Perjalanan Berjaya [4]

Oleh: Tijani
Di Mesir

Aku berada  di Tripoli  hanya selama masa visa yang mereka berikan kepadaku melalui kedutaan Mesir di Tunisia sahaja. Di sana aku berjumpa dengan beberapa orang temanku. Mereka banyak membantuku. Semoga Allah membalas jasa mereka itu. Dan di dalam perjalananku ke Kaherah yang memakan selama tiga hari tiga malam, aku menaiki sebuah teksi bersama empat orang Mesir lain yang pulang kerja dari Libya. Di dalam perjalanan itu aku banyak bercakap dengan mereka dan membacakan beberapa ayat-ayat suci al-Qur’an. Mereka menyukaiku dan masing-masing mengajakku singgah ke rumahnya. Di antara mereka seorang sahaja yang aku pilih dan bersedi pergi ke rumahnya, lantaran sifat warak dan taqwa yang nampak dalam dirinya. Namanya Ahmad. Beliau menyambutku dan menerima hangat kedatanganku. Mudah-mudahan Allah berkenan membalas jasanya.

Aku berada selama dua puluh har di Kaherah. Aku sempat berkunjung ke tempat penyanyi terkenal, Farid at-Atharsy di rumahnya yang menghadap sungai Nil. Aku sejak lama mengkaguminya lantaran berita tentang peribadinya dan sikap rendah dirinya seringkali aku baca di dalam majalah-majalah Mesir yang dijual di Tunisia.Sayang aku hanya dapat berjumpa dengannya selama 20 minit sahaja kerana waktu itu dia akan berangkat ke Lebanon. Aku juga berkunjung ke tempatnya Syaikh Abdul Basit Abdus Samad seorang qari al-Qur’an yang sangat terkenal itu. Aku juga sangat mengkaguminya. Aku hanya sempat bersamanya selama tiga hari. Kami banyak berdiskusi dalam pelbagai masalah bersama kerabat dan sahabat-sahabatnya.Mereka juga kagum dengan semangatku, ketegasanku dan luasnya informasi yang aku miliki. Jika mereka bercakap mengenai seni, maka aku juga bercakap mengenai seni dengan panjang lebar. Dan jika mereka bercakap tentang zuhud dan tawasuf, maka aku katakan yang aku adalah dari tarekat Tijaniyyah dan sekaligus berperadaban tinggi. Jika mereka bercakap tentang dunia barat, maka aku ceritakan kepada mereka tentang Paris, London, Belgik, Holand, Itali, dan Sepanyol yang aku lawati di cuti-cuti musim panas yang lalu. Bila mereka bercakap tentang haji maka aku katakan yang aku telah pergi haji dan kini akan pergi menunaikan umrah pula. Aku ceritakan kepada mereka tempat-tempat yang tidak mereka ketahui hatta oleh mereka yang pernah menunaikan haji sebanyak tujuh kali sekalipun seperti Gua Hira’, Gua Thur, dan tempat Nabi Ismail disembelih. Dan bila mereka bercakap tentang sains dan penemuan-penemuannya, maka aku perincikan kepada mereka dengan bilangan dan istilah-istilahnya sekali. Dan bila mereka bercakap tentang politik, maka aku dapat patahkan hujah-hujah mereka sambil berkata:”Semoga Allah melimpahkan rahmatNya kepada Nasir Salahuddin al-Ayyubi yang telah mengharamkan dirinya dari tersenyum apalagi tertawa. Ketika orang-orang dekatnya mencela dan berkata: dahulunya Nabi SAWA sentiasa dilihat dalam keadaan tersenyum, maka Ayyubi menjawab: bagaimana kamu menginginkan aku tersenyum sementara Masjidul Aqsa masih berada di bawah tangan musuh-musuh Allah. Tidak, demi Allah, aku tidak akan tersenyum sehinggalah aku dapat membebaskannya atau mati kerananya.

Beberapa syaikh dari al-Azhar ikut hadir dalam majlis kami. Mereka sangat kagum dengan apa-apa yang aku hafal seperti hadith, ayat-ayat dan hujah-hujah yang kuat lainnya. Mereka bertanya dari universiti manakah aku dapat sarjana. Aku menjawab aku adalah sarjana keluaran Universiti Zaitun. yang telah didirikan sebelum Universiti al-Azhar. Aku katakan lagi bahawa orang-orang dari kalangan Fatimiyyah yang mendirikan al-Azhar itu sebenarnya berasal dari kota Mahdiah di Tunisia.

Aku juga sempat berkenalan dengan sejumlah ulama dari Universiti al-Azhar. Mereka pinjamkan kepadaku beberapa buah buku. Suatu hari aku berada di pejabat salah seorang pegawai pentadbiran  al-Azhar. Tiba-tiba datang seorang ahli Dewan Kepimpinan Revolusi Mesir dan menjemputnya untuk hadir dalam suatu perhimpunan kaum Muslimin  di salah sebuah syarikat besi waja Mesir yang besar di Kaherah yang rosak akibat Perang Oktober ketika itu. Beliau tidak mahu melainkan aku ikut serta. Di sana mereka memintaku memberikan ceramah kepada para hadirin. Dan aku lakukan tugas ini dengan mudah lantaran kebiasaanku dalam memberikan berbagai ceramah di masjid-masjid dan markas-markas kebudayaan di negeriku.

Yang penting dari apa yang aku ceritakan dalam bab ini adalah perasaanku yang mulai membesar da sikap mengkagumi diri sendiri mulai timbul. Aku berfikir ketika itu bahawa aku memang telah menjadi seorang alim  yang berpengetahuan tinggi. Betapa tidak. Ulama-ulama al-Azhar  sendiri menyaksikan sendiri hal itu. Antara lain mereka berkata:”Tempatmu sudah sewajibnya di al-Azhar di sini.” Dan yang lebih membanggakan diriku lagi adalah “izin” Rasulullah SAWA yang diberikannya kepadaku untuk melihat peninggalan-peninggalannya seperti yang dikatakan oleh pegawai yang mengurus Masjid Saidina Husayn di Kaherah. Beliau hanya mengajakku seorang untuk masuk ke dalam hujrah iaitu ruang yang tidak dibuka kecuali olehnya sendiri. Dan ketika kami masuk beliau menutupnya semula dari dalam. Dibukanya sebuah almari dan dikeluarkannya sehelai baju Nabi SAWA. Lalu aku cium baju tersebut. Juga diperlihatkannya kepadaku sejumlah peninggalan yang lain. Setelah keluar dari sana aku menangis kerana begitu terkesan dengan perhatian Nabi SAWA terhadapku secara peribadi. Orang ini juga tidak memintaku sebarang upah. Dia hanya mengambil sesuatu yang sangat sedikit setelah aku paksa dan mendesaknya. Diucapkannya tahniah kepadaku sambil berkata yang aku ini adalah di antara orang-orang yang diterima di sisi Nabi SAWA.

Peristiwa ini barangkali sangat memberi kesan kepadaku sehingga aku berkali-kali berfikir tentang apa yang dikatakan oleh Wahabiyyah bahawa Nabi SAWA telah meninggal dan selesailah sudah riwayatnya sebagaimana orang-orang lain yang mati. Aku menolak fikiran seperti itu. Bahkan aku yakin bahawa iqtiqad seperti itu adalah karut. Seandainya seorang syahid di jalan Allah tidak “mati”, bahkan hidup mendapatka rezeki di sisi Tuhannya, maka betapa pula penghulu para nabi dan rasul. Perasaanku ini bertambah kuat lantaran dahulunya aku memang percaya akan pelajaran-pelajaran tasawuf yang memberikan hak dan kebenaran kepada para wali dan syaikh-syaikh mereka “campurtangan” di dalam perjalanan alam ini. Mereka percaya bahawa Allah SWT telah memberikan izin kepada mereka lantaran mereka taat kepadaNya dan patuh pada segala perintahNya. Bukankah ada suatu hadith qudsi menyebut:”Wahai hambaKu, taatlah kepadaKu nescaya kau  akan menjadi sepertiKu, mengatakan kepada sesuatu: jadilah maka ia akan menjadi.” Dari situ maka mulailah pertarungan-pertarungan menyala dalam fikiranku.

Akhirnya aku akhiri kunjungan ke Mesir dengan melawat berbagai masjid dan solat di dalamnya seperti Masjid Malik, Masjid Abu Hanifah, Masjid Syafie dan Masjid Ahmad bin Hanbal. Kemudian aku juga melawat Sayyidah Zainab dan Sayyidina Husayn. Juga tidak ketinggalan  Pondok Tijaniyyah yang menyirat banyak cerita.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s