Pandangan Al-Qur’an Tentang Sahabat [16]

Oleh: Tijani

Pertama-tama harus aku ingatkan bahawa Allah SWT telah memuji di dalam berbagai ayat al-Qur’an tentang sahabat-sahabat Rasul SAWA yang memang benar-benar mencintainya dan mematuhinya tanpa ada suatu tujuan atau tentangan atau keangkuhan. Mereka semata-mata hanya inginkan keredhaan Allah dan RasulNya, dan Allah juga redha kepada mereka lantaran ketaqwaan mereka kepadaNya. Ini adalah golongan sahabat yang dinilai tinggi oleh segenap kaum Muslimin lantaran sikap dan perilaku mereka yang luhur terhadap baginda Nabi SAWA. Setiap kali mereka disebut, maka kaum Muslimin akan mencintai mereka, mentakzimkan kedudukan mereka dan mengucapkan kalimah Radhiallahu A’nhum kepada mereka.

Kajianku bukan pada golongan sahabat jenis ini yang sangat dihormati dan disanjung tinggi oleh Sunnah dan Syiah. Sebagaimana aku juga tidak akan menyentuh pada golongan yang dikenal dengan sifat munafiknya dan yang dilaknat oleh segenap kaum Muslimin, Sunnah dan Syiah. Aku hanya akan mengkaji pada golongan sahabat yang dipertikaikan oleh kaum Muslimin, dan yang kadang-kadang dicela dan diancam oleh al-Qur’an. Sahabat-sahabat jenis ini seringkali diperingatkan oleh Rasulullah SAWA di dalam berbagai kesempatan atau baginda memperingatkan kaum Muslimin dari mereka. Dan di sinilah letak perbezaan antara Sunnah dan Syiah di dalam menilai sahabat. Syiah meragukan keadilan mereka da nmengkritik ucapan dan tindak-tanduk mereka sementara Ahlul Sunnah Wal Jamaah menghormati mereka walau terbukti mereka telah melakukan berbagai pelanggaran.

Kajianku hanya pada golongna sahabat jenis ini agar aku dapat sampai – dari penelitian ini – pada suatu kebenaran atau sebahagian kebenaran sekalipun. Aku nyatakan ini agar jangan sampai ada orang yang berkata bahawa aku telah melupakan berbagai ayat yang memuji para sahabat Rasulullah SAWA, dan hanya mengungkapkan ayat-ayat yang mencela sahaja. Namun dalam penelitianku, aku menjumpai ada berbagai ayat yang bernada memuji tetapi ia juga menyirat suatu celaan atau sebaliknya.

Aku tidak akan memuatkan di sini semua hasil penelitianku selama tiga tahun yang aku telah lakukan. Aku hanya akan sebutkan sebahagian ayat sahaja sebagai contoh demi ringkasnya tulisan ini. Tetapi bag mereka yang inginkan perincian dan perluasan, mereka hendaklah menyempatkan masa untuk mengkaji, membuat perbandingan dan meneliti seperti yang aku lakukan agar kebenaran yang didapati adah benar-benar hasil titik peluh sendiri seperti yang dituntut oleh Allah dari setiap kita, dan seperti yang dituntut juga oleh hati nurani masing-masing. Kerana ia akan memberikan keyakinan yang sangat mendalam yang tidak akan dapat digoyahkan oleh sebarang angin yang bertiup. Sudah pasti bahawa kebenaran yang didapati lantaran kepuasan sendiri (qina’ah nafsiyyah) adalah lebih baik dari sekadar unsur luar yang mempengaruhi.

Allah SWT berfirman ketika memuji NabiNya,”Dan Dia mendapatimu sebagai seorang yang bingung, lalu Dia memberikan petunjuk” (Al-Qur’an:93: 7). Ia bermaksud Dia menunjukkanmu kepada kebenaran ketika kau mencarinya. Allah juga berfirman,”Dan orang-orang yang berjihad (bersungguh-sungguh) di dalam (mencari) jalan Kami, benar-benar akan Kami tunjukkan kepada mereka jalan-kalan Kami” (Al-Qur’an:29: 69).

1. Ayat Inqilab

Allah berfirman,”Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul. Apakah jika dia wafat atau dibunuh kamu berbalik ke belakang (murtad)? Barang siapa yang berbalik ke belakang, maka ia tidak dapat mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun, dan Allah akan memberi balasan kepada orang-orang yang bersyukur” (Al-Qur’an 3: 144)

Ayat ini amat jelas menunjukkan bahawa sahabat akan berbalik ke belakang setelah wafatnya Rasulullah SAWA dan hanya sedikit yang masih tetap konsisten seperti yang tersirat di dalam kandungan ayat tersebut. Ini dapat kita fahami dari ungkapan kalimah “as-Syakirin” yang menunjukkan masih adanya orang-orang yang tetap dan konsiten dan tidak berbalik ke belakang. Orang-orang as-Syakirin ini tidak berjumlah banyak seperti yang difirmankan oleh Allah di dalam ayat lain:”Dan sedikit sekali dan hamba-hambaKu yang berterima kasih” (Al-Qur’an 34:13).

Serangkaian hadith-hadith Nabi juga menafsirkan ayat ini seperti yang akan kita sebutkan sebahagiannya. Walaupun Allah tidak sebutka balasan yang akan ditimpakan kepada orang-orang yang berbalik ke belakang di dalam ayat ini dan hanya memuji serta akan memberi ganjaran kepada orang-orang  yang bersyukur sahaja, namun sudah sangat jelas bahawa mereka yang berbalik ke belakang sudah pasti tidak akan mendapatkan apa-apa ganjaran. Hal ini akan kita bincangkan Insya Allah di dalam melihat hadith-hadith Nabi yang berkenaan dengannya. Ayat ini juga tidak dapat ditafsirkan kepada orang-orang seperti Tulaihah, Sujah, dan al-Aswad al-Ansi, lantaran inginkan memelihara kemuliaan sahabat. Sebab tiga orang di atas telah murtad di zaman baginda sendiri. Nabi telah memerangi mereka dan mengalahkan mereka. Ayat ini juga tidak dapat ditasfirkan kepada Malik bin Nuwairah dan para pengikutnya yang enggan memberikan zakat di zaman Abu Bakar lantaran berbagai sebab. Antara lain: kerana mereka berhati-hati dan ingin tahu perkara yang sebenarnya. Mengingat mereka pergi haji bersama Rasulullah di Hujjah al-Wada’ (haji Nabi yang terakhir) dan di sana mereka telah membai’ah Imam Ali bin Abi Talib di Ghadir Khum setelah beliau dilantik oleh baginda sebagai khalifahnya. Abu Bakar juga memberikan bai’ah. Tiba-tiba mereka terkejut dengan kedatangan seorang utusan sang khalifah (Abu Bakar) yang memberitahu mereka bahawa Nabi SAWA telah wafat, dan atas nama khalifah baru, yakni Abu Bakar, mereka meminta harta zakat. Peristiwa ini juga hampir diabaikan oleh sejarah kerana beralasan ingin menjaga kemuliaan sahabat. Sedangkan Malik dan para pengikutnya juga adalah orang-orang Muslim. Hal ini di saksikan sendiri oleh Umar dan Abu Bakar serta beberapa sahabat yang lain. Mereka membantah Khalid bin Walid kerana membunuh Malik bin Nuwairah ini. Dan sejarah sendiri membuktikan bahawa Abu Bakar membayar diat (ganti rugi akibat pembunuhan) Malik kepada saudaranya Mutammin dari harta Baitul Mal dan meminta maaf atas pembunuhan ini. Padahal di dalam Islam sangat jelas bahawa mereka yang murtad wajib dibunuh, diatnya tidak boleh diberikan dari Baitul Mal dan tidak perlu meminta maaf.

Apa yang penting adalah ayat inqilab ini yang memberi maksud kepada para sahabat yang hidup di zaman Nabi dan di kota Madinah itu sendiri. Ianya menunjukkan bahawa mereka akan berbalik ke belakang segera setelah wafatnya baginda Nabi SAWA. Hadith-hadith Nabi menerangkannya sejelas-jelasnya tentang hal ini dan tidak menyiratkan sebarang keraguan. Dan kita akan bincangkan hal ini di dalam perbahasan kemudian, Insya Allah. Sejarah juga sebaik-baik bukti atas inqilab (berbalik ke belakang) mereka setelah wafatnya Nabi ini. Dan kita akan lihat betapa sedikitnya yang selamat ketika kita teliti peristiwa-peristiwa yang berlaku di antara kalangan para sahabat itu sendiri.

2. Ayat Jihad

Allah berfirman,”Wahai orang-orang yang beriman, apakah sebabnya apabila dikatakan kepada kamu:”Berangkatlah (untuk berperang) di jalan Allah kamu merasa berat dan ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu puas dengan kehidupan di dunia sebagai ganti kehidupan akhirat? Padahal kenikmatan kehidupan di dunia (dibandingkan dengan kehidupan) di akhirat hanyalah sedikit. Jika kamu tidak berangkat untuk berperang, nescaya Allah menyiksa kamu dengan siksaan yang pedih dan digantinya (kamu) dengan kaum yang lain, dan kamu tidak akan dapat memberi kemudaratan kepadaNya sedikitpun. Allah Maha Berkuasa atas segala sesuatu” (Al-Qur’an 38: 39). Maha Benar Allah Yang Maha Agung.

Ayat ini juga sangat jelas mengatakan bahawa sahabat merasa berat untuk pergi berjihad di jalanNya. Mereka lebih memilih untuk hidup di dunia walau mereka tahu kenikmatannya hanya sedikit sekali. Sikap mereka ini dicela oleh Alla dan diancam dengan azab yang pedih. Dan Allah akan mengganti mereka dengan orang-orang Mukmin lain yang jujur. Ancaman penggantian ini tersurat di dalam berbagai ayat Al-Qur’an. Ini menunjukkan bahawa mereka seringkali  menunjukkan rasa berat di dalam berjihad di jalan Allah SWT. Di dalam ayat lain Allah berfirman,” Dan jika kamu berpaling, nescaya Dia akan mengganti (kamu) dengan kaum yang lain, dan mereka tidak akan seperti kamu (ini)” (Al-Qur’an 47: 38). Atau firman Allah yang lain,”Hai orang-orang yang beriman, barang siapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap Mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad di jalan Allah, dan tidak takut kepada celaan orang-orang yang suka mencela. Itulah kurnia Allah yang diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya, dan Allah Maha Luas (pemberianNya) lagi Maha Mengetahui” (Al-Qur’an 5:54).

Kalau kita ingin memperincikan ayat-ayat yang menyirat makna seperti ini dan mengungkapkan kebenaran adanya pembahagian taraf sahabat seperti yang dikatakan oleh Syiah, khususnya sahabat seperti yang kita bincangkan ini, maka tak syak lagi ia akan memerlukan suatu buku tersendiri. Al-Qur’an telah mengungkapkannya dengan nada yang ringkas dan sangat fasih. Firman Allah,”Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada ma’aruf dan mencegah dari mungkar. Merekalah orang-orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang-orang yang bercerai-berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksaan yang berat. Pada hari yang di waktu itu ada muka menjadi hitam muram. Adapun orang-orang yang menjadi hitam muram mukanya (kepada mereka dikatakan):”Kenapa kamu kafir sesudah kamu beriman? Kerana itu rasakanlah azab disebabkan kekafiranmu itu?” Adapun orang-orang yang menjadi putih berseri mukanya, maka mereka berada dalam rahmat Allah (syurga); mereka kekal di dalamnya” (Al-Qur;an 3: 104-107). Maha Benar Allah Yang Maha Tinggi Dan Maha Agung.

Bagi para pengkaji dan peneliti, mereka tahu bahawa ayat ini bercakap dengan para sahabat dan mengingatkan mereka dari perselisihan dan perpecahan setelah datangnya hujah-hujah yang jelas. Ia mengancam mereka dengan azab yang pedih dan membahagi mereka kepada dua golongan. Yang satu akan dibangkitkan kelak dengan muka berseri-seri; mereka adalah orang-orang yang bersyukur yang berhak menerima rahmat Allah SWT. Yang lain akan dibangkitkan kelak dengan muka yang hitam dan muram; mereka adalah orang-orang yang telah murtad setelah mereka beriman. Dan Allah telah mengecam mereka dengan azab yang pedih.

Jadi, jelas bahawa para sahabat telah berpecah dan berselisih setelah wafatnya Nabi SAWA. Mereka telah menyalakan api fitnah sehingga mereka saling berperang dan menumpahkan darah yang mengakibatkan kemunduran kaum Muslimin dan menjadi sasaran musuh-musuhnya. Ayat di atas tidak dapat ditakwilkan atau diubah pengertiannya lain dari apa yang difahami oleh akal.

3. Ayat Khusyuk

Firman Allah,”Belumkah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman untuk menundukkan hati mereka mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah turun (kepada mereka). Dan janganlah mereka menjadi seperti orang-orang yang sebelumnya yang telah diturunkan al-Kitab kepadanya, kemudian berlalulah masa yang panjang atas mereka lalu hati mereka menjadi keras. Dan kebanyakan di antara mereka adalah orang-orang yang fasik” (Al-Qur’an 57: 16). Maha Benar Allah Yang Maha Tinggi Dan Maha Agung.

Di antara kitab al-Dur al-Manthur oleh Jallaluddin as-Suyuti, beliau berkata,”Ketika sahabat-sahabat Nabi datang ke Madinah,  mereka merasakan kenyamanan hidup dibandingkan dengan penderitaan yang mereka alami sebelumnya. Seakan-akan mereka menjadi lemah atas sebahagian kewajipan yang sepatutnya dilakukan sehingga mereka dihukum seperti yang tersurat dalam ayat ini. Di dalam riwayat lain dari Nabi SAWA yang bersabda, bahawa Allah SWT melihat keengganan hati para Muhajirin walau setelah tujuh belas tahun dari turunnya ayat berikut,”Bukankah datang waktunya bagi orang-orang yang beriman….”

 Nah, jika para sahabat – manusia yang paling baik dalam pandangan Ahlul Sunnah Wal Jamaah – masih belum mempunyai hati yang khusyuk dan tunduk ketika mengingati Allah dan kepada kebenaran yang telah diturunkan sepanjang tujuh belas tahun, sehingga Allah melihat keengganan mereka dan menegur mereka serta mengingatkan mereka dari memiliki hati yang keras yang mungkin boleh membawa kepada kefasikan, maka kita tidak dapat menyalahkan orang-orang Quraisy yang masuk Islam pada tahun ke tujuh Hijrah setelah pembukaan Mekah.

Demikianlah sebahagian contoh yang dapat aku simpulkan dari Kitab Allah. Buktinya sangat kuat menunjukkan bahawa tidak semua sahabat adalah adil seperti yang dikatakan oleh Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Dan jika kita teliti di dalam hadith-hadith Nabi, maka kita akan dapati contoh-contoh lain yang berlipat ganda. Mengingat aku telah berjanji untuk membuatnya secara ringkas, maka aku tuliskan sebahagian contoh sahaja, dan biarlah pengkaji-pengkaji lain meneliti permasalahan ini dengan lebih dalam lagi.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s