Ragu-ragu Dan Bingung [12]

Oleh: Tijani 

Jawaban Sayyid Muhammad Baqir as-Sadr jelas dan menyakinkan tetapi apakah mungkin ia akan mempengaruhi orang seumpamaku yang telah menghabiskan umurnya selama dua puluh lima tahun di dalam prinsip mensucikan para sahabat dan menghormati mereka terutamanya Khulafa al-Rasyidin yang Rasulullah SAW menyuruh kita berpegang teguh dengan sunnah mereka dan berjalan di bawah bimbingan mereka. Di atas semua mereka adalah Sayyidina Abu Bakar as-Siddiq dan Sayyidina Umar al-Faruq. Dan sejak kedatanganku ke Iraq tidak pernah aku dengar nama mereka. Yang aku dengar adalah nama-nama lain yang asing bagiku dan nama dua belas imam. Mereka juga mendakwa bahawa Rasulullah SAWA telah menunjuk Ali sebagai khalifah sebelum wafatnya. Bagaimana mungkin aku dapat mempercayainya bahawa para sahabat yang mulia, manusia yang paling utama selepas Nabi, bersepakat di dalam menentang Ali Karamallah wajhahu. Dan sejak kecil lagi kami diajar bahawa para sahabat RA sangat menghormati Imam Ali dan mengetahui haknya. Beliau adalah suaminya Fatimah az-Zahra’, ayahnya Hasan dan Husayn dan pintu kota ilmu. Begitu juga Sayyidina Ali. Beliau tahu haknya Abu Bakar as-Siddiq, orang pertama yang masuk Islam dan menemui Rasul sewaktu beliau berada di gua sebagaimana yang disebutkan di dalam al-Qur’an. Rasulullah SAWA juga telah menyuruhnya menjadi imam jamaah ketika baginda sakit dan bersabda untuknya:”Seandainya aku harus mengambil Khalil (teman dekatku) maka Aku Bakar yang aku akan ambil sebagai Khalilku.” Itulah kenapa kaum Muslimin memilihnya sebagai Khalifah mereka. Imam Ali juga tahu tentang keutamaan Sayyidina Umar kerananya Islam telah diangkat oleh Allah dan Rasul telah memberinya gelaran sebagai al-Faruq, yakni yang memisahkan antara haq dan batil. Beliau juga tahu tentang keutamaan Sayyidina Uthman di mana Malaikat Rahman malu kepadanya dan yang telah menyediakan Pasukan al-U’srah serta dinamakan Rasulullah sebagai Zun Nurain (yang mempunyai dua cahaya).

Kenapa saudara-saudara kami kaum Syiah tidak mengetahui semua ini, ataukah mungkin mereka berpura-pura tidak tahu dan menjadikan mereka sebagai manusia-manusia diumbang-ambingkan oleh hawa nafsu dan kerakusan duniawi daripada mengikuti yang haq. Kerana itu maka mereka melanggar perintah Nabi setelah wafatnya, padahal sebelumnya mereka berlumba-lumba untukmenjalankan perintahnya; bahkan ada yang membunuh anak-anak mereka, ayah-ayah mereka dan keluarga mereka demi kemuliaan Islam dan kejayaannya. Mereka yang membunuh ayah  dan anaknya lantaran patuh kepada Allah dan RasulNya tidak mungkin akan dipengaruhi oleh dunia yang fana ini, seperti merebut jawatan khalifah, lalu berpura-pura jahil dengan perintah Rasulullah dan meninggalkannya.

Kerana alasan-alasan itu aku tidak percaya pada apa yang dikatakan oleh Syiah walaupun dalam banyak hal aku yakin dengan hujah-hujah mereka. Aku bingung dan ragu-ragu. Ragu-ragu lantaran kata-kata ulama Syiah sangat rasional dan logik. Bingung dan tidak percaya lantaran para sahabat RA dipandang sedemikian rupa sehingga mereka seperti manusia biasa bagaikan diri kita ini. Tiada cahaya Risalah menyinari mereka dan tiada pula bimbingan Muhammad mendidik mereka. Ya Ilahi, bagaimana mungkin terjadi begini? Mungkinkah para sahabat dalam taraf yang dikatakan oleh orang-orang Syiah itu? Yang penting sikap ragu-ragu dan bingung ini adalah mulanya kelemahan dan pengakuan bahawa di sana ada hal-hal tersembunyi yang harus dibongkar agar dapat sampai kepada kebenaran.

Temanku Mu’nim datang dan kami pergi ke Karbala. Di sana aku ikut serta dalam majlis musibahnya Sayyidina Husayan sebagaimana yang dihayati oleh orang-orang Syiah. Waktu itu aku sedar bahawa Sayyidina Husayn sebenarnya ‘belum mati.’ Orang-orang begitu ramai dan saling bersesak-sesak di sekitar kuburannya Sayyidina Husayn. Mereka menangis teresak-esak yang tidak pernah aku saksikan seumpama ini sebelum ini yang bagaikan Husayn baru sahaja syahid. Aku dengar para penceramah menggugah emosi dan perasaan para hadirin dengan menceritakan tragegi Karbala dengan suara yang mengharukan. Hampir setiap orang yang mendengarnya tidak dapat menahan diri kecuali ikut menangis. Aku menangis dan terus menangis. Aku biarkan diriku melepaskan deritanya yang seakan-akan sebelum ini terbelenggu. Aku rasakan suatu kelegaan jiwa yang luar biasa yang tidak pernah aku ketahui sebelum ini. Seakan-akan dahulunya aku berada di barisan musuh-musuh Imam Husayn, dan tiba-tiba sekarang aku berbalik dan ikut serta para sahabatnya dan para pengikutnya yang berkorban untuknya.

Waktu itu sipenceramah membawakan cerita al-Hur, salah seorang komandan pasukan tentera musuh yang diperintahkan untuk memerangi Husayn. Namun ketika beliau berdiri di barisan peperangan, dia gementar dahsyat. Ketika ditanya oleh sebahagian temannya: apakah anda takut mati hai Hur? Hur menjawab: demi Allah tidak. Tetapi aku kini sedang mempertaruhkan nyawaku di antara syurga dan neraka. Kemudian dia menyebat kudanya dan pergi ke arah Husayn. Dia berkata: wahai putra Rasulullah, adakah jalan bagiku untuk bertaubat?

Mendengar ini aku tidak dapat menahan diriku. Aku jatuh dan menangis seakan-akan aku sedang melakukan peranan Hur. Aku berkata: wahai putra Rasulullah, apakah ada jalan bagiku untuk bertaubat? Maafkan aku wahai putra Rasulullah!

Ketika itu suara penceramah sangat mengharukan. Terdengar suara tangisan para hadirin menguak suasana. Ketika itu temanku mendengar suara jeritanku lalu dia datang dan memelukku. Sambil menangis dia memelukku bagaikan seorang ibu memeluk anaknya. Dia menyebutkan kata-kata, ya Husayn……ya Husayn…..secara perlahan. Saat-saat itu benar-benar mengajarku makna suatu tangisan. Air mataku seakan membasuh semua kalbuku dan jasadku dari dalam. Waktu itu aku baru faham maksud hadith Rasul:”Jika kalian tahu apa yang aku ketahui maka kalian tertawa sejenak dan menangis banyak.”

Separuh daripada hari ini aku hanya berdiam diri. Temanku berusaha menghiburkanku dan mengucapkan takziah kepadaku. Diberinya aku sedikit manisan, tetapi rasa keinginanku untuk makan hari itu sama sekali hilang. Aku minta temanku menceritakan kepadaku kisah syahidnya Sayyidina Husayn kerana aku tidak tahu sama sekali tentang tragedi Karbala ini. Apa yang aku tahu adalah cerita orang-orang tua kami yang mengatakan bahawa orang-orang munafiq membunuh Sayyidina Umar, Sayyidina Uthman dan Sayyidina Ali,  mereka jugalah yang membunuh Sayyidina Husayn. Selebihnya kami tidak tahu lagi. Bahkan pada Hari Asyura kami menyambutnya dengan sukaria kerana dianggap sebagai hari raya Islam. Hari itu zakat-zakat harta dikeluarkan, berbagai makanan yang lazat dihidangkan dan anak-anak pergi meminta wang dari orang-orang tua untuk membeli mainan dan manisan.

Memang ada sebahagian adat dibeberapa daerah di mana penduduknya menyalakan api, tidak bekerja, tidak berkahwin, dan tidak bersukaria pada hari itu. Tetapi itu kami katakan sebagai adat sahaja tanpa mengetahui makna yang tersirat di sebalik itu. Ulama kami meriwayatkan berbagai hadith tentang keutamaan Hari Asyura serta berbagai barakah dan rahmat yang ada di dalamnya. Sungguh aneh perkara itu.

Setelah itu kami berziarah ke kuburan Abbas, adiknya Husayn. Waktu itu aku tidak kenal siapa beliau. Temanku telah menceritakan kepadaku tentang kegagahan dan kepahlawanannya. Di sana juga kami berjumpa dengan berbagai ulama yang tidak aku ingat betul nama-nama mereka, melainkan gelaran-gelaran tertentu seperti Bahrul Ulum, Sayyid Hakim, Kasyf al-Ghito’, Ali Yasin, Tabatabai, Fairuz Abadi, Asad Haidar, dan lain-lain lagi.

Secara jujur harus dikatakan bahawa mereka sebenarnya adalah ulama yang bertaqwa, berwibawa dan terhormat. Orang-orang Syiah sangat menghormati mereka dan memberikan khums dan harta mereka kepada mereka. Dengan wang itu mereka mentadbir urusan Hauzah Ilmiah, mendirikan berbagai sekolah dan percetakan, serta memberikan biasiswaaaaaa kepada para talabah (penuntut) yang datang dari seluruh dunia Islam. Mereka benar-benar berdikari dan tidak bergantung kepada para penguasa, sama ada yang dekat atau yang jauh, tidak seperti keadaan ulama kita yang tidak akan memberikan fatwa atau sependapat kecuali melihat apa pendapat para penguasanya yang menjamin kehidupan mereka dan yang dapat menyingkirkan atau melantik seseorang.

Sungguh ia merupakan suatu dunia baru yang aku temukan atau diketemukan oleh Allah untukku. Kini aku meyenanginya dan dapat menyesuaikan diri bersamanya setelah sekian lama aku memusuhinya. Orang alim ini telah membukakan untukku berbagai pemikiran-pemikiran yang baru. Beliau juga telah membangkitkan diriku untuk mencintai pengkajian, penelitian, dan belajar bersungguh-sungguh sehingga harus aku temui kebenaran yang dicari. Apa lagi hadith Nabi yang bermaksud,”Bani Israel telah berpecah kepada tujuh puluh satu firqah, Nasrani telah berpecah kepada tujuh puluh firqah dan umatku akan berpecah kepada tujuh puluh tiga firqah. Semuanya di neraka kecuali satu sahaja.” Hadith ini sangat mengusikku untuk mengetahui lebih jauh tentang suatu kebenaran yang dimaksudkan.

Kini tidak ada kaitan dengan berbagai agama yang mendakwa bahawa ia adalah yang benar sementara yang lain salah. Yang aku hairankan dan membingungkan adalah maksud hadith ini. Lebih menghairankan lagi adalah sikap kaum Muslimin yang sering membaca dan mengulang-ulangi hadith ini di dalam khutbah-khutbah mereka tetapi tidak pernah mahu untuk mengkaji maksudnya agar dapat membedakan mana golongan yang hak dari yang golongan yang batil.

Anehnya, setiap golongan mendakwa bahawa ia satu-satunya yang kelak akan selamat. Di dalam urusan hadith itu tertulis,”Sahabat bertanya, siapa mereka ya Rasulullah?” Nabi menjawab:”Apa yang aku dan sahabat-sahabatku ada di atasnya.” Adakah suatu golongan yang tidak berpegang kepada Kitab dan Sunnah, atau mendakwa selain dari al-Qur’an dan Sunnah? Seandainya Imam Malik, atau Abu Hanifah, atau Syafie, atau Ahmad bin Hanbal ditanya, apakah mereka akan mendakwa selain dari berpegang kepada al-Qur’an dan Sunnah yang sahih? Ini baru madzhab-madzhab yang ada di dalam dunia Sunni. Bagaimana pula dengan golongan Syiah? Madzhab ini juga mendakwa bahawa ia berpegang kepada Kitab Allah dan Sunnah yang sahih yang diriwayatkan kesemuanya oleh Ahlul Bayt yang suci.”Dan Ahlul Bayt lebih mengetahui apa isi rumahnya dibandingkan dengan yang lain,”kata mereka. Apakah mungkin kesemuanya dalam kebenaran seperti yang didakwa. Ini tidak mungkin sama sekali; mengingatkan bahawa hadith tersebut bermaksud sebaliknya. Lain halnya jika dikatakan bahawa hadith tersebut palsu atau dusta. Tetapi ini tidak mungkin, mengingatkan bahawa hadith tersebut bersifat mutawatir sama ada menurut Sunnah atau pun Syiah. Apakah mungkin hadith ini tidak mempunyai makna dan maksud? Tetapi jauh sekali bagi Rasulullah untuk mengatakan sesuatu yang tiada bermaksud, kerana baginda tidak berkata sesuatu kecuali merupakan wahyu ; dan setiap hadisnya mengandungi hikmat dan pelajaran. Nah, kita terpaksa harus mengakui bahawa ada satu golongan  yang benar dan lainnya slaah. Hadis ini memang menimbulkan kebingungan, tetapi ia juga membangkitkan sikap ingin tahu dan meneliti bagi mereka yang inginkan keselamatan.

Kerana itulah timbul sikap ragu-ragu  dan bingung setelah perjumpaanku dengan orang-orang Syiah. Siapa tahu mungkin mereka mengatakan sesuatu yang hak dan berkata jujur. Kenapa aku tidak teliti dan kaji. Islam telah mewajibkanku mengkaji, memperbandingkan dan meneliti seperti yang disebutkan di dalam Al Quran dan Sunnah. Allah berfirman :”Mereka yang berjihad di jalan Kami maka Kami pasti akan menunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami: (S: al-Ankabut :69). Dia juga berfirman: “Mereka yang mendengar suatu perkataan lalu mengikuti yang terbaik di antaranya, maka mereka adalah orang-orang yang diberi hidayat oleh Allah dan mereka adalah orang-orang yang berfikir.” (S: az-Zumar :18)

Dengan keputusan dan azam yang jujur ini aku berjanji kepada diriku dan teman-teman Syiahku di Iraq. Aku sangat terharu kerana berpisah dengan mereka. Aku telah sangat mencintai mereka dan mereka juga mencintaiku. Aku telah tinggalkan teman-teman yang mukhlis dan mulia, yang telah mengorbankan waktu mereka keranaku dan tiada menyimpan sebarang maksud. Tujuan mereka semata-mata ingin mendapatkan keredhaan Allah s.w.t. Di dalam sebuah hadis disebutkan : “Satu orang yang mendapatkan hidayah Allah di tanganmu adalah lebih baik bagimu dari apa yang diterbitkan matahari.”

Aku meninggalkan Iraq setelah dua puluh hari berada di sekitar makam Imam-imam dan Syiah mereka. Kesemua itu berlalu seakan suatu mimpi indah yang enggan dilepaskan oleh yang tidur. Kutinggalkan Iraq dengan rasa agak kesal lantaran waktunya yang begitu singkat, dan perpisahan yang mesti dengan orang-orang yang sangat baik hati dan berpaut cinta kepada Ahlul Bait Nabi s.a.w.. Aku pergi menuju Hijaz bermaksud berkunjung ke Baitullah al-Haram dan makam Sayyidul Awwalin Wal Akhirin Sallallahu Alaihi Wa Alihi at-Tayyibin at-Tahirin.

2 responses to “Ragu-ragu Dan Bingung [12]

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s