku lebih alim dari semua, hatta dari mufti besar sekalipun.

Si suami ini kemudian datang ke rumahku dengan keretanya yang besar, ingin mengajak aku dan keluargaku ke desanya. Dia memberitahuku bahawa semua keluarganya sedang menunggu kedatanganku. Mereka akan sembelih tiga ekor anak unta sebagai tanda kesyukuran dan kegembiraan. Tetapi aku meminta maaf kerana tidak dapat hadir lantaran kesibukanku di Qafsah. Kukatakan kepadanya bahawa aku akan mengunjungi kalian di masa lain Insya Allah.

Lalu pengetua mahkamah tadi pun menceritakan kejadian itu kepada sahabat-sahabatnya sehingga tersebarlah cerita itu dan Allah telah menolak tipu daya orang-orang yang menipu. Sebahagian mereka datang meminta maaf dan sebahagian lagi Allah bukakan hatinya untuk menerima hidayat dan kebenaran sehingga mereka ikut mazhab Ahlul Bait dan menjadi orang-orang yang mukhlisin. Semua ini adalah kurnia Allah yang Dia berikan kepada mereka yang dikehendakiNya. Dan Allah Maha Pemberi Kurnia Yang Agung.

Wa Akhiru Da’wana Anil Hamdulillahi Rabbil A’lamin. Wa Sollallahu A’la Sayyidina Muhammadin Wa A’la A;lihi at-Thayyibin Wat Tahirin.

2 responses to “Petunjuk Kebenaran Menuju Puncak Kemanusiaan [Terakhir]

  1. Assalamu’alaikum,
    Saya termasuk salah 1 dari berjuta-juta umat Islam yang pengetahuan & pengalaman agama (Islam) yang dangkal.
    saya baru mrendengar & mengenal Syiah (ahlul bait) Januari 2010. semoga belum terlambat saya untuk belajar & mengenal Ahlul bait.
    terima kasih info2 & penjelasan2 meskipun tidak detail. Alhamdulillah, memotivasi saya untuk lebih & lebih belajar.

    wassalam

  2. Assalamualaikum Akhi Irza,
    Saya sarankan untuk membaca buku “Akhirnya Kutemukan Kebenaran” karya DR. Muhammad At-Tijani As-Samawi secara utuh. Kisah nyata tentang perjalanan mencari kebenaran, luar biasa ….. buku ini merupakan salah satu buku favorite saya dan berulang kali saya baca dan hadiahkan kepada teman-teman saya. Semoga Allah memberikan petunjuk jalan kebenaran kepada kita semua. Aamiin.
    Wassalam

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s