Perjumpaan Dengan Ulama [10]

Oleh: Tijani

Temanku mengajakku pergi ke suatu masjid yang berada di sisi jamik. Di dalamnya terbentang permaidani yang indah dan mihrabnya juga terukir ayat-ayat al-Qur’an yang sangat menarik. Tiba-tiba matakan terpandang pada sekumpulan anak-anak remaja yang berserban yang sedang duduk berhampiran mihrab. Mereka sedang belajar bersama-sama sambil memegang kitab masing-masing. Aku sangat terpesona dengan pemandangan yang indah ini kerana begitu muda, yang berumur  sekitar tiga belas tahun hingga enam belas tahun. Yang lebih menambahkan kecantikan adalah pakaian yang mereka pakai itu. Betul-betul mereka seperti bulan purnama yang bersinar.

Temanku bertanya kepada mereka tentang “Sayyid”. Lalu diberitahu bahawa beliau sedang solat berjamaah. Aku tidak tahu siapa “Sayyid” yang dimaksudkan. Cuma aku fikir bahawa beliau pastilah seorang ulama. Kemudian aku diberitahu bahwa beliau adalah Sayyid al-Khui, pemimpin Hauzah Ilmiyyah bagi Madzhab Syiah. Perlu diketahui bahawa gelaran “Sayyid” di dalam Madzhab Syiah adalah gelaran yang diberikan kepada mereka yang berketurunan Nabi SAWA. Seorang Sayyid yang alim atau yang belajar ilmu-ilmu Islam akan memakai serban hitam. Sementara ulama-ulama yang lain akan memakai serban putih dan dipanggil dengan gelaran “Syaikh”. Orang-orang Sayyid yang tidak alim, biasanya memakai serban berwarna hijau.

Temanku meminta mereka menemaniku sejenak, sementara dia sendiri akan pergi berjumpa Sayyid. Mereka menyambutku dengan penuh hangat sambil duduk mengelilingiku. Aku perhatikan wajah-wajah mereka dan aku rasakan kebersihan hati mereka. Aku teringat pada sebuah hadith Nabi SAWA yang bermaksud:”Manusia dilahirkan dalam keadaan suci. Ibubapanyalah yang akan menjadikannya Yahudi atau Kristian atau Majusi.” Lalu aku katakan juga pada diriku: menjadikan mereka syiah.

Mereka bertanya dari mana aku berasal. Dari Tunisia, ku jawab. “Apakah di sana ada Hauzah Ilmiah?” Tanya mereka lagi. “Hanya ada universiti dan sekolah-sekolah biasa.” jawabku. Berbagai soalan dilemparkan kepadaku, yang kesemuanya menyulitkanku untuk menjawab. Apa yang harus ku katakan kepada anak-anak tak berdosa seperti ini yang mengira bahawa dunia Islam semuanya memiliki Hauzah Ilmiah yang mengajar Fiqh, Usu-fiqh, Usuluddin, Syariah dan Tafsir. Mereka tidak tahu bahawa dunia Islam dan negara-negara kita sekarang ini telah maju sangat pesat. Kita telah gantikan madrasah-madrasah yang mengjar Al-Quran dengan taman kanak-kanak yang dipimpin oleh paderi-paderi Kristian. Apakah harus ku katakan bahawa mereka masih ketinggalan berbanding  dengan kita ?

Seorang di antara merekabertanya : “Mazhab apa yang diikuti di Tunisia?”. “Mazhab Maliki”, jawabku. Ku perhatikan sebahagian mereka ada yang ketawa, tetapi aku tidak peduli. “Apakah anda pernah tahu tentang mazhab Ja’fari?” tanyanya lagi. “Nama baru apa ini? Tidak, kami tidak tahu selain dari empat mazhab ini. Selain dari mereka bukan tergolong dari kalangan Islam.”

Sambil tersenyum, dia berkata lagi. “Maaf, sebenarnya mazhab Ja’farilah yang benar-benar Islam. Bukankah Imam Abu Hanifah berguru kepada Imam Ja’far as-Shodiq? Itulah kenapa Abu Hanifah berkata : “Kalau bukan kerana dua tahun, maka Nu’man telah celaka.”
Aku hanya diam saja. Nama itu baru bagiku, nama yang tidak pernah ku dengar sebelum ini. Namun aku memuji Allah bahawa Imam mereka Ja’far as-Shodiq tidak pernah menjadi guru kepada Imam Malik. “Kami ikut mazhab Maliki bukan Hanafi.” Aku cuba menjawab. “Imam empat mazhab belajar satu sama lain”, sambungnya. “Ahmad bin Hanbal belajar dari Syafie; Syafie belajar dari Malik dan Malik belajar dari Abu Hanifah sementara Abu Hanifah belajar sendiri dari Ja’far as- Shodiq. Dengan demikian maka kesemua mereka adalah anak murid kepada Ja’far as-Shodiq. Beliau juga adalah orang pertama yang membuka “universiti” Islam di masjid datuknya Rasulullah s.a.w. Lebih dari empat ribu ahli hadis dan ahli fikih berguru dengannya.”

Aku sangat terkejut dengan anak muda yang bijak ini, yang hafal dengan apa yang dikatakannya seperti hafalnya anak-anak kami suatu surah Al-Quran. Lebih terkejut lagi ketika dia menyebutkan kepadaku sebahagian buku-buku rujukan sejarah beserta bilangan jilid dan babnya sekali. Dia begitu lancar berbicara yang seakan seorang guru sedang mengajar muridnya. Aku merasa  lemah di hadapannya. Aku harap-harap kalaulah aku keluar bersama temanku dan tidak duduk dengan anak-anak seperti  ini. Setiap kali mereka tanyakan kepadaku tentang fikih atau sejarah, aku tak mampu menjawabnya. Ditanyanya, kepada siapa aku bertaklid? “Imam Malik”, jawabku. “Bagaimana anda mentaklid seorang yang telah mati, di mana jaraknya antara anda dan beliau sekitar empat belas abad. Jika anda sekarang ingin bertanya kepadanya tentang masalah-masalah zaman ini, apakah dia akan menjawab anda?” Ku fikir sejenak pertanyaaan ini lalu ku jawab :”Ja’farmu juga telah mati empat belas abad yang lalu. Lalu kepada siapa anda mentaklid?” “Kami mentaklid Sayyid al-Khui. Beliau adalah Imam kami.” Jawabnya yang kemudian diikuti oleh teman-temannya yang lain.

Aku tidak tahu apakah Khui lebih alim ataukan Ja’far as-Shodiq. Aku cba untuk mengubah topik permasalahan dengan bertanya hal-hal lain. Aku bertanya bilangan penduduk di Najaf, berapa jauh jarak antara Najaf dan baghdad, apakah mereka tahu negara-negara selain Iraq. Setiap kali mereka menjawab, ku ajukan soalan-soalan lain sehingga mereka tidak sempat bertanya apa-apa dariku. Mengingat aku tidak mampu menjawab dan kurasakan jahil. Tetapi jauh sekali untuk mengakui itu walaupun jauh di dalam kalbuku mengakuinya. Segala sanjungan, kemuliaan dan penghormatan yang ku dapati di Mesir, dalam waktu sekejap luluh di sini, khususnya setelah berjumpa dengan anak-anak seperti ini. Di situ aku memahami maksud sebuah syair yang berkata :
Katakan kepada mereka
yang mengaku berfilsafat di dalam ilmu
Hanya sedikit yang kau tahu
Sementara banyak yang kau tidak tahu.
Aku membayangkan bahawa akal anak-anak muda ini lebih tinggi dari akal syaikh-syaikh yang kujumpai di al-Azhar; dan bahkan lebih tinggi dari akal ulama-ulama yang ku kenal di Tunisia.

Sayyid Khui masuk disertai serombongan ulama yang menunjukkan keagungan dan kewibawaan. Anak-anak  ini berdiri, dan aku juga ikut berdiri. Mereka menghadap Sayyid dan mencium tangannya sementara aku tidak bergerak dari tempatku. Sayyid tidak duduk sehinggalah semua yang hadir duduk terlebih dahulu. Beliau memulakan kataaa-katnya : Massakum Bil Khoir, selamat petang kepada sekelian yang hadir.  Kemudia dijawab dengan kata-kata yang sama oleh mereka. Beliau juga mengucapkan kata-kata itu kepadaku dan ku jawab dengan jawapan  yang sama.

Kulihat temanku berbisik sesuatu kepada Sayyid, lalu kemudian mengisyaratkanku agar mendekat dan duduk di sisi kanan Sayyid. Setelah mengucapkan salam, temanku berkata kepadaku: “Ceritakan kepada Sayyid apa yang kalian dengar tentang syiah di Tunisia ?” Kukatakan kepadanya. “Ya akhi , buanglah jauh-jauh segala cerita yang kami dengar tentang Syiah di sana sini. Yang penting adalah aku ingin tahu dengan mata kepalaku sendiri apa yang dikatakan oleh Syiah. Aku ada beberapa pertanyaan yang kuinginkan jawapannya secara terus terang.” Temanku ini mengisyaratkanku agar aku mengatakan secara terus terang kepada Sayyid tentang bagaimana pandangan kami terhadap Syiah. Kukatakan bahawa Syiah menurut pandangan kami lebih berbahaya kepada Islam dibandingkan dengan orang-orang Yahudi dan Nasrani. Ini kerana mereka menyembah Allah dan beriman kepada Rislah Nabi Musa a.s. sementara Syiah – yang kami dengar – menyembah Ali dan mengkultuskannya. Ada juga di antara mereka yang menyembah Allah, tetapi menempatkan Ali sejajar dengan Rasulullah s.a.w. Ku bawakan cerita yang mengatakan konon Syiah percaya bahawa Jibril telah berkhianat di dalam menyampaikan amanah Allah; di mana sepatutnya amanah tersebut diberikan kepada ali tetapi Jibril memberikannya kepada Muhammad.

Sayyid menunduk sejenak, lalu kemudian memandangku dan berkata : “Kami menyaksikan tiada Tuhan selain Allah dan bahawasanya Muhammad s.a.w. adalah Rasul Allah  dan Ali hanyalah seorang hamba Allah.” Kemudian beliau menoleh ke arah para hadirin dan berkata :”Lihatlah kepada mereka yang tak berdosa ini, betapa tuduhan-tuduhan yang dusta mengorbankan mereka. Ini tidak begitu aneh. Kerana saya sendiri pernah mendengar tuduhan-tuduhan yang lebih berat dari itu dari orang-orang lain. Fala Haula Wala Quwwata Illah Billah a-A’li al-A’zim. Kemudia beliau menoleh ke arahku sambil bertanya :

– “Apakah anda membaca AlQuran ?”
– “Aku bahkan telah hafal setengahnya ketika dalam umur kurang dari sepuluh tahun.” Jawabku.
– “Tahukan anda bahawa semua kelompok Islam yang beraneka  ragam ini sepakat tentang Al Quran al-Karim. Al Quran yang ada di sisi kami adalah sama dengan Al Quran yang ada di sisi kalian.”
– “Ya, aku tahu.” Jawabku.
– “Nah, bukankah anda telah membaca firman Allah yang bermaksud :”Muhammad hanyalah seorang Rasul di mana sebelumnya (telah datang) para rasul (yang lain).” (S: Ali Imran: 144) Dan juga firmanNya yang bermaksud: “Muhammad adalah Rasulullah dan orang-orang yang bersamanya sangat keras terhadap orang-orang kafir.” (S: al-Fath: 29). Juga firmanNya: “Muhammad bukanlah ayah salah seorang di antara laki-laki kalian, namun beliau adalah Rasulullah dan penutup segala Nabi.” (S: al-Ahzab: 40)
– “Ya, aku tahu ayat-ayat tersebut.” Jawabku.
– “Lalu di mana Ali? Jika Al Quran berkata bahawa Muhammad adalah Rasulullah, maka dari mana datangnya tuduhan-tuduhan seumpama ini ?”.

Aku diam saja tanpa mempunyai sebarang jawapan. Lalu beliau menyambung lagi :
– “Tentang pengkhianatan Jibril, oh….(tuduhan) ini lebih buruk dari yang pertama  tadi. Ini kerana Jibril ketika diutus oleh Allah kepada Muhammad waktu itu umur Muhammad empat puluh tahun manakala Ali seorang anak kecil yang berumur sekitar enam atau tujuh tahun. Bagaimana mungkin Jibril melakukan kesalahan dan tidak dapat membezakan antara Muhammad yang dewasa dan Ali anak yang kecil.”

Kemudian aku terdiam lama merenungkan kata-katanya dan menikmati logikanya yang benar-benar masuk dalam fikiranku serta menghilangkan keraguan-keraguanku. Aku tertanya-tanya di dalam benakku kenapa kita tidak pernah menganalisanya dengan cara mantik seperti itu. Kemudian Sayyid al-Khui ini menyambung kata-katanya:
“Saya tambahkan kepadamu bahawa Syiah adalah satu-satunya di antara Madzhab Islam yang mempercayai tentang maksumnya para Nabi dan Imam. Jika para Imam kami maksum dari segala kesalahan, manakala mereka adalah manusia seperti kita, maka bagaimana malaikat Jibril, malaikat muqarrab yang digelar oleh Allah sebagai Ruhul Amin.”

“Lalu dari mana datangnya tuduhan-tuduhan seumpama ini?”, tanyaku kemudian.

“Dari musuh-musuh Islam yang ingin memecahbelahkan kaum Muslimin dan memporakperandakan mereka. Kaum Muslimin adalah bersaudara, sama ada Syiah atau Sunnah. Mereka menyembah Allah yang Maha Esa dan mensyirikkanNya. Al-Qur’an mereka satu. Nabi mereka satu dan kiblat mereka juga satu. Syiah dan Sunnah tidak berselisih apa-apa melainkan di dalam sebahagian perkara fiqh sahaja sebagaimana yang berlaku  di antara mazhab Sunnah sendiri. Malik menyalahi Abu Hanifah, dan Abu Hanifah menyalahi Syafie dan seterusnya…”

“Jadi, segala apa yang dituduhkan kepada kalian adalah dusta belaka.”

“Alhamdulillah, anda adalah seorang yang berakal dan memahami segala sesuatu. Anda telah melawat negara Syiah dan hidup di sekitar mereka. Apakah anda pernah melihat atau mendengar ucapan-ucapan dusta seumpama itu?”

“Tidak, sama sekali. Yang aku lihat hanya kebaikan sahaja. Al-Hamdulillah, segala puji bagi Allah yang telah memperkenalkanku dengan ustaz Mun’im ini di kapal tempoh hari. Dialah sebab kedatanganku ke Iraq ini dan banyak tahu tentang berbagai hal yang selama ini aku jahil.”

Temanku Mun’im juga tertawa sambil berkata:”Itu juga berkat kuburan Imam Ali ini.” Kemudian aku pegang tangannya dan berkata:”Di sini aku telah banyak belajar hatta dari anak-anak muda itu. Aku bercita-cita jika ada masa aku akan belajar  di Hauzah ini seperti mereka.”

“Ahlan Wa-Sahlan,” jawab Sayyid serta merta.”Jika anda ingin  belajar dan menuntut ilmu, maka Hauzah akan menanggungmu dnn kami akan berkhidmat kepadamu.”

Para hadirin menyambut baik gagasan ini, terutama sekali Mun’im yang nampak lebih berseri. Kemudian aku berkata lagi:”Saya telah berkeluarga dan mempunyai dua anak.”

“Kami akan menanggung semua keperluan anda dari tempat tinggal, biaya hidup dan segala yang anda perlukan. Yang penting anda menuntut ilmu sahaja,”jawab Sayyid.

Aku berfikir sejenak. Lalu aku fikirkan kepada diriku rasanya tidak mungkin aku duduk belajar lagi setelah lima tahun aku mengajar dan mendidik generasi muda. Dan tidak mudah untuk mengambil keputusan dalam waktu yang begitu singkat. Akhirnya aku mengucapkan terima kasih kepada Sayyid al-Khui atas tawarannya itu. Aku katakan bahawa aku akan memikirkan hal ini sepulangnya aku dari umrah kelak, Insya Allah. Tetapi aku perlu dengan sebahagian buku. Kemudian Sayyid berkata:berikan kepadanya beberapa buah buku. Lalu beberapa ulama yang ada di sekitarnya  berdiri dan membuka beberapa buah almari yang ada. Tidak  lama kemudian mereka memberikan aku  buku sebanyak tujuh puluh jilid lebih dan beberapa set buku lain. Sayyid berkata bahawa ini adalah hadiah darinya untukku. Melihat ini aku rasakan tidak mungkin dapat membawanya, apalagi kini akan pergi ke Saudi yang biasanya melarang segala jenis kitab dibawa masuk ke dalam negeri mereka, kerana khuatir pada berbagai aqidah yang berlainan dengan madzhab mereka.Tetapi aku juga tidak mahu kehilangan buku-buku seumpama ini yang tidak pernah aku lihat sepanjang hidupku. Aku katakan kepada temanku dan kepada yang hadir bahawa perjalananku sangat jauh, melalui Damsyik, Jordan, kemudian baru ke Saudi. Dan ketika pulang pula lebih jauh lagi. Mengingatkan bahawa aku akan melalui Mesir, Libya sehingga Tunisia. Selain dari beratnya buku-buku tersebut – kebanyakan negara juga melarang membawa masuk buku.

Kemudian, Sayyid berkata, biarlah aku tinggalkan alamatku dan beliau kelak akan mengirimnya ke sana. Aku berikan kepadanya kad alamatku di Tunisia dan aku ucapkan rasa terima kasih kepadanya yang begitu murah hati. Ketika kau berdiri untuk pulang, beliau juga berdiri sambil berkata:”Semoga Allah menyelamatkanmu di dalam perjalanan. Jika kelak anda berdiri di hadapan maqam datukku Rasulullah, maka sampaikan salamku kepadanya.”

Para hadirin merasa terharu dan aku juga demikian. Aku lihat betapa air matanya tergenang. Aku katakan kepada diriku, tidak mungkin beliau ini orang yang salah atau orang yang berdusta. Sungguh berwibawa, keagungan, dan sikap rendah dirinya menandakan dengan jujur bahawa beliau adalah dari anak keturunan Nabi SAWA. Lalu aku menjabat tangannya dan menciumnya walau dia cuba menolaknya. Semua berdiri dan bersalaman denganku. Anak-anak muda yang mendebatku tadi juga mengikutiku dan meminta alamatku untuk koresponden. Dan aku tidak mengabaikan permintaan ini.

Kami menuju Kufah kerana jemputan salah seorang yang hadir di majlis Sayyid al-Khui tadi. Beliau adalah temannya Mu’nim. Namanya Abu Syubbar. Kami menginap di rumahnya. Malam itu kami berdiskusi panjang dengan sejumlah pemuda yang intelektual. Di antara mereka adalah sejumlah murid Sayyid Muhammad Baqir as-Sadr. Mereka menyarankanku untuk berjumpa dengannya, dan pertemuan itu aka diatur esok hari. Temanku sangat setuju dengan saranan itu, tetapi sayang dia tidak dapat hadir lantaran ada beberapa urusan penting yang tidak dapat ditinggalkan di Baghdad. Kami sepakat untuk tinggal di rumah Sayyid Abu Syubbar tiga atau empat hari sehinggalah Mun’im kembali. Setelah solat Subuh Mun’im pergi ke Baghdad dan kami pergi tidur setelah satu malam suntuk kami berdiskusi panjang.

Malam itu aku banyak sekali belajar dari mereka. Aku sangat kagum dengan berbagai ilmu yang mereka pelajari di Hauzah Ilmiyyah. Selain dari ilmu-ilmu Islam seperti Fiqh, Syariah, dan Tauhid, mereka juga belajar ilmu-ilmu seperti ekonomi, sosiologi, dan politik. Begitu juga dengan ilmu-ilmu sejarah, sastera, astronomi dan lain-lain lagi.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s