Perjumpaan Di Atas Kapal [5]

Oleh: Tijani

Aku berangkat ke Iskandariyah pada hari yang telah ditentukan untuk dapat ikut sebuah kapal Mesir yang akan menuju Beirut. Waktu itu aku sangat lelah dan fikiranku juga letih. Aku berbaring dan tidur barang sejenak. Setelah dua atau tiga jam perjalanan, aku dkejutkan oleh suara sebelahku yang berkata yang berkata : “Nampaknya saudara yang satu ini sangat keletihan.” Lalu ku jawab : “Ya, memang. Aku sangat letih kerana perjalanan dari Kaherah ke Iskandariah. Aku mesti sampai ke pelabuhan dengan seberapa segera dan terpaksa tidur sedikit semalam.”

Dari perbualan kami, aku fahami yang beliau bukanlah orang Mesir. Seperti biasa rasa ingin-tahuku mendorongku untuk mengenalnya lebih. Lalu ku kenalkan diriku dan aku juga mengenalnya. Beliau berasal dari Iraq dan bertugas sebagai pensyarah di Universiti Baghdad. Namanya Mun’im. Beliau datang ke Kaherah untuk mengambil gelar doktor dari Universiti al-Azhar.

Perbincangan kami sekitar Mesir, dunia Arab dan dunia Islam yang lain. Kami juga membincangkan tentang kekalahan Arab dan kemenangan Yahudi serta berbagai topik lain. Antara lain ku katakan bahawa punca kekalahan adalah terpecahnya Arab dan Muslimin kepada berbagai negara, bangsa dan mazhab. Walaupun bilangan mereka banyak tetapi tidak ada nilai sama sekali di mata musuh-musuh mereka.

Kami juga berbincang tentang banyak tentang Mesir dan rakyatnya. Kami sepakat tentang punca kekalahan mereka. Ku tambahkan lagi bahawa aku sebenarnya anti dengan perpecahan yang telah dirancang oleh para penjajah seperti ini. Tujuan mereka semata-mata ingin dengan mudah menguasai dan mengalahkan kita. Kita masih membezakan antara Maliki dengan Hanafi. Dan kuceritakan kepadanya tentang peristiwa pahit yang kualami ketika masuk ke masjid Abu Hanifah di Kaherah. Waktu itu aku ikut sembahyang Asar berjemaah. Selepas sembahyang tiba-tiba orang yang berdiri di sampingku dengan nada marah berkata kepadaku : “Kenapa kau tidak sedekapkan tanganmu ketika sembahyang tadi?” Ku jawab dengan penuh adab dan hormat bahawa Mazhab Maliki mengatakan bahawa tangan mesti lurus ketika sembahyang dan aku ikut mazhab Maliki”. Kalau begitu sembahyang saja di Masjid Malik!” Katanya geram. lalu aku keluar dari masjid dengan perasaan kesal dan kecewa.

Tiba-tiba ustaz Iraq ini tersenyum dan berkata kepadaku bahawa dia bermazhab Syi’ah. aku terkejut mendengarnya. Tanpa mau peduli ku katakan kepadanya bahawa jika aku tahu anda adalah seorang Syi’ah maka aku tidak akan mahu bercakap denganmu. “Kenapa?” Tanyanya. “Kerana kalian bukan orang-orang Muslim. Kalian menyembah Ali bin Abi Thalib. Orang yang paling moderat dari kalian memang menyembah Allah, namun mereka tidak beriman dengan Risalah Nabi Muhammada s.a.w. Mereka mencaci Malaikat Jibril dan berkata bahawa dia telah berbuat salah. yang sepatutnya wahyu diturunkan kepada Ali tetapi dia turunkan kepada Muhammad. Aku terus bercakap kata-kata seumpama itu sementara temanku ini kadang-kadang tersenyum dan sekali-sekali mengucap.
Setelah selesai dia bertanya kepadaku :
“Adakah anda seorang guru?”
“Ya”. Jawabku.
“Jika guru yang berfikir seperti ini maka tidak hairan kalau orang-orang awam yang tidak terpelajar juga akan berfikir demikian.”
“Apa maksud anda?” Tanyaku mengulang
“Maaf. Dari mana anda mendapatkan propaganda-propaganda bohong seperti ini?”
“Dari buku-buku sejarah dan dari ucapan orang banyak.”
“Tinggalkan apa yang dikatakan orang. Tetapi buku sejarah mana yang anda baca?”
“Seperti buku Fajrul Islam, Dhuhal Islam dan Zuhrul Islam karya Ahmad Amin dan lain-lainnya.”
“Bila Ahmad Amin jadi hujah kepada Syi’ah? Untuk berlaku adil dan objektif anda mesti merujuk kepada sumbernya yang asli.”
“Kenapa aku mesti mengkaji sesuatu perkara yang telah dikenal oleh kalangan khusus dan umum?” jawabku lagi.
“Ahmad Amin sendiri telah berkunjung ke Iraq. Dan aku di antara orang yang sempat berjumpa dengannya di Najaf. Ketika kami sentuh menenai tulisannya tentang Syiah, beliau meminta maaf sambil berkata: alu tidak tahu apa-apa tentang kalian dan aku tidak pernah berhubungan dengan Syi’ah sebelum ini. Ini adalah kali pertama aku berjumpa dengan orang-orang Syiah. Kami berkata kepadanya bahawa satu permohonan maaf kadangkala lebih buruk dari berbuat kesalahan. Bagaimana anda tidak tahu apa-apa tentang kami lalu anda tulis segala yang buruk  tentang kami.”

Kemudian beliau melanjutkan:
“Ya akhi, jika hukumkan kesalahan Yahudi dan Nasrani melalui al-Qur’an, walaupun ianya merupakan hujah kuat bagi kita, tetapi mereka tidak mengiktirafnya. Suatu hujah akan menjadi sangat kuat jika kesalahan mereka kita buktikan melalui kitab-kitab yang dipercayainya.”

Perkataan ini menyentuh hatiku bagaikan tersiramnya air yang deras ke dalam kalbu orang yang dahaga. Aku perhatikan diriku berubah dari seorang yang berasa hasad dan dengki kepada rasa ingin tahu dan mengkaji. Aku rasakan mantiknya yang sihat dan hujahnya yang kuat. Apa salahnya jika aku mengambil sikap rendah hati sedikit dan mendengar kata-katanya. Aku katakan kepadanya:
“Kalau begitu anda di antara orang yang percaya kepada kenabian Muhammad?”
“Salallahu Alaihi Wa Alihi Wasallam,” Jawabnya. Semua orang syiah percaya pada kenabian itu. Anda, ya akhi mesti mengkajinya sendiri sehingga anda betul-betul membuktikannya dan tidak menaruh prasangka terhadap saudara-saudara anda orang syiah, mengingat “sebahagiana dari prasangka itu adalah dosa.” Beliau menambah lagi:
“Jika anda benar-benar ingin mengetahui yang hak dengan mata kepala anda sendiri dan diyakini pula oleh hati anda, saya menjemput anda untuk melawat Iraq dan ulama-ulama Syiah serta orang-orang awamnya. Waktu itu anda akan tahu pembohongan orang-orang yang hasad dengki dan berniat buruk.”

“Memang cita-citaku ingin melawat Iraq pada suatu hari kelak,”Jawabku spontan.”Aku ingin melihat peninggalan-peninggalan sejarah Islam yang ditinggalkan oleh orang-orang  Abbasiyyah terutamanya Harun al-Rashid tetapi pertama-tamanya wang perbelanjaanku terbatas dan aku telah bercadang akan pergi umrah. Kedua, pasport yang aku bawa tidak mengizinkan aku masuk ke Iraq.”

“Ketika aku katakan yang aku mahu menjemputmu datang ke Iraq bermakna aku akan menjamin perbelanjaanmu dari Beirut sehingga Baghdad, pergi dan balik. Dan anda, akan menginap di rumahku, kelak sebagai tetamuku. Kedua, berkenaan dengan pasport yang anda katakan tadi tidak boleh masuk ke Iraq, biarlah kita serahkan pada Allah SWT. Jika Allah SWT telah mentakdirkanmu untuk melawat Iraq, hatta tanpa pasport sekalipun anda akan pergi juga. Kita akan berusaha mendapatkan visa masuk seketika kita sampai di Beirut kelak.”

Mendengar hal ini, aku sangat gembira sekali. Aku berjanji kepadanya akan memberi jawapan esok, Insya Allah.

Aku keluar dari kamar tidur dan naik ke atas kapal mencari udara baru. Aku berfikir sesuatu yang baru. Fikiranku melayang-layang di lautan yang tidak terbatas itu. Aku mengucapkan Tasbih kepada Tuhanku yang telah menciptakan alam semesta dan memujiNya. Aku ucapkan rasa terima kasihku  kepadaNya yang telah menyampaikan aku ke tempat ini sambil memohon kepadaNya agar melindungiku dari segala kejahatan dan menjagaku dari segala kesalahan. Ingatanku juga melayang-layang merakam kembali berbagai ingatan yang aku alami dan berbagai kebahagiaan yang aku lalui dari sejak masa kecilku sehinggalah hari ini. Aku bercita-cita akan masa depan yang lebih baik. Aku berasa seakan Allah dan RasulNya menganugerahkan kepadaku suatu kurnia tersendiri.

Aku lihat kembali arah Mesir yang sekali-kali masih memperlihatkan sebahagian pantainya, sambil mengucapkan selamat tinggal kepada bumi yang di dalamnya aku cium baju Rasulullah SAWA. Betapa indahnya kenangan itu. Kata-kata orang syiah tadi juga masih terus berdengung di telingaku dan sangat menggembirakanku. Betapa tidak kerana cita-citaku untuk melawat Iraq memang ada di dalam benakku sejak masa kecil lagi. Dan kini nampaknya hampir menjadi nyata. Iraq seperti yang aku bayangkan  adalah tanah airnya Harun ar-Rashid dan Makmun pengasas Darul Hikmah, pusat di masa berbagai pelajar dari barat datang menuntut ilmu  pada kurun kegemilangan peradaban Islam dahulu. Sebagaimana ia juga adalah tanah airnya al-Qutb ar-Rabbani wa-Syaikh as-Somadani Sayyidi Abdul Kadir al-Jilani di mana namanya dikenal di seluruh pelusuk dunia dan tarekat ajarannya memasuki  semua tempat. Dan ini bagiku adalah anugerah baru dari Allah SWT.

Lama aku berkhayal dan berangan-angan sehinggalah suara pembesar kapal tiba-tiba mengejutkanku. Suara itu memanggil semua penumpang kapal agar pergi ke kantin untuk makan malam. Aku pergi ke sana dan seperti biasa – manusia bersesak-sesak dan hiruk-pikuk. Tiba-tiba orang syiah tadi memegang bajuku dan dengan perlahan menarikku ke belakang. Katanya:”Mar yan akhi. Tak perlu anda menyusahkan diri anda. Biarlah kita makan sebentar lagi setelah kesesakan seperti itu menjadi reda. Aku sejak tadi mencarimu. Anda sudah solat?” Tanyanya kepadaku.”Belum”, jawabku.”Biarlah kita solat dahulu kemudian makan setelah orang ramai selesai,”ajaknya.

Aku setuju dengan pendapatnya dan kami pergi ke tempat yang agak kosong untuk berwudhu. Kemudian aku memintanya menjadi imam lantaran ingin ‘mengujinya’ bagaiamana dia solat, untuk kemudian aku ulangi solatku semula. Setelah dia solat maghrib dan membaca bacaan dan doanya dengan baik, serta merta aku ubah niatku tadi. Aku berfikir seakan-akan aku solat berjamaah dengan salah seorang dari sahabat yang mulia di mana aku belajar darinya, dari sifat waraknya dan taqwanya. Setelah solat, beliau membaca doa yang panjang yang tidak aku dengar seumpamanya di negeri kami  dan di negeri-negeri yang aku kenal. Setiap kali aku dengar beliau berselawat ke atas Muhammad dan keluarganya dan memuji-mujinya hatiku terasa sangat tenteram dan gembira.

Setelah selesai solat aku perhatikan bekas-bekas tangis membekas dalam kedua belah matanya. Aku juga mendengar beliau mendoakanku semoga Allah bukakan mata dan hatiku dan membimbingku.

Kami pergi ke kantin. Tempat duduk sudah nampak kosong. Beliau tidak mahu duduk sebelum aku sendiri duduk. Pelayan menghantarkan kepada kami dua pinggan makanan. Dan aku lihat temanku ini menggantikan pingganku dengan pinggannya kerana bahagian dagingku kurang sedikit daripada bahagian dagingnya. Beliau melayanku seakan-akan aku ini adalah tetamunya. Diceritakannya kepadaku berbagai riwayat tentang makanan, minuman dan adab makanan yang tidak pernah aku dengar seumpamanya sebelum ini.

Aku sangat kagum dengan akhlaknya ini. Beliau juga menjadi imam kami di dalam solat Isya’ dan membaca doa-doa yang panjang sehingga membuatku  menangis. Aku bermohon kepada Allah agar merubah prasangkaku kepadanya kerana mengingatkan bahawa sebahagian dari prasangka itu adalah dosa. Tetapi siapa tahu?!

Aku tidur dan memimpikan Iraq serta seribu satu malamnya. Aku terbangun setelah beliau membangunkanku untuk solat Subuh. Kami solat berjamaah dan berbincang-bincang tentang berbagai nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kaum Muslimin.

Kami pergi tidur lagi. Ketika aku bangun aku lihat beliau sedang duduk di atas katilnya sambil memegang tasbih berzikir kepada Allah SWT. Melihatnya hatiku terasa tenteram dan jiwa ini terasa tenang. Lalu aku bermohon ampun kepada Tuhanku.

Ketika kami sedang bersarapan di kantin tiba-tiba pembesar suara mengumumkan bahawa kapal telah menghampiri pantai Lebanon. Dengan izin Allah kami akan berada di pelabuhan Beirut dalam masa dua jam lagi. Beliau bertanya kepadaku apa keputusanku? Aku jawab jika Allah SWT memudahkan perkara visa masuk, maka tiada alasan untuk menolak jemputan anda; sambil mengucapkan ribuan terima kasih.

Kami turun di Beirut dan bermalam di sana. Dari sana kami berangkat ke Damsyik dan terus ke kedutaan Iraq. Di sana aku berjaya mendapatkan visa untuk masuk dengan cepat sekali, tidak seperti mana yang aku sangkakan. Sekeluarnya aku dari sana, beliau mengucapkan tahniah kepadaku dan memuji Allah atas kurniaNya.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s