Perjumpaan Dengan Sayyid Muhammad Baqir as-Sadir [11]

Oleh: Tijani

Bersama Abu Syubbar aku ke rumah Sayyid Muhammad Baqir as-Sadir. Dalam perjalanan, beliau sangat mesra denganku dan bercerita secara ringkas tentang beberapa ulama yang masyhur dan tentang taklid dan sebagainya. Setibanya kami di rumah Sayyid Muhammad Baqir as-Sadr, aku dapati rumahnya penuh sesak dengan para pelajar Hauzah yang kebanyakannya para pemuda yang memakai serban. Sayyid berdiri menyambut kedatangan kami. Setelah diperkenalkan, beliau menyambutku begitu mesra dan mendudukkanku di sisinya. Beliau bertanya tentang Tunisia dan al-Jazair dan beberapa ulama yang terkenal seperti al-Khidir Husayn, Thahir bin A’syur dan lain-lain lagi. Aku sangat gembira dengan percakapannya.

Walaupun kewibawaannya yang agung dan penghormatan yang tinggi yang diberika oleh orang-orang sekitarnya, tetapi aku dapati diriku tidak begitu kaku seakan-akan aku telah mengenalnya sejak lama sebelum itu. Aku banyak belajar dari majlis itu. Aku dengar berbagai pertanyaan diajukan kepada Sayyid, lalu kemudian dijawabnya dengan bijak. Waktu itu aku betul-betul mengetahui betapa tingginya nilai mentaklid ulama yang masih hidup yang menjawab setiap persoalan secara langsung dan dengan jelas sekali. Aku juga mulai yakin bahawa Syiah adalah kaum Muslimin yang menyembah Allah SWT dan beriman kepada Risalah Nabi kita Muhammad SAWA. Sebelum ini aku meragukan, syaitan juga menanamkan rasa waswas bahawa setiap apa yang aku lihat adalah suatu sandiwara semata-mata. Dan mungkin inilah yang dikatakan oleh mereka sebagai taqiyah, yakni menampakkan sesuatu yang tidak mereka percayai.

Tetapi sikap demikian akhirnya segera lenyap dari benakku kerana tidak mungkin setiap orang yang aku lihat dan aku dengar di mana bilangan mereka berjumlaj ratusan semuanya bersandiwara. Untuk apa mereka bersandiwara? Siapa aku? Apa yang mereka khuatirkan dariku sehingga harus bertaqiyah di hadapanku? Bukankah di sini ada kitab-kitab mereka cetakan lama dan baru. Kesemuanya mengesakan Allah dan memuji-muji RasulNya Muhammad SAWA seperti yang aku baca di dalam berbagai muqadimmahnya. Sekarang ini aku berada di rumah Sayyid Muhammad Baqir as-Sadr, seorang marja’ Syiah yang amat terkenal di Iraq dan di luar Iraq. Dan setiap kali nama Muhammad disebut, maka semua akan mengangkat suara agak keras membawa salawat: Allahumma Solli ‘ala Muhammad wa-ali Muhammad. Waktu solat tiba. Kami pergi ke masjid yang terletak di samping rumah. Sayyid Muhammad Baqir mengimamkan kami solat Zuhur dan Asar. Aku rasakan seakan-akan aku hidup di tengah para sahabat yang mulia. Di antara dua solat diselangi pembacaan doa yang sangat memilukan hati. Suara pembacanya begitu mengharukan dan memukau. Setelah selesai membaca doa, semua membaca salawat beramai-ramai. Allahumma Solli ‘ala Muhammad Wa-ali Muhammad. Semua isi doa adalah pujian kepada Allah SWT dan Muhammad serta keluarganya yang suci dan baik. Setelah solat, Sayyid duduk di mihrab. Sebahagian orang datang menyalaminya dan menanyakan berbagai soalan secara perlahan atau dengan agak keras.

Beliau juga menjawab secara perlahan setiap pertanyaan yang memang diajukan secara perlahan yang akhirnya aku fahami menyangkut masalah-masalah peribadi. Jika jawapan yang diharapkan telah didapati maka sipenyoal akan mencium tangannya lalu pergi. Berbahagialah mereka dengan orang alim yang mulia ini yang menyelesaikan segala permasalahan-permasalahan mereka dan ikut serta di dalam dukacita mereka. Sambutan Sayyid yang demikian hangat serta perhatian yang diberikannya yang begitu berat membuatku terlupa dengan sanak saudaraku di kampung halaman. Aku rasakan jika aku berada bersamanya selama sebulan sahaja maka aku akan menjadi Syiah kerana akhlaknya yang tinggi, sikap rendah dirinya dan kemurahan hatinya. Setiap kali aku melihat wajahnya beliau tersenyum dan memulakan percakapan. Ditanyanya apa kekuranganku. Selama empat hari itu aku tidak meninggalkannya melainkan waktu tidur sahaja, walau orang-orang yang datang berziarah atau ulama yang datang mengunjungi cukup banyak sekali. Aku juga dapati orang-orang Saudi ada di sana. Aku tidak pernah tahu yang orang-orang Syiah juga ada di Hjaz. Demikian juga ulama dari Bahrain, Qatar Emiriyyah Arab Bersatu, Lebanon, Syria, Iran, Afghanistan, Turki dan Afrika. Sayyid berbicara dengan mereka dan membantu hajat-hajat mereka. Semua yang keluar dari rumahnya nampak sekali senang dan puas hati. Aku tidak akan terlupa dengan suatu kes yang aku saksikan dan sangat kagum dengan cara penyelesaiannya.

Aku sebutkan ini sebagai suatu sejarah lantaran menyirat suatu pelajaran yang sangat penting agar kaum Muslimin tahu betapa ruginya mereka dengan meninggalkan hukum-hukum Allah. Empat orang datang menghadap Sayyid Muhammad Baqir as-Sadr. Aku rasa mereka adalah orang-orang Iraq kerana loghat bahasanya aku fahami demikian. Seorang dari mereka telah mendapatkan warisan sebuah rumah dari datuknya yang telah meninggal dunia beberapa tahun sebelumnya. Kemudian rumah tersebut dijualnya kepada orang kedua yang juga hadir di sana. Setelah setahun dari tarikh penjualan, datang dua orang yang mengaku sebagai pewaris yang sah (syari’e) dari simati. Keempat-empat mereka duduk di hadapan Sayyid, dan masing-masing mengeluarkan berbagai kertas dan surat bukti. Setelah Sayyid membaca surat-surat tersebut dan berbicara dengan mereka sejenak maka beliau memberikan hukum secara adil. Diberinya sipembeli hak untuk menggunakan rumah tersebut, dan disuruhnya sipenjual untuk membayar hak waris bahagian dua saudara tadi dari hasil jualan. Setelah itu semua mereka berdiri dan mencium tangan Sayyid lalu saling berpelukan.

Aku sangat terkejut dan tidak percaya. Aku tanyakan kepada Abu Syubbar apakah kes itu telah selesai. Ya, jawabnya. Setiap mereka telah mendapatkan haknya masing-masing. Subhanallah. “Semudah ini ada dalam waktu yang demikian singkat, hanya beberapa saat sahaja permasalahan ini dapat diselesaikan!!! Kes seperti ini jika berlaku di negeri kami, paling tidak ia akan memakan waktu sepuluh tahun sehinggalah mereka telah mati dan diteruskan kemudiannya oleh anak-anaknya. Tambahan lagi, mereka harus membayar kos mahkamah, peguam, dan sebagainya yang kebanyakannya tidak kurang dari harga rumah itu sendiri. Bermula dari mahkamah umum, kemudian negeri lalu mahkamah agung dan akhirnya semua pihak tidak puas hati setelah mengalami kesusahan, kos yang mahal dan rasuah yang tidak sedikit jumlahnya. Tambahan lagi permusuhan dan kebencian yang timbul antara sesama keluarga dan sanak keluarga.”Kami juga punya hal serupa itu atau bahkan lebih,”kata Abu Syubbar,”Maksud anda?”Tanyaku.”Jika orang mengangkat permasalahan mereka kepada mahkamah pemerintah, maka hasilnya seperti yang anda ceritakan tadi.

Namun jika mereka mentaqlid kepada seorang Marja’ agama dan terikat dengan hukum-hukum Islam maka mereka tidak akan mengangkat permasalahan mereka kecuali kepada marja’ sahaja, dan marja’ juga akan menyelesaikan perkara mereka dalam masa beberapa saat sahaja seperti yang anda saksikan sebentar tadi. Adakah hakim yang lebih baik selain daripada Allah bagi orang-orang yang berakal?Sayyid Sadr juga tidak mengambil apa-apa bayaran pun dari mereka. Jika mereka pergi ke mahkamah-mahkamah pemerintah yang ada maka mereka akan menderita banyak.” “Subhanallah. Aku masih tidak percaya dari apa yang aku lihat. Kalaulah mata ini tidak menyaksikannya sendiri maka tidak mungkin aku akan mempercayai.” “Begitulah, ya akhi. Kes ini masih ringan jika dibandingkan dengan kes-kes lain yang lebih rumit dan menyangkut nyawa. Tetapi para marja’ dapat menyelesaikannya dalam waktu yang relatif singkat.” “Jadi di Iraq ini adaa dua pemerintahan, pemerintahan negara dan pemerintahan ulama, begitu?”Tanyaku hairan. “Tidak. Di sini ada pemerintahan negara sahaja, tetapi kaum Muslimin dari Mazhab Syiah yang bertaqlid pada marja’ mereka tidak ada apa-apa hubungan dengan pemerintahan. Mengingat di sini adalah pemeritahan Ba’ath bukan pemerintahan Islam.

Mereka patuh pada hukum-hukum seperti kewarganegaraan, pajak, peraturan-peraturan kota dan hal-hal peribadi lainya. Seandainya berlaku suatu kes antara seorang Muslim yang beragama, maka pasti ia akan terpaksa mengangkatnya kepada mahkamah pemerintah. Kerana yang kedua ini tidak suka dengan keputusan ulama. Namun jika yang bersengketa adalah antara sesama Mukmin, maka mereka merujuk kepada para marja’. Apa sahaja yang dihukumkan oleh marja’ tersebut akan diterima oleh semua tanpa ada sebarang keberatan. Itulah kenapa kes-kes yang berlaku dapat diselesaikan dalam waktu sehari sahaja oleh para marja’, sementara di mahkamah-mahkaman lain memakan masa waktu berbulan-bulan bahkan bertahun-tahun.” Kejadian itu menggerakkan jiwaku merasa rela terhadap segala hukum Allah SWT. Dari situ aku faham makna firman Allah SWT yang bermaksud:”Sesiapa yang tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang kafir. Sesiapa yang tidak tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang zalim. Sesiapa yang tidak tidak menghukum dengan apa yang diturunkan oleh Allah maka mereka adalah orang-orang yang fasiq” (Al-Maidah: 44, 45, 47). Ia juga menggerakkan dalam diriku suatu dendam dan memberontak terhadap mereka yang zalim yang telah merubah hukum-hukum Allah SWT yang adil kepada hukum buatan manusia yang zalim. Bahkan mereka mengejek hukum-hukum Allah dengan cara yang keji.

Mereka mengatakan bahawa hukum Allah adalah barbarisme dan kejam kerana menegakkan hukum hudud yang memotong tangan pencuri dan merejam penzina serta membunuh sipembunuh. Dari mana datangnya teori-teori yang asing seperti ini? Sudah pasti ianya datang dari barat dan musuh-musuh Islam yang melihat bahawa perlaksanaan hukum-hukum Islam bermakna penamatan terhadap kekuasaan mereka secara total. Ini kerana mereka adalah para pencuri, pengkhianat, penzina, penjenayah, dan pembunuh. Jika hukum-hukum Allah dilaksanakan terhadap mereka maka kita telah aman dari mereka. Di hari-hari itu berlaku banyak diskusi antara aku dan Sayyid Sadr. Aku tanyakan kepadanya berbagai soalan, besar atau kecil dari kesimpulan yang aku buat setelah berbagai diskusi dengan teman-teman, sama ada tentang aqidah mereka, tentang sahabat, semoga Allah meredhai mereka, tentang aqidah mereka terhadap Imam dua belas, Ali dan anak-anaknya dan lain-lain lagi yang tidak sama dengan aqidah kami. Aku tanyakan kepada Sayyid Sadr tentang Imam Ali, kenapa diucapkan ketika azan dengan sebutan Waliyullah? Beliau menjawab:”Amirul Mukminin Ali AS adalah di antara hamba Allah yang dipilihNya untuk meneruskan tanggungjawab menyampaikan RisalahNya setelah para NabiNya. Mereka adalah para wasi Nabi SAWA. Setiap Nabi ada wasi, dan wasi Nabi Muhammad SAWA adalah Ali AS. Kami mengutamakannya di atas semua sahabat kerana Allah dan RasulNya mengutamakanNya. Dan kami mempunyai dalil aqli dan naqli, al-Qur’an dan Sunnah dalam hal ini. Dalil-dalil ini tidak dapat diragukan kebenarannya, lantaran ia mutawatir dan sahih di dalam jalur sanad kami, dan hatta di jalur sanad Ahlul Sunnah Wal-Jamaah.

Para ulama kami telah menuliskan berbagai buku tentang hal ini. Ketika pemerintahan Bani Umayyah cuba menghapuskan kebenaran ini dan memerangi Amirul Mukminin Ali AS dan anak-anaknya serta membunuh mereka; bahkan mencaci dan melaknatnya di atas mimbar-mimbar kaum Muslimin serta memaksa manusia untuk berbuat serupa, melihat ini maka Syiahnya dan para pengikutnya, semoga meredhai mereka, menyaksikan bahawa beliau adalah Waliyullah. Sikap ini sebagai bantahan mereka terhadap penguasa yang zalim saat itu sehingga kemuliaan sebenarnya dapat dikembalikan kepada Allah, RasulNya dan orang-orang Mukminin sahaja. Dan supaya ini terjadi sebagai bukti sejarah kepada segenap kaum Muslimin yang datang berikutnya, agar mereka tahu tentang kebenaran Ali dan kebatilan musuh-musuhnya. Para fuqaha kami mengatakan bahawa syahadah kepada wilayah Ali sewaktu azan adalah hukumnya sunat, dengan niat ianya bukan dari bahagian azan dan iqamah. Jika seorang muazin menganggap ianya bahagian dari azan dan iqamah maka azannya dianggap tidak sah. Perkara-perkara sunat di dalam ibadah dan muamalat banyak sekali jumlahnya.

Seorang Muslim akan diberi ganjaran jika melakukannya dan tidak akan berdosa jika meninggalkannya. Sebagai contoh, dalam suatu hadith ada disebutkan bahawa setelah mengucapkan syahadah kepada Allah dan Muhammad di dalam azan, maka disunatkan bersyahadah bahawa syurga itu adalah benar, neraka itu benar, dan Allah akan membangkitkan manusia dari kuburnya.” Aku katakan bahawa para ulama kami mengajarkan bahawa Sayyidina Abu Bakar as-Sidiq adalah khalifah yang paling utama, kemudian Sayyidina Umar al-Faruq, Sayyidina Uthman, dan kemudian barulah Sayyidina Ali, semoga Allah meredhai mereka semua. Sayyid diam sejenak lalu berkata: Mereka boleh berkata apa sahaja tetapi jauh sekali untuk membuktikannya secara dalil syariah. Lalu ianya sangat bertentangan dengan apa yang tertulis di dalam kitab-kitab mereka yang sahih dan muktabar. Di sana tertulis bahawa manusia yang paling utama adalah Abu Bakar, kemudian Uthman.

Tidak ada kata-kata Ali sama sekali. Justeru Ali dijadikan sebagai manusia awam sahaja. Namun para ahli sejarah menyebutkannya para Khulafa ar-Rasyidin sahaja.” Aku tanyakan juga tentang tanah yang digunakan untuk sujud atau biasa disebut Turbah Husainiyyah. Beliau menjawab:”Pertama-tama wajib diketahui bahawa kami bukan sujud kepada tanah, seperti yang disangka oleh mereka yang bencikan Syiah tetapi kami sujud di atas tanah. Sujud hanya kepada Allah semata-mata. Apa yang terbukti secara dalil bagi kami dan juga di sisi Ahlul Sunnah bahawa yang utama adalah sujud di atas tanah atau di atas sesuatu yang tumbuh dari tanah tetapi bukan sejenis dari bahan makanan. Selain dari itu tidak sah sujud di atasnya.

Dahulunya Rasulullah SAWA duduk di atas tanah dan menjadikan sebongkah tanah sebagai tempat sujudnya. Beliau juga mengajarkan kepada sahabat-sahabatnya demikian juga sehingga mereka sujud di atasnya, dan di atas hujung bajunya. Hal ini diketahui sangat lumrah sekali di sisi kami. Imam Zainal Abidin dan Sayyid as-Sajidin Ali bin Husayn AS mengambil tanah dari kuburan ayahnya Abu Abdillah al-Husayn as-Syahid sebagai turbahnya. Ini kerana tanahnya bersih dan suci dan telah disiram oleh darah Sayyidis-Syuhada’ (Penghulu Para Syuhada – Imam Husayn AS). Dan para Syiahnya meneruskan kebiasaan ini sehingga ke hari ini. Kami tidak mengatakan bahawa sujud di atas selainnya bermakna tidak sah. Sujud akan sah di atas sebarang tanah atau sebarang batu suci, sebagaimana ia juga akan sah sujud di atas tikar atau hamparan yang dibuat dari pelepah kurma dan sejenisnya.” Aku tanya lagi tentang peringatan Sayyidina Husayn AS, kenapa Syiah menangis dan memukul-mukul dada sehingga berdarah? Bukankah ini haram di dalam Islam. Nabi juga telah bersabda:”Bukan dari golongan kami mereka yang memukul-mukul pipi dan mengoyak-ngoyak baju serta melakukan seperti perbuatan Jahiliyyah.” Sayyid menjawab:”Hadith ini memang sahih tetapi ia tidak dapat diterapkan untuk peringatan Abu Abdillah al-Husayn.

Mereka yang menyeru pada perjuangan Husayn da nmengikut jejaknya, perbuatan ini bukan sejenis perbuatan Jahiliyyah. Lalu di dalam Madzab Syiah ada manusia yang beragama, ada yang alim, dan ada juga yang jahil. Kesemua mereka mempunyai rasa emosi. Jika di dalam mengingati kesyahidan Husayn dan apa yang terjadi kepada keluarganya serta para sahabatnya, sama ada yang dibunuh atau yang ditawan lalu perasaan emosinya menguasai mereka maka mereka akan mendapatkan pahala di sisi Tuhannnya kerana niat adalah fisabillah semata-mata. Dan Allah memberikan ganjaran kepada hamba-hambaNya sekadar niat mereka masing-masing. Seminggu yang lalu saya membaca suatu kenyataan rasmi dari pemerintah Mesir sempena kematian Jamal Abdul Nasir. Dikatakan bahawa mereka telah mencatat lapan belas kes bunuh diri kerana mendengar kematian Jamal Abdul Nasir. Ada yang terjun dari tingkat atas bangunan yang bertingkat; ada yang terjun ke bawah rel keretapi dan lain-lain lagi. Ini saya sebutkan sebagai contoh bagaimana emosi manusia kadang-kadang boleh menguasai manusia itu sendiri. Jika manusia Muslim boleh membunuh diri lantaran kematian Jamal Abdul Nasir, walhal dia mati secara wajar, maka tidak ada hak bagi kita untuk menghukum bahawa Ahlul Sunnah adalah salah. Dan tidak ada hak bagi Ahlul Sunnah menghukum saudara-saudara mereka dari Syiah sebagai salah lantaran menangisi Sayyid as-Syuhada al-Husayn. Mereka meratapi penderitaan Husayn dan bahkan hingga ke hari ini.

Rasulullah sendiri pernah menangis untuk Husayn, dan Jibril juga menangis kerana tangisnya Rasulullah.” “Kenapa Syiah menghiasi kuburan wali-wali mereka dengan emas dan perak sedangkan ia haram di dalam Islam?”, Tanyaku lagi. “Ini tidak hanya ada di dalam Syiah sahaja,”jawab Sayyid.”Ia juga tidak haram. Lihatlah masjid-masjid saudara kami dari golongan Ahlul Sunnah, sama ada di Iraq, Mesir, Turki atau negara-negara Islam yang lain. Rata-rata dihiasi dengan emas dan perak. Begitu juga dengan masjid Rasulullah SAWA di Madinah al-Munawarah dan Baitullah al-Haram di Mekah yang setiap tahun dipakaikan dengan perhiasan emas yang baru dengan perbelanjaan berjuta-juta. Ini tidak hanya ada pada Madzhab Syiah sahaja. “Ulama Saudi berkata bahawa mengusap tangan di atas kubur, minta doa dari orang-orang yang soleh serta mengambil barakah dari mereka semua itu adalah syirik kepada Allah. Bagaimana pendapat anda dalam hal ini?” “Jika mengusap tangan di atas kubur dan menyebut nama-nama penghuninya dengan niat bahawa mereka memberi manfaat atau mendatangkan mudarat maka tidak ragu-ragu lagi ia adalah syirik. Orang-orang Muslim adalah orang yang muwahid (bertauhid) dan mengetahui bahawa Allah sahajalah yang memberi manfaat atau mudarat.

Mereka menyeru para wali dan imam AS adalah untuk menjadikan mereka sebagai wasilah atau perantara mereka kepada Allah SWT. Ini tidak syirik. Kaum Muslimin, Sunnah dan Syiah sepakat dalam hal ini sejak zaman Rasul sehingga sekarang melainkan Wahabiyyah atau ulama Saudi yang seperti anda sebutkan. Mereka telah memfitnah kaum Muslimin dengan aqidah mereka ini, mengkafirkan mereka dan bahkan menghalalkan darah mereka. Para jamaah haji Baitullah al-Haram dipukul lantaran mereka berkata:As-Salamu Alaika Ya Rasulullah. Dan tidak diperkenankan siapapun untuk menyentuh kuburan suci Nabi Muhammad SAWA.

Mereka telah berdiskusi dengan ulama kami beberapa kali tetapi mereka tetap degil dan sombong.” “Sayyid Syarafuddin, seorang di antara ulama Syiah ketika pergi haji ke Baitullah al-Haram di zaman raja Abdul Aziz Ali Saud, adalah di antara ulama yang dijemput ke istana raja untuk mengucapkan selamat Hari Raya Aidul Adha kepada raja. Ketika tiba gilirannya untuk bersalaman dengan raja, dihadiahkannya kepada raja sebuah mushaf al-Qur’an yang berkulitkan kulit binantang. Raja menerima hadiah tersebut lalu diciumnya dan diletakkannya di atas dahi sebagai tanda penghormatan dan pentakziman. Lalu Sayyid Syarafuddin berkata ketika itu: Wahai Raja, kenapa anda mencium kulit dan mengagungkannya. Ia hanya berupa kulit kambing, tidak lebih?” Yang aku maksudkan adalah pentakziman kepada al-Qur’an al-Karim yang di dalamnya, bukan kepada kulit ini.” Kemudian Sayyid Syarafuddin menjawab:”Anda bijak hai Raja. Begitulah juga ketika kami mencium pintu-pintu kuburan Nabi atau dinding-dindingnya. Kami tahu bahawa ia adalah besi yang tidak memberi apa-apa manfaat atau mudarat.

Tetapi yang kami maksudkan adalah orang yang ada di sebalik besi dan kayu-kayu itu. Kami bermaksud mentakzimkan Rasulullah SAWA sebagaimana anda bermaksud mentakzimkan al-Qur’an dengan mencium kulit kambing yang membungkus al-Qur’an ini.” “Para hadirin mengucapkan takbir sebagai tanda kagum atas Sayyid ini. Mereka berkata: anda benar, anda benar. Akhirnya Raja terpaksa mengizinkan para jamaah haji untuk melakukan tabaruk (mengambil barakah) dari peninggalan-peninggalan Nabi SAWA sehinggalah datang raja berikutnya. Lalu larangan itu dikenakan semula.” “Hal yang sebenarnya bukanlah kerana mereka takut kaum Muslimin akan syirik kepada Allah tetapi ia ada menyirat suatu masalah politik untuk menguasai kaum Muslimin dan memperkuatkan kerajaan mereka. Sejarah adalah sebaik-baik bukti atas apa yang mereka lakukan terhadap ummat Muhammad SAWA.” Aku tanya juga tentang tarekat-tarekat sufi. Jawabnya singkat:”Ada yang positif seperti membina diri dan mendidiknya untuk sederhana di dalam hidup dan bersikap zuhud atas kenikmatan-kenikmatan dunia serta melatih diri untuk berangkat tinggi ke alam ruh yang suci. Sementara yang negatif seperti mengasingkan diri dan lari dari realiti kehidupan, terbatas hanya berzikir kepada Allah secara lafzi (lafaz) dan lain-lain lagi. Islam seperti yang diketahui membenarkan yang positif dan membuang jauh-jauh yang negatif. Kita patut katakan bahawa semua prinsip-prinsip Islam adalah positif.”

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s