Haji Ke Baitullah [3]

Oleh: Tijani

Waktu itu usiaku lapan belas tahun ketika Himpunan Penelitian Kebangsaan Tunisia (HPKT) memberiku kepercayaan untuk mewakili negara bersama lima orang lain, di dalam menghadiri Seminar Pertama Penelitian Arab Dan Islam yang diadakan di Mekah. Ketika itu aku adalah delegasi yang paling muda, sama ada dari aspek usia atau kematangan. Dua dari mereka adalah kepala sekolah; ketiga guru di pusat ibu kota; keempat wakil dari akhbat\r tempatan dan kelima seorang kerabat Menteri Pendidikan Kebangsaan waktu itu.

Perjalanan kami tidak langsung. Kami transit di Athena tiga hari, kemudian Amman, ibu kota Jordan empat hari lalu ke Saudi untuk mengikuti Seminar sambil melaksanakan fardhu haji dan umrah.

Tidak terlukiskan bagaimana perasaanku  pertama kali memasuki Baitullah al-Haram. Degupan jantungku yang kuat seakan-akan ingin memecah dinding penghalang untuk keluar melihat sendiri Baitul A’tiq ini yang sejak lama diimpi-impikannya. Air mataku terus mengalir seakan tidak mahu berhenti. Aku terlena dengan khayalan yang malaikat membawaku untuk sampai  ke bumbung Ka’bah lalu menyahuti seruan Allah SWT dari sana:”Labbaik Allahumma Labbaik. Inilah hambaMu yang datang menghadapMu.”

Ketika aku dengar suara talbiah jamaah haji, aku terfikir bahawa mereka telah menghabiskan usia mereka untuk menyediakan bekal dan harta demi datang ke Baitullah ini. Tetapi aku datang secara mengejut dan tanpa persiapan dari diriku sendiri.

Masih teringat dibenakku betapa ayahku menangis dan menciumku ketika melihat tiket pesawatku dan yakin akan kepergianku untuk menunaikan fardhu haji. Ketika melepaskan pemergianku, belia berkata:”Tahniah untukmu hai anakku. Allah telah menginginkanmu pergi haji sebelumku dalam usia yang sebegini muda. Engkau adalah anakku Sayyid Ahmad Tijani. Doakan aku di rumah Allah agar aku diampuniNya dan diberikanNya rezeki untuk pergi haji ke tanah suci.”

Itulah kenapa aku menduga bahawa Allah SWT telah memanggilku dan melimpahkan kurniaNya kepadaku dengan menyampaikan aku ke tempat yang sangat diidamkan oleh setiap jiwa. Adakah orang yang berhak menyahuti panggilan itu lebih daripadaku. Waktu itu aku melebihkan ibadah tawafku, solatku, sa’iku, bahkan ketika minum air zamzam sekalipun. Ketika semua orang berlumba-lumba untuk nak ke gunung Jabal Nur yang terdapat Gua Hira’, tidak seorang pun yang dapat mengalahkanku kecuali seorang anak muda dari Sudan. Aku rukuk di sana seakan-akan aku mencium baunya Nabi SAWA dan merasakan nafasnya. Alangkah indahnya kenangan itu, suatu pengalaman yang sangat membekas diingatanku dan tidak  mungkin akan terlupa selama-lamanya.

Ada satu limpahan kurnia Illahi lain atas diriku dimana setiap delegasi lain yang melihatku, dia aka menyukaiku dan meminta alamatku untuk dapat berutus surat. Teman-teman seperjalananku yang dari awal masa keberangkatan bersikap hina terhadapku, kini mula menyukaiku. Sebelum ini aku hanya bersabar lantaran sikap mereka. Kerana aku tahu bahawa penduduk utara memang menghina penduduk yang mempekecil-kecilkan orang-orang yang datang dari kawasan selatan dan menganggap mereka sebagai orang-orang yang belum maju. Pandangan mereka terhadapku akhirnya berubah ketika dalam perjalanan, seminar dan musim haji ini. Aku telah banyak mengukir prestasi di hadapan para delegasi dengan syair-syair dan qasidah-qasidah yang aku hafal. Aku juga telah berhasil membawa pulang berbagai ijazah kecemerlangan di dalam berbagai pertandingan yang diadakan sempena acara itu. Ketika aku pulang ke negeriku, aku telah membawa lebih dari dua puluh alamat teman-teman dari berbagai bangsa.

Kami berada di Saudi selama dua puluh lima hari. Kami berjumpa dengan berbagai ulama dan mendengar ucapan-ucapan mereka. Aku sangat terkesan dengan sebahagian kepercayaan Wahabiyyah dan bahkan berangan-angan agar kaum Muslimin seluruhnya berpegang kepada kepercayaan ini. Waktu itu aku menyangka bahawa Allah SWT telah memilih mereka dari sekian banyak hamba-hambaNya ini untuk menjaga Baitullah al-Haram. Mereka adalah makhluk Allah yang paling suci dan paling alim  di atas muka bumi ini. Allah telah memperkayakan mereka dengan minyak agar dapat berkhidmat kepada jamaah haji yang datang sebagai tetamu Allah, dan menjamin keselamatan mereka.

Ketika aku pulang dari haji  ke tanah airku, aku memaka pakaian ala Saudi lengkap dengan lqal melilit kepala. Aku sangat terkejut dengan sambutan yang telah dipersiapkan oleh ayahku. Orang ramai telah berkumpul di stesyen keretapi dipimpin sendiri oleh Syaikh Terekat I’sawiyah, Syaikh Tijaniyyah dan Syaikh Qadiriyyah yang lengkap dengan gendang kebesaran sufi.

Mereka membawaku mengelilingi jalan-jalan kota Qafsah sambil mengumandangkan laungan takbir dan tahlil. Setiap kali kami lalu pada sebuah masjid, maka mereka akan memintaku berhenti sejenak. Orang ramai yang ada disekitarku berdesak-desak mahu menciumku, terutamanya orang-orang tua. Mereka menangis kerana sangat merindukan untuk melihat Baitullah dan berdiri dekat pusara Nabi SAWA. Mereka belum pernah melihat orang balik haji seusiaku, apa lagi di kota Qafsah ini.

Itulah hari-hariku yang sangat bahagia. Pemuka-pemuka tempatan datang ke rumah kami untuk mengucapkan salam dan tahniah sambil meminta doa. Kebanyakan mereka memintaku membacakan surah al-Fatihah dan doa di kehadiran ayahku. Sekali-sekala aku berasa malu juga. Setiap kali para tetamu keluar, ibuku akan masuk sambil meniupkan asap gaharu dan memohon perlindungan dari tipu daya orang-orang yang jahat dan syaitan yang terkutuk.

Ayahku mengadakan kendui selama tiga hari berturut-turut demi Yang Mulia Tijaniyyah. Setiap har beliau menyembelih seekor kambing. Dan orang-orang yang hadir bertanya segala sesuatu hatta perkara yang kecil sekalipun. Jawapanku rata-rata berkisar  antara rasa kekagumanku terhadap Saudi dan kegiatan mereka di dalam menyebarkan Islam dan membela kaum Muslimin.

Penduduk kota kami memanggilku dengan sebutan “Tuan Haji”. Jika nama itu disebutkan maka maksudnya tidak lain kecuali diriku. Dan sejak itu aku lebih dikenal oleh khalayak ramai terutamanya di kalangan akivis-aktivis agama seperti Jamaah Ikhwanul Muslimin. Aku pergi ke masjid-masjid dan melarang orang-orang dari mencium nisan kuburan atau mengusap-usap kayu-kayunya. Aku berusaha menyakinkan mereka bahawa perbuatan itu adalah syirik kepada Allah. Aktivitiku bertambah luas. Aku mulai mengajar di beberapa masjid pada hari Jumaat sebelum khutbah. Aku berpindah-pindah dari masjid Abi Ya’qub ke masjid jamik agung. Mengingat solat Jumaat didirikan  pada waktu yang berlainan. Masjid Abu Ya’qub mendirikan solat Jumaat pada waktu Zuhur sementara masjid jamik pada waktu Asar. Pengajian-pengajian hari Ahad juga banyak dihadiri oleh pelajar tingkatan atas tempat aku mengajar subjek teknologi dan ilmu teknik. Mereka sangat sukan menghadiri pengajianku, mengingatkan bahawa aku banyak meluangkan masa untuk menghilangkan segala kemusykilan yang ada pada benak mereka lantaran indoktrinasi sebahagian daripada guru-guru falsafah atheis, sekularis dan komunis. Mereka menunggu dengan penuh kesabaran ketika pengajian itu. Sebahagian mereka ada yang datang ke rumah. Aku juga  telah membeli beberapa buku agama sebagai bahan bacaan yang akan dapat menambah pengetahuanku dan dapat menjawab setiap pertanyaan dengan baik.

Di tahun-tahun hajiku itu juga aku telah dikurniakan memiliki separuh agamaku yang lain. Ibuku sangat menginginkan aku berkeluarga sebelum tiba akhir hayatnya. Beliaulah yang membesarkan semua anak-anak suaminya dan menghadiri perkahwinan mereka. Cita-citanya juga ingin melihat aku berkeluarga. Akhirnya Allah SWT menyampaikan cita-citanya dan aku mematuhinya untuk mengahwini seorang anak gadis yang belum aku lihat sebelumnya. Ibuku juga menyaksikan anak pertama dan keduaku. Kemudian beliau meninggal dunia dalam keadaan redha kepadaku, menyusuli pemergian ayahku dua tahun sebelumnya. Ayahku juga telah menunaikan fardhu haji dan bertaubat kepada Allah, Taubatan Nasuha dua tahun sebelum beliau menghadap Allah SWT.

Revolusi Libya muncul di saat kaum Muslimin dan Arab mengalami kekalahan yang memalukan dalam peperangannya dengan Israel. Anak muda pemimpin revolusi itu muncul dan berbicara atas nama Islam. Beliau solat dengan ummat di masjid dan menyeru akan pembebasan al-Quds. Beliau sangat menarik perhatianku dan perhatian seluruh pemuda-pemuda Arab dan Islam yang lain. Rasa ingin tahu kami akhirnya mendorong kami untuk mengadakan kunjungan kebudayaan ke Libya. Bersama dengan empat puluh orang terpelajar, kami pun berangkat menuju ke sana pada awal revolusi itu. Kemudian kami kembali dengan rasa kekaguman yang luar biasa itu. Kami berasa sangat optimis dengan masa depan yang diharapkan akan menguntungkan semua umat Islam dan Arab secara keseluruhan.

Korespondensi aku dengan beberapa teman berjalan di tahun-tahun itu. Aku telah mengadakan suatu hubungan rapat dengan beberapa orang dari mereka yang terus mendesakku untuk datang. di suatu cuti panjang musim panas, aku berencana ingin mengadakan sautu perjalanan selama tiga bulan. Perjalanan darat melalui Libya, lalu kemudian ke Mesir. Dari sana aku akan melalui jalan laut menuju Lebanon, Syria, Jordan, dan Saudi. Di sana aku akan menunaikan ibadah murah dan memperbaharui janji setiaku terhadap fahaman Wahabiyyah yang banyak aku propagandakan di kalangan para mahasiswa dan pelajar serta masjid-masjid yang dihadiri oleh Jamaah Ikhwanul Muslimin.

Kemasyhuranku menjangkau negeri-negeri yang berhampiran. Seorang musafir kadang-kala berlalu di tempat kami lalu solat Jumaat dan menghadiri kuliahku. Ketika pulang dia menceritakan ehwal kami kepada masyarakat sekitarnya, sehingga sampailah ke telinga Syaikh Ismail al-Hadifi, pemimpin tarekat sufi yang terkena di kota Tuzer, ibu negeri al-Juraid dan tempat persemadian Abul Qasim as-Syabi. seorang penyair yang termasyhur. Syaikh ini mempunyai pengikut dan penggemar di serata pelusuk Tunisia; bahkan di luar negeri sekalipun di kalangan para pekerja di Perancis dan Jerman.

Suatu hari menerusi para wakilnya di Qafsah beliau menjemputku untuk melawatnya. Diutusnya sepucuk surat yang panjang untukku dengan ucapan rasa terima kasih kerana khidmatku terhadap Islam dan Muslimin. Mereka mendakwa bahawa kesemua itu tidak akan mendekatkanku pada Allah sedikit pun jika aku tidak melalui jalannya Syaikh yang arif itu. Ini berdasarkan hadith yang sangat masyhur di kalangan mereka:”Sesiapa yang tidak memiliki Syaikh maka syaikhnya adalah syaitan. Mereka berkata:”Engkau juga mesti memiliki Syaikh yang akan menunjukkanmu kepada jalan-jalan yang sebenarnya kalau tidak maka separuh ilmumu bermakna kurang…..”Mereka juga berkata bahawa “Sohib Zaman”, yakni Syaikh Ismail ini telah memilihku untuk menjadi Khasal-Khas, yakni kalangan yang paling dekat dengannya.

Mendengar ini hatiku terasa gembira sekali. Aku menangis lantaran sangat terharunya pada kurnia Allah yang terus mengangkatku dari makam tinggi ke makam yang lebih tinggi lagi dari kedudukan yang baik kepada yang lebih baik. Sebelum ini aku pernah mengikut Sayyidi Soleh Bis Saih dan Sayyidi al-Jilani serta berbagai guru tarekat yang ada. Aku tunggu waktu perjumpaan yang dijanjikan itu dengan penuh kesabaran.

Ketika kau masuk ke rumah Syaikh aku jumpai berbagai wajah sedang menantinya dengan penuh semangat. Murid-muridnya ramai yag hadir di majlis itu. Di antara mereka ada sejumlah orang-orang tua yang memakai serban serba putih. Setelah acara Tahiyyah (ucapan salam) maka Syaikh Ismail keluar. Semua yang hadir mencium tangannya dengan penuh hormat. Dan wakilnya yang membawaku ini menggenggam tanganku sambil mengatakan bahwa inilah Syaikh Ismail. Aku tidak berasa kagum sama sekali melihat rupanya – tidak sehebat seperti apa yang aku bayangkan di benakku. Wakil dan para mengikutnya telah menceritakan berbagai macam keramat dan mukjizat Syaikh ini sehingga kehebatan dan ketokohannya terukir besar di dalam bayangan fikiranku. Namun apa yang aku lihat, beliau hanyalah seorang syaikh biasa yang tidak mempunyai wibawa dan keagungan. Si-wakil memperkenalkan aku kepadanya di pertengahan majlis. Beliau menyambutku dan mempersilakan aku duduk di sebelah kanannya. Setelah makan dan minum maka acara dimulakan. Kemudian wakil ini memintaku mengambil perjanjian dan wirid dari Syaikh ini. Setelah itu maka semua yang hadir mengucapkan tahniah sambil memelukku.

Dari percakapan mereka aku faham bahawa mereka sebenarnya telah sering mendengar namaku. Sebahagian jawapan Syaikh kepada orang-orang yang bertanya kadang-kadangku sanggah  berdasarkan hujah-hujah al-Qur’an dan Sunnah. Tetapi sebahagian yang hadir  menganggapnya buruk dan bersikap kurang ajar kepada Syaikh kerana kebiasaannya mereka tidak bercakap jika berada di hadapan kecuali dengan izinnya. Sikap tidak puas hati mereka ini dirasakan oleh Syaikh. Dengan cara yang bijak beliau meredakan perasaan mereka seraya berkata:”Sesiapa yang bersikap berani-api maka pada akhirnya akan cemerlang.” Para hadirin menganggap ini sebagai ‘isyarat baik’ dari Syaikh, dan akan menjadi jaminan paling besar bagi kecemerlangan akhirku. Mereka memberikan tahniah kepadaku. Tetapi Syaikh ini adalah seorang yang pandai dan terlatih. Beliau tidak memberikan kesempatan kepadaku untuk melanjutkan sanggahan yang ‘mengejutkan’ itu. Diceritakankan hikayat seorang yang Arif Billah (wali) ketika duduk bersama sejumlah ulama. Kepada salah seorang dari ulama ini si-wali berkata: bangun dan pergilah mandi. Si-alim pergi dan mandi. Kemudian dia datang semula ke majlis. Sebelum sempat duduk, si-wali berkata lagi kepadanya: pergi mandi lagi. Lalu dia pergi dan mengulangi mandinya dengan cara yang paling baik. khuatir mandinya tadi tidak betul. Kemudian dia datang lagi untuk duduk di majlis itu, namun Syaikh tetap sahaja menyuruhnya pergi dan mandi. Kemudian si-alim  ini menangis dan berkata: Ya Tuan Syaikh. Aku telah mandi dengan cara ilmuku dan amalku. Tiada apa-apa lain dalam diriku melainkan apa yang akan Allah bukakan kelak melalui kedua tanganmu. Lalu Syaikh ini berkata: sekarang duduklah.

Aku tahu bahawa yang dimaksudkan dari cerita ini adalah diriku. Para hadirin juga tahu. Setelah keluarnya Syaikh dari majlis mereka mencelaku dan menyuruhku berdiam dan wajib hormat bila duduk di hadapannya. Mengingatkan bahawa Syaikh ini adalah Sohib Zaman. Dan sikapku ini dikhuatirkan akan melucutkan segala amal-amal baikku selama ini. Hujah mereka adalah firman Allah seperti berikut:”Wahai orang-orang yang beriman. Janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi, dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang  lain supaya tidak terhapus (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari.” [Al-Hujurat:2]

Aku tahu harga diriku. Aku ikuti perintah dan nasihat-nasihatnya, dan lebih dari itu aku dekatkan lagi diriku kepadanya. Aku tinggal bersamanya selama tiga hari dimana aku juga bertanya berbagai masalah kepadanya yang sebahagiannya sekadar ingin mengujinya. Syaikh ini juga sedar akan sikapku ini lalu berkata bahawa al-Qur’an memiliki makna zahir dan batin sehinggalah ke tujuh batin.
Allah juga telah membukakan untukku peti rahsiaNya, dan menunjukkan kepadaku KursiNya yang khas di mana terdapat salasilah orang-orang yang soleh dan arif secara musnad dan bersambung kepada Abul Hasan as-Syazali dan terus kepada sejumlah para wali sehinggalah sanadnya sampai kepada Imam Ali Karamallah Wajhahu.

Perlulah diberitahu bahawa majlis-majlis mereka adalah bersifat ritualistik atau kerohanian. Mula-mula Syaikh akan membukakannya dengan bacaan beberapa ayat al-Qur’an yang mudah secara tajwid. Kemudian membaca qasidah yang diikuti oleh para muridnya yang hafal berbagai madah dan zikir yang kebanyakannya mencela dunia dan mengajak pada akhirat, makna zuhud serta warak. Setelah itu  murid yang duduk di sisi kanan Syaikh akan memulakan bacaan  ayat-ayat al-Qur’an yang baru dan Syaikh serta merta akan membacakan qasidah yang lain pula diikuti oleh semua yang hadir. Begitulah  seterusnya secara bergilir-gilir walau sekadar satu ayat sehinggalah para hadiirin seakan tidak sedar. Mulalah mereka mengoyang-goyangkan badannya ke kanan dan ke kiri mengikut rentak madah tadi sampaikan tuan Syaikh berdiri dan berdirilah semua yang hadir sehingga membentuk satu bulatan di mana Syaikh berada di tengah-tengah. Kemudian mereka menyebutkan “zikir-dada”: ah..ah..ah..Dan Syaikh di tengah-tengah mereka dan menghadap setiap seorang dari mereka dengan suara bacaan yang keras sekali. Kemudian sebahagian daripada mereka melompat-lompat dalam satu gerakan bak kegilaan sambil mengangkat suara tinggi-tinggi yang berirama tetapi menakutkan. Setelah keletihan maka majlis menjadi tenang kembali dengan diakhiri qasidah Syaikh. Dan setelah mencium kepala Syaikh dan bahunya secara bergilir-gilir maka semua yang hadir akan duduk semula.

Aku telah mengikuti majlis mereka beberapa kali sebagai tanda simpati tanpa diiringi dengan sikap rela hati. Aku dapati jiwaku berkecamuk dengan kepercayaan yang aku pegang selama ini yakni cuba tidak mensyirikkan Allah seperti bertawasul kepada selain daripada Allah SWT. Aku jatuh ke bumi sambil menangis tersedu-sedu kerana bingung dengan dua aliran yang sangat kontradiktif ini; aliran sufi yang penuh dengan acara-acara ritualistik (kebatinan) di mana jiwa manusia akan terasa sesuatu kezuhudan dan kedekatan pada Allah SWT melalui para waliNya yang soleh dan hambaNya yang arif, dan aliran Wahabiyyah yang mengajarku bahawa kesemua itu adalah syirik pada Allah. Dan syirik adalah dosa yang tidak diampunkan.

Jika Muhammad Rasulullah SAWA tidak memberi apa-apa manfa’at dan tidak boleh dijadikan tawasul antara Allah SWT maka apalah ertinya mereka para wali dan orang-orang soleh itu?

Walaupun Syaikh menempatkan aku pada ‘maqam’ yang tinggi sebagai wakilnya di Qafsah tetapi jiwaku  belum merasa puas sama sekali. Walau kadang-kadang aku condong kepada tarekat sufi dan sering menyimpan rasa hormat dan takzim disebabkan para wali Allah dan orang-orang soleh tersebut, namun aku juga memprotes berhujahkan firman Allah:”Jangan kamu menyeru bersama Allah Tuhan yang tiada lain selain Dia,”[Al-Qishos:88]. Jika ada orang berkata bahawa Allah berfirman:”Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kalian kepada Allah dan carilah wasilah yang mendekatkan diri kepadaNya”[Al-Maidah:35] maka aku akan menjawab seperti  apa yang diajarkan kepadaku oleh ulama-ulama Saudi bahawa wasilah yang dimaksudkan adalah amal yang soleh.

Al-hasil aku hidup waktu ini dengan perasaan yang gelisah dan pemikiran yang kacau. Kadang-kadang sebahagian murid-murid Syaikh datang ke rumahku dan mengadakan acara-acara serupa dalam bentuk halaqah-halaqah sehinggalah para tetanggaku merasa cukup terganggu dengan suara ‘ah….ah…ah…kami. Setelah aku tahu itu maka aku minta agar mereka mengadakannya di rumah lain dan aku minta maaf lantaran ingin keluar negeri selama tiga bulan. Kemudian aku berpisah dengan keluarga dan kaum kerabatku menuju Tuhanku dengan penuh rasa tawakal kepadaNya tanpa mensyirikkanNya sekali-kali.

Tinggalkan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

Logo WordPress.com

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Gambar Twitter

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Foto Facebook

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Foto Google+

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s