Sahabat Dalam Pandangan Sunnah dan Syiah [15]

Oleh: Tijani

Di antara  masalah penting yang aku anggap sebagai asas pokok setiap permasalahan yang akan membawa pada suatu kebenaran adalah masalah kehidupan para sahabat, tingkahlaku mereka dan kepercayaan mereka. Mengingat mereka adalah tiang segala sesuatu. Dari mereka kita mengambil ajaran agama kita. Dan dengan mereka kita bersinar dari bawah kegelapan untuk mengetahui hukum-hukum Allah SWT. Dahulunya ulama Islam telah meneliti mereka dan mempelajari kehidupan para sahabat. Mereka telah menulis berbagai buku tentang ini, seperti Usud al-Ghabah Fi Tamyiz as-Sahabat, Kitabal-Isobah Fi Ma’rifat as-Sahabat, Kitab Mizan al-I’tidal dan lain-lain lagi yang berbicara tentang kehidupan para sahabat secara teliti dan kritikal. Kesemuanya ini adalah dari sudut pandangan Ahlul Sunnah Wal-Jamaah.

Ada beberapa keberatan timbul yang dapat kita ringkaskan sebagai berikut. Bahawa para ulama terdahulu kebanyakannya ketika menulis sejarah, akan mengikut rentak pendapat para penguasa, sama ada Bani Umaiyyah atau Bani Abbasiyyah. Sementara sikap permusuhan mereka terhadap Ahlul Bayt Nabi dan bahka terhadap orang-orang yang mengikuti mereka tidak dapat disembunyikan lagi. Itulah kenapa adalah tidak adil jika hanya berpegang kepada kata-kata mereka tanpa melihat pandangan ulama Muslimin yang lain yang ditekan, dihalau dan diburu oleh para penguasa itu. Dosanya hanya kerana mereka adalah pengikut setia Ahlul Bayt dan sumber setiap penentangan terhadap penguasa-penguasa yang zalim dan sesat.

Kemusykilan yang paling asas adalah masalah sahabat. Mereka telah berselisih ketika Rasul SAWA ingin menuliskan kepada mereka suatu wasiat yang akan menjamin mereka dari kesesatan sehingga akhir zaman. Perselisihan mereka ini telah mengakibatkan ummat Islam tidak mendapatkan kurnia ini dan menghantar mereka pada kesesatan sehingga mereka terpecah, berselisih dan hilang kekuatan.

Mereka juga telah berselisih di dalam masalah khilafah sehingga mereka terpecah kepada penyokong parti yang memerintah dan parti pembangkang. Akibatknya ummat Islam terkorban dan terbahagi kepada Syiahnya Ali dan Syiahnya Muawiyah.

Mereka juga berselisih di dalam menafsirkan Kitab Allah dan hadith-hadith Rasul SAWA. Akibatnya terciptalah berbagai madzhab, puak, kelompok, dan golongan. Dari sana tumbuh berbagai aliran Ilmu Kalam dan aliran-aliran pemikiran yang beragam. Juga muncul berbagai aliran falsafah yang bermotifkan kepentingan politik melulu serta berkaitan rapat dengan kekuasaan.

Kalaulah bukan kerana sahabat maka kaum Muslimin tidaklah terpecah dan berselisih. Setiap perselisihan yang berlaku pasti berakar umbi daripada perselisihan mereka tentang sahabat. Tuhan satu, al-Quran satu, Rasul satu dan kiblat satu. Semua kaum Muslimin sepakat dalam semua itu. Perselisihan bermula dan berlaku berkenaan dengan sahabat sejak dari hari pertama setelah wafatnya Rasul SAWA di Saqifah Bani Sai’dah sehingga hari ini dan akan terus berlanjutan sampai masa yang dikehendaki Allah.

Dari diskusiku dengan beberapa ulama Syiah, dalam pandangan mereka sahabat terbahagi kepada tiga golongan. Pertama, golongan sahabat yang baik yang telah mengenal Allah dan RasulNya dengan pengetahuan yang sempurna. Mereka telah membaiat Rasul dan bersedia berkorban, menemaninya dengan jujur di dalam ucapan, dan ikhlas di dalam tindakan, tidak berpaling setelah wafatnya bahkan tetap setia dengan janji-janjinya. Mereka ini telah dipuji oleh Allah di dalam KitabNya di berbagai ayat al-Qur’an. Rasul juga telah memujinya di dalam berbagai tempat. Orang-orang Syiah menyebut mereka dengan penuh hormat dan takzim. Mereka mengucapkan Radhiallah Anhum kepada mereka sebagaimana Ahli Sunnah juga.

Kedua, golongan sahabat yang memeluk Islam dan mengikut Rasul SAWA kerana suatu tujuan, sama ada inginkan sesuatu atau takutkan kepada sesuatu. Mereka meminta jaasa kepada Rasul atas keislaman mereka. Kadang-kadang mereka menganggunya dan tidak patuh pada perintah atau larangannya. Bahkan berpegang kepada pendapat sendiri di hadapan nas-nas yang jelas. Sehingga Allah turunkan ayat mencela mereka atau kadang-kadang mengancam mereka; dan Rasul juga telah memperingatkan mereka di dalam berbagai sabdanya.Orang-orang Syiah tidak menghormati perbuatan mereka apalagi mensucikan mereka.

Ketiga,  golongan munafiq yang menemani Rasul untuk memperdayakannya. Mereka menampakkan diri sebagai Muslim sementara hati mereka menyimpan kekufuran. Mereka mendekat kepada Islam agar dapat memperdayakan kaum Muslimin. Allah telah menurunkan kepada mereka suatu surah yang sempurna. Disebutkan mereka di dalam berbagai tempat dan diancamnya mereka dengan siksa api neraka yang paling dahsyat. Rasul juga telah menyebut mereka dan mengancam mereka. Sebahagian mereka telah diberitahu nama-nama mereka dan tanda-tandanya. Sunnah dan Syiah sepakat untuk melaknat dan menjauhkan diri dari mereka.

Tambahan lagi ada satu golongan sahabat yang khusus. Mereka lebih istimewa lantaran kekerabatan mereka dengan Nabi, ketinggian akhlak, dan kemurnian jiwa yang dimiliki dan kekuasaan yang telah dikurniakan Allah dan RasulNya kepada mereka sehinggalah tidak satu pun orang dapat menyainginya. Mereka adalah golongan Ahlul Bayt yang telah dibersihkan oleh Allah dari segala dosa dan dibersihkan sesuci-sucinya (S:33:33), diwajibkan bersalawat ke atas mereka sebagaimana yang diwajibkam kepada Rasul SAWA, disertakan mereka sebagai golongan yang wajib diberikan khumus (S:8:41), diwajibkan kepada orang-orang Islam untuk mencintai mereka sebagai imbalan bagi Risalah Muhammad SAWA (S:42:23), sebagai ulil amri yang wajib dipatuhi (S:4:59), sebagai orang-orang yang rusukh di dalam ilmu pengetahuan dan tahu memberikan takwilan kepada al-Qur’an dan membezakan antara yang mutasyabih dengan yang muhkam (S:3:7), sebagai Ahl Zikr yang dijadikan oleh Rasul sebagai pendambing al-Qur’an dan wajib berpegang teguh kepadanya seperti di dalam hadith as-Tsaqalain (Lihat Kanz Ummal, Jilid 1, hlm. 44; dan Musnad Ahmad, Jilid 5, hlm. 182), sebagai bahtera penyelamat Nabi Nuh sehingga siapa yang mengikutinya aka selamat dan yang tinggal akan tenggelam (Lihat Mustadrak al-Hakim, Jilid 3, hlm.151; dan Sawaiq al-Muhriqah oleh Ibnu Hajar, hlm. 184 dan 234).

Para sahabat mengetahui kedudukan Ahlul Bayt, menghormati bahkan metakzimkan mereka. Dan Syiah menuruti jejak mereka serta mendahulukan mereka di atas semua sahabat yang lain. Dalam hal ini mereka mempunyai dalil-dalil yang sangat bernas.

Sementara Ahlul Sunnah Wal Jamaah walaupun mereka menghormati, mengutamakan, dan mentakzimkan Ahlul Bayt, namun mereka tidak menerima adanya pembahagian sahabat seperti ini. Mereka tidak menganggap orang-orang munafik sebagai sebahagian dari sahabat. Bagi mereka sahabat adalah manusia yang paling baik selepas Rasul SAWA. Jika ada pembahagian, maka pembahagiannya di sisi lain, seperti golongan  orang-orang yang mula pertama masuk Islam, golongan sahabat yang menderita kerana agama Islam dan sebagainya. Empat Khulafa Rasyidin ditempatkan pada peringkat pertama, kemudian enam orang yang lain yang telah dijamin  masuk syurga seperti yang diriwayatkan. Itulah kenapa mereka bersalawat ke atas Nabi dan Ahlul Baytnya maka mereka akan sebut juga para sahabat secara keseluruhan (Wa Ala Alihi Wa Sahbihi Ajma’in).

Inilah yang aku tahu dari ulama-ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah dan begitulah juga yang aku dengar dari ulama-ulama Syiah tentang pembahagian sahabat. Dan ini mendorongku untuk membuat kajian secara mendalam tentang sahabat. Aku berjanji kepada Tuhanku – jika  Dia perkenankan – untu menghindarkanku dari segala jenis taksub dan emosional agar dapat berlaku objektif di dalam menilai pendapat kedua madzhab ini, lalu mengambil yang terbaik darinya.

Rujukanku di dalam hal ini:

1. Kaedah mantik yang benar. Iaitu  aku tidak akan berpegang kecuali apa yang disepakati oleh kedua golongan di dalam menafsirkan Kitab Allah dan Sunnah Nabi yang sahih.

2. Akal. Ia adalah nikmat Allah yang paling besar kepada manusia. Kerananya maka manusia dimuliakan dan diutamakan di atas segenap makhluk-makhluk yang lain. Bukankah Allah SWT ketika berhujah dengan hamba-hambaNya, menyeru mereka supaya berfikir. FirmanNya “Apakah kalian tidak berfikir”, “Apakah mereka tidak memahami”, “Apakah mereka tidak meneliti”, “Apakah mereka tidak melihat”, dan lain-lain lagi (Sila lihat contoh-contoh dalam al-Qur’an).

 Prinsip kajianku mestilah Islami; beriman kepada Allah, para malaikatNya, para RasulNya, kitab-kitabNya, dan bahawa Muhammad adalah hambaNya dan RasulNya dan hanya Islam sebagai Din yang ada di sisi Allah SWT. Aku tidak akan berpegang kepada mana-mana sahabat walaupun kekerabatannya yang dekat dengan Nabi atau kedudukannya yang tinggi. Aku bukanlah seorang dari golongan Bani Umaiyyah atau Bani Abbasiyyah atau Fatimiyyah atau Sunnah ataupun Syiah. Aku juga tidak mempunyai sebarang permusuhan dengan Abu Bakar, Umar, Uthman atau Ali bahkan Wahsyi pembunuh Sayyidina Hamzah sekalipun selama ini dia telah mengikuti agama Islam. Bukankah Islam mengampuni segala apa yang telah dilalui di alam kekufuran dan Rasul telah memaafkannya?

Kerana itu aku telah bertekad untuk mengkaji secara mendalam agar dapat sampai kepada suara kebenaran, dan kerana aku telah mengambil keputusan untuk membebaskan fikiranku dari segala ikatan maka aku memulakan penelitianku mengenai sahabat dengan penuh tawakal dan mengharapkan barakah dari sisi Allah SWT.

1. Perdamaian Hudaibiyyah Dan Sahabat

Ringkasan peristiwa adalah seperti berikut:

Pada tahun keenam Hijrah Rasulullah bersama seribu empat ratus sahabatnya keluar dari Madinah dengan tujuan umrah. Disuruhnya para sahabat menyarungkan pedangnya masing-masing. Mereka berihram di Zul Hulaifah dan membawa binatang korban agar orang-orang Quraisy tahu bahawa mereka datang untuk umrah bukan untuk berperang. Kerana sifat angkuhnya, orang-orang Quraisy tidak mahu kelak orang Arab mendengar bahawa Muhammad telah masuk ke Mekah dan memecahkan benteng mereka. Diutusnya serombongan delegasi yang diketuai oleh Suhail bin Amru bin Abdu Wud al-Amiri agar meminta Nabi kembali ke tempat asalnya. Tahun depan mereka akan dizinkan untuk selama tiga hari. Orang-orang Quraisy juga meletakkan syarat yang berat yang kemudiannya diterima oleh Rasul SAWA berdasarkan kemaslahatan yang dilihatnya dan wahyu Allah kepadanya.

Namun sebahagian sahabat tidak senang dengan sikap Nabi seperti ini. Mereka menentangnya dengan keras. Umar bin Khattab datang dan berkata:

“Apakah benar engkau adalah Nabi Allah yang sesungguhnya?”

“Ya”, jawab Nabi.

“Bukankah kita dalam hak dan musuh kita dalam kebatilan?”

“Ya”, sahut Nabi lagi.

“Lalu kenapa kita hinakan agama kita?”, desak Umar.

“Aku adalah Rasulullah. Aku tidak melanggar perintahNya dan Dialah Penolongku”, jawab Nabi.

“Bukankah engkau mengatakan kepada kami bahawa kita akan mendatangi Rumah Allah dan bertawaf di sana?”

“Ya, tetapi apakah aku mengatakan kepadamu pada tahun ini juga?”, tanya Nabi.

“Tidak,”jawab Umar.

“Engkau akan datang ke sana dan tawaf di sekitarnya”.

Kemudian Umar datang  kepada Abu Bakar dan bertanya:

“Hai Abu Bakar! Benarkah ini adalah Nabi Allah yang sesungguhnya?”

“Ya”, jawab Abu Bakar.

Kemudian Umar mengajukan pertanyaan yang serupa kepada Abu Bakar dan dijawabnya dengan jawapan yang serupa juga.

“Hai saudara!”, kata Abu Bakar. “Beliau adalah Rasulullah yang sesungguhnya. Beliau tidak melanggar perintahNya dan Dialah PenolongNya maka percayalah dengannya.”

Setelah Rasulullah selesai menulis piagam perdamaian, beliau berkata kepada sahabat-sahabatnya:” Pergilah kalian sembelih binatang-binatang korban itu dan cukurlah rambut!” Demi Allah tidak satu sahabatpun berdiri memenuhi perintah itu sehingga Nabi mengucapkannya sebanyak tiga kali. Ketika dilihatnya mereka tidak mematuhi perintahnya baginda masuk ke khemahnya dan keluar kembali tanpa bercakap dengan sesiapa pun. Beliau menyembelih binatang korbannya dengan tangannya sendiri lalu memanggil tukang cukurnya dan beliau mencukur rambutnya. Ketika para sahabat melihat ini mereka berdiri dan menyembelih korban mereka lalu saling mencukur sehingga hampir-hampir mereka saling berbunuh-bunuhan…. (Lihat buku-buku sejarah dan sirah. Juga lihat Sahih Bukhari di dalam Bab as-Syurut fil Jihad, Jilid 2, hlm. 122; juga Sahih Muslim Bab Sulhul Hudaibiyyah Jilid 2).

Demikianlah ringkasan kisah Perdamaian Hudaibiyyah yang disepakati oleh Sunnah dan Syiah. Para ahli sejarah dan sirah seperti Tabari, Ibnul Athir, dan Ibnu Saad menuliskan cerita ini di buku mereka masing-masing. Begitu juga Bukhari dan Muslim.

Di sini aku terdiam dan terhenti. Tidak mungkin aku baca cerita seumpama ini tanpa menimbulkan apa-apa kesan dan hairan atas sikap para sahabat terhadap Nabi mereka. Apakah seorang yang rasional akan dapat menerima ucapan orang mengatakan bahawa semua sahabat Nabi telah mematuhi seluruh perintah Nabi dan melaksanakannya. Bukti sejarah ini menafikan kebenaran ucapan seperti itu. Dapatkah seorang yang rasional menilai bahawa sikap seperti ini terhadap Nabi adalah perkara yang kecil, atau dapat diterima atau dimaafkan? Allah berfirman:”Maka demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman sehingga mereka menjadikan kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan dan mereka menerima dengan  sepenuhnya (Surah 4: 65).

Apakah di sini Umar tidak berat menerima keputusan Nabi SAWA ataukah dia bersikap ragu-ragu terhadap perintah Nabi khususnya ketika dia berkata: apakah engkau benar-benar Nabi Allah yang sesungguhnya? Bukankah engkau berkata kepada kami…..dan seterusnya. Apakah Umar juga menerima jawapan Nabi yang memuaskan itu? Tidak. Dia tidak puas hati dengan jawapan Nabi lalu pergi kepada Abu Bakar dan mengajukan pertanyaan yang serupa. Apakah dia menerima jawapan Abu Bakar dan nasihatnya agar mematuhi perintah Nabi? Tidak tahu aku apakah dia menerimanya lantaran jawapan Abu Bakar atau jawapan Nabi! Kalau tidak kenapa dia berkata terhadap dirinya,” Lalu aku telah lakukan beberapa perkara yang ….”Hanya Allah dan RasulNya sahaja yang tahu apa yang dilakukan oleh Umar. Dan aku juga tidak tahu sebab keengganan sahabat-sahabat lain atas perintah Nabi setelah itu ketika baginda berkata:”Pergilah sembelih binatang korban dan cukurlah rambut kalian!” Tidak satupun dari mereka mendengar perintah Nabi ini sehingga beliau terpaksa mengulangi tiga kali tanpa apa-apa kesan.

Subhanallah! Aku hampir-hampir tidak percaya apa yang aku baca ini. Apakah sampai tahap ini para sahabat bersikap terhadap perintah Nabi? Jika cerita ini diriwayatkan hanya oleh golongan Syiah sahaja, maka aku akan katakan bahawa ini adalah tuduhan Syiah kepada para sahabat yang mulia. Masalahnya begitu terkenal dan benarnya cerita ini sehingga semua ahli hadith Ahlul Sunnah Wal Jamaah meriwayatkannya di buku mereka masing-masing. Dan kerana aku telah berjanji untuk menerima apa yang telah aku disepakati, maka aku tidak ada pilihan kecuali menerima dan bingung. Apa yang harus aku katakan? Dengan apa aku harus memaafkan terhadap sahabat-sahabat yang telah hidup bersama Nabi selama hampir dua puluh tahun, dari awal masa kebangkitan sehinggalah Perdamaian Hudaibiyyah di mana mereka saksikan berbagai mukjizat dan cahaya kenabian. Al-Qur’an juga mengajarkan kepada mereka, siang dan malam bagaimana semestinya bersikap dan beradab di hadapan baginda Nabi dan bagaimana cara bercakap dengannya, sehingga Allah pernah mengancam untuk menggugurkan amal-amal baik mereka jika suara mereka diangkat lebih keras dari suara Nabi.

Aku memungkinkan bahawa Umar bin Khatablah yang mempengaruhi sahabat-sahabat lain untuk mengabaikan perintah Nabi. Ini dapat aku lihat melalui pengakuannya bahawa dia telah melakukan beberapa perkara yang tidak mahu disebutkannya atau sebahagian  ucapannya yang berkata:”Aku terus berpuasa, bersedekah, solat, dan membebaskan hamba kerana takutkan kata-kataku yang aku ucapkan ini…..” dan seterusnya seperti yang tercatat di dalam berbagai buku (Lihat as-Sirah Halabiyyah Bab Sulhul Hudaibiyyah, Jilid 1, hlm. 706).

 Ini menunjukkan bahawa Umar sendiri sebenarnya mengetahui implikasi dari sikapnya seperti ini.Suatu cerita yang aneh, dan ajaib, tetapi benar dan nyata.

2. Tragedi Hari Khamis Dan Sahabat

Ringkasan cerita adalah seperti berikut:

Para sahabat sedang berhimpun di rumah Rasul SAWA tiga hari sebelum hari wafatnya. Rasul memerintahkan mereka untuk mengambil kertas dan dakwat agar dituliskan kepada mereka suatu wasiat yang akan memelihara mereka dari kesesatan. Namun para sahabat berselisih. Sebahagian mereka enggan mematuhinya dan menuduhnya telah meracau sehingga baginda marah dan mengusir mereka dari rumahnya tanpa menuliskan apa-apa. Perinciannya sebagai berikut:

Ibnu Abbas berkata:”Hari Khamis, oh Hari Khamis. Waktu Rasul merintih kesakitan, beliau berkata,’mari aku tuliskan untuk kalian suatu pesanan agar kalian kelak tidak akan tersesat.’ Umar berkata bahawa Nabi sudah terlalu sakit sementara al-Qur’an ada di sisi kalian. Cukuplah bagi kita Kitab Allah. Orang yang berada di rumah berselisih dan bertengkar. Ada yang mengatakan berikan kepada Nabi kertas agar dituliskannya suatu pesanan di mana kalian tidak akan tersesat setelahnya. Ada sebahagian lain berpendapat seperti pendapat Umar. Ketika pertengkaran di sisi Nabi semakin hangat dan riuh Nabi pun lalu berkata,”Pergilah kalian dari sisiku”. Ibnu Abbas berkata:”Tragedi yang paling menyayat hati Rasullullah SAWA adalah larangan serta pertengkaran mereka di hadapan Rasul yang ingin menuliskan suatu pesanan untuk mereka.” [1]

Kes ini benar-benar berlaku. Para ulama, ahli hadith dan ahli sejarah Syiah dan Sunnah menuliskan riwayat ini di dalam buku-buku mereka. Dan ini harus aku terima lantaran ikrarku dan janji yang telah aku buat. Di sini juga aku berasa hairan di atas sikap yang dilakukan oleh Umar terhadap perintah Nabi SAWA. Perintah apa itu? Perintah yang akan menyelamatkan ummat ini dari kesesatan. Tidak syak lagi bahawa wasiat ini menyirat sesuatu yang baru bagi kalangan kaum Muslimin dan akan menghapuskan segala keraguan-keraguan yang ada dalam diri mereka.

Kita tinggalkan pendapat Syiah yang berkata bahawa Nabi sebenarnya ingin menuliskan nama Ali sebagai khalifahnya lalu Umar lebih cerdik dan segera melarangnya. Ini kerana tafsiran mereka tidak dapat kita terima secara prinsip Tetapi apakah kita mempunyai kita mempunyai tafsiran lain yang logik dari peristiwa yang menyakitkan hati ini, sehingga baginda marah dan mengusir mereka dari kamarnya. Bahkan menyebabkan Ibnu Abbas menangis sehingga membasahi tanah, dan dikatakannya sebagai tragedi yang paling besar.

Ahlul Sunnah berkata bahawa Umar merasakan penderitaan Nabi, lalu kasihan dan semata-mata tidak ingin membebankannya. Namun tafsiran serupa ini tidak dapat diterima oleh orang-orang awam, apa lagi orang-orang yang alim. Aku berkali-kali berusaha mencari alasan untuk memaafkan Umar tetapi realiti kejadian enggan menerimanya. Bahkan hatta kalimat “yahjur” (meracau) telah diganti (semoga Allah melindungi kita) dengan kalimat “ghalabahul waja” (kerana terlalu sakit).Kita juga masih tidak akan dapat menemukan alasan apologetik lain atas kata-kata Umar, “Indakum Al-Quran” (di sisi kalian al-Quran) dan “Hasbuna Kitabullah” (cukup bagi kami Kitabullah). Apakah beliau lebih arif tentang al-Quran daripada Nabi yang telah menerimanya, ataukah baginda tidak sedar apa yang diucapkannya? (semoga Allah melindungi kita). Ataukah baginda ingin meniupkan api perpecahan dan pertengkaran dengan perintahnya ini? (Astagfirullah).

Kalau memang tafsiran Ahlul Sunnah ini benar, maka Rasulullah akan tahu niat baik Umar ini dan berterima kasih kepadanya. Bahkan baginda akan lebih mendekatkannya daripada harus marah dan berkata,”Keluar kalian daripadaku”.

Aku juga ingin bertanya kenapa mereka ikut perintah Nabi ketika diusirnya keluar dari kamarnya dan tidak berkata bahawa baginda sedang meracau. Sungguh mereka telah berhasil dalam perencanaan mereka untuk menyekat Nabi dari menuliskan suatu wasiat. Itulah kenapa tiada sebab mereka harus terus berada di sana. Bukti bahawa mereka bertengkar di hadapan baginda dan terbahagi kepada dua golongan adalah isi riwayat berkenaan,”Ada yang berkata dekatkan kepada Rasulullah apa yang dimintanya agar dituliskannya untuk kalian pesanan itu, dan ada sebahagian lagi berkata seperti kata-kata Umar, yakni Nabi sedang meracau.”

Perkara ini tidak sesederhana seperti yang dibayangkan lantaran ianya berkaitan dengan diri Umar seorang. Kalau memang demikian maka Nabi akan memarahinya dam berdalih bahawa beliau tidak berkata apa-apa mengikut hawa nafsunya, dan beliau tidak meracau di dalam membimbing umat ini. Namun masalahnya lebih serius dari itu dan dilihatnya bahawa Umar bersama sahabat-sahabatnya telah bersepakat sebelum kejadian itu. Kerana itu mereka bertengkar dan berselisih di hadapan baginda sehingga mereka lupa atau pura-pura lupa dengan firman Allah SWT,”Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu meninggikan suaramu lebih dari suara Nabi. Dan janganlah kamu berkata kepadanya dengan suara yang keras sebagaimana kerasnya (suara) sebahagian kamu terhadap sebahagian yang lain supaya tidak gugur (pahala) amalanmu sedangkan kamu tidak menyedari” (Al-Quran: 49: 2).

Di dalam kes ini mereka telah melampaui dari batasan “meninggikan suara” dan “berkata keras”. Mereka telah mengatakan bahawa Nabi telah meracau. (Semoga Allah melindungi kita). Lalu bertengkar ramai dan hiruk-pikuk di hadapannya.

Aku hampir memastikan bahawa kebanyakan yang hadir berpihak pada Umar. Kerana itu maka Rasulullah melihat adalah tidak berguna lagi menuliskan pesanan itu. Baginda juga tahu bahawa mereka sudah tidak menghormatinya dan tidak patuh pada perintah Allah atas haknya sebagai Nabi di mana kaum Muslimin dilarang berkata kasar dan keras di hadapannya. Nah, jika mereka enggan patuh pada perintah Allah, maka apa lagi pada perintah RasulNya SAWA.

Kebijaksanaan Rasul memutuskan untuk tidak menuliskan wasiat itu kerana ia merupakan celaan pada masa hidupnya, maka bagaimana pula nanti selepas wafatnya. Kelak orang-orang yang mencelanya akan berkata bahawa Nabi waktu itu sedang meracau, dan mungkin juga mereka akan meragukan sebahagian hukum yang disyariatkan Nabi pada masa sakitnya itu juga kerana keyakinan mereka akan meracaunya baginda.

Aku memohon ampunan dari Allah dan ucapan seperti itu terhadap Nabi Rasul Allah. Bagaimana aku dapat menyakinkan diriku bahawa Umar bin Khatab tidak bermaksud sungguh-sungguh ketika mengucapkan itu. Padahal sebahagian sahabat yang hadir menangis dalam kejadian ini sehingga air matanya membasahi tanah dan dikatakan sebagai tragedi Hari Khamis.

Aku berkesimpulan untuk menolak setiap alasan yang diajukan untuk menjustifikasikan kejadian itu, dan berusaha juga untuk mengingkarinya secara total agar hati ini dapat tenteram. Tetapi sayangnya semua buku-buku sahih telah meriwayatkannya dan membuktikan kebenarannya.

Aku lebih condong kepada pendapat Syiah di dalam menafsirkan kejadian ini, kerana tafsirannya rasional dan mempunyai bukti yang kuat. Aku masih teringat jawapan Sayyid Muhammad Baqir Sadr ketika aku tanya bagaimana Sayyidina Umar dari segenap sahabat dapat mengerti maksud Nabi yang ingin menjadikan Ali sebagai khalifahnya seperti kalian duga. Bukankah ini adalah bukti kepandaiannya?

Sayyid Sadr menjawab:”Bukan Umar sendiri yang tahu maksud Rasul. Semua yang hadir juga tahu kerana sebelum itu pun Rasul juga pernah berkata kepada mereka,”Aku tinggalkan kepada kalian dua pusaka berat (thaqalain): Kitab Allah dan Itrahku Ahlul Baytku. Jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka kalian tidak akan tersesat selama-lamanya”. Di waktu sakitnya baginda berkata kepada mereka,”Biar aku tuliskan kepada kalian suatu pesanan di mana kalian tidak akan tersesat selama-lamanya”. Semua yang hadir termasuk Umar tahu maksud Nabi yang ingin menegaskan secara tertulis apa yang diucapkannya di Ghadir Khum sebelum itu. Yakni  berpegang teguh pada Kitab Allah dan Itrah Ahlul Baytnya. Dan penghulu Itrah adalah Ali. Jadi seakan-akan Nabi ingin berkata,”Berpeganglah kalian kepada Al-Qur’an dan Ali. Ucapan-ucapan seperti ini pernah dikatakanya juga di berbagai tempat yang lain  seperti yang diungkapkan  oleh berbagai ahli hadith.

 Majoriti Quraisy tidak sukan dengan Ali kerana beliau adalah yang paling muda, yang pernah menghancurkan pembesar-pembesar mereka dan membunuh pahlawan-pahlawan mereka. Tetapi mereka tidak berani menentang Nabi ke tahap yang pernah berlaku di Perdamaian Hudaibiyyah, atau penentangan keras mereka terhadap Nabi ketika baginda menyembahyangkan jenazah Abdullah bin Ubai, seorang munafik, dan di dalam berbagai kejadian yang telah dicatatkan oleh sejarah. Sikap seperti ini, seperti yang anda lihat penentangan mereka atas penulisan wasiat di saat-saat akhir hayatnya, menimbulkan keberanian kepada yang lain untuk menentang dan bertengkar di hadapan baginda.

Ucapan “al-Qur’an sudah ada di sisi kalian; cukuplah bagi kita Kitab Allah”, adalah bantahan yang nyata kepada maksud hadith yang menyuruh mereka berpegang kepada Kitab Allah dan Itrah Ahlul Bayt Nabi. Seakan maksud bantahan itu begini:”Cukup bagi kami Kitab Allah dan tidak perlu kepada Itrah”. Selain itu tidak ada penafsiran lain yang dapat diterima, melainkan kalau kita katakan bahawa maksudnya adalah taat pada Allah tanpa perlu taat kepada Rasul. Hal demikian sudah pasti tidak benar dan tidak dapat diterima.

Jika aku buang jauh-jauh rasa taksub buta dan emosi serta berfikir secara rasional dan objektif aku mesti menerima tafsiran seperti ini; adalah lebih mudah untuk menuduh Umar sebagai orang pertama yang menolak Sunnah dengan kata-katanya,”Cukuplah bagi kita Kitab Allah”.

Jika sebahagian penguasa menolak Sunnah Nabi kerana alasan ianya kontradiktif, sebenarnya ia hanya mengikut pengalaman sejarah kehidupan kaum Muslimin sebelumnya. Aku juga tidak mengatakan bahawa Umar adalah satu-satunya orang yang bertanggungjawab atas tragedi ini sehingga umat kehilangan bimbingan yang sepatutnya diterimanya. Agar lebih adil harus aku katakan bahawa ada sahabat lain yang bersamanya dan mempunyai pendapat seperti pendapatnya Umar. Mereka menyebelahi Umar di dalam sikapnya yang menentang perintah Nabi SAWA.

Aku hairan kepada mereka yang membaca peristiwa ini lalu menganggapnya ringan yang seakan tidak ada apa-apa makna. Padahal ia adalah tragedi yang paling besar seperti yang diungkapkan oleh Ibnu Abbas. Lebih hairan lagi adalah usaha mereka yang cub menjaga kemuliaan seorang sahabat dan membenarkan perbuatan salahnya dengan mengorbankan kemuliaan Rasulullah dan prinsip-prinsip Islam.

Kenapa kita harus lari dari suatu fakta dan berusaha menguburkannya ketika ianya tidak sejalan dengan kehendak kita? Kenapa kita tidak menerima dan mengakui bahawa sahabat sebenarnya manusia seperti kita juga. Mereka juga mempunyai hawa nafsu, kehendak, dan keinginan serta berlaku benar dan salah. Bagaimanapun rasa hairan ini akhirnya juga hilang ketika aku baca Kitab Allah yang mengisahkan kepada kita kisah-kisah para Nabi AS dan penderitaan yang mereka alami kerana sikap ummatnya yang menentang mereka walaupun setelah mereka saksikan  berbagai mukjizat. Ya Allah, janganlah Engkau palingkan hati kami setelah Engkau berikan Hidayah kepada kami. Kurniakanlah kepada kami dari sisiMu rahmatMu. Sesungguhnya Engkau Maha Pemberi.

Aku mulai mengerti latar belakang sikap Syiah terhadap Khalifah Kedua yang dikatakan sebagai orang yang paling bertanggungjawab di atas segala tragedi yang berlaku di dalam kehidupan kaum Muslimin sejak Tragedi Hari Khamis yang telah menyekat penulisan wasiat yang kelak akan menyelamatkan manusia dari kesesatan itu. Hendaklah kita akui bahawa orang yang rasional yang mengetahui kebenaran adalah bukan lantaran seorang tokoh yang memahami sikap Syiah seperti ini. Namun bagi mereka yang tidak tahu kebenaran melainkan kerana tokoh tertentu, maka perbicaraan ini tidak akan bermanfaat bagi mereka.

3. Sariyah (Ekspedisi) Usamah Dan Sahabat

Ringkasan peristiwa adalah seperti berikut:

Rasulullah dua hari sebelum wafatnya telah menyiapkan satu pasukan untuk memerangi tentera Rom. Usamah bin Zaid yang berusia lapan belas tahun dijadikan sebagai komandan pasukan tentera perang. Tokoh-tokoh Muhajirin dan Ansar seperti Abu Bakar, Umar, Abu Ubaidah, dan sahabat-sahabat besar lainnya diperintahkan untuk berada di bawah pasukan Usamah ini. Sebahagian mereka mencela pengangkatan Usamah (sebagai komandan tentera). Mereka berkata: bagaimana Nabi menunjukkan seorang muda yang belum berjanggut sebagai komandan pasukan kami. Sebelum itu mereka juga telah mencela pengangkatan ayahnya oleh Nabi. Mereka banyak memprotes sehingga Nabi sangat marah mendengar celaan dan sikap mereka ini. Sambil kepalanya diikat kerana demam panas baginda keluar dipapah oleh dua orang dalam keadaan dua kakinya diheret menyentuh bumi (semoga ayah dan ibuku terselamat lantaran derita yang dialaminya). Baginda naik ke atas mimbar, memuji Allah dan bertahmid kepadaNya. Sabdanya,”Wahai Muslimin apa gerangan ucapan-ucapan sebahagian di antara kamu yang telah sampai ke telingaku berkenaan dengan pengangkatanku terhadap Usamah sebagai pemimpin. Demi Allah, jika kamu kini mengecam pengangkatannya; sungguh hal itu sama seperti dahulu kamu telah mengecam pengangkatanku terhadap ayahnya sebagai pemimpin. Demi Allah, sesungguhnya ia amat layak memegang jawatan kepimpinan itu. Begitu juga puteranya – setelah ia – sungguh amat layak untuk itu”.[2]

Kemudian baginda mendesak mereka untuk segera berangkat. Baginda berkata,”Siapkan pasukan Usamah. Lepaskan pasukan Usamah. Berangkatkah Sariyyah Usamah”. Baginda mengulang-ulang ucapannya sedangkan mereka tetap merasa segan dan bermalas-malasan di Jurf.

Sikap seperti ini mendorongku untuk bertanya, alangkah beraninya mereka terhadap Allah dan RasulNya? Kenapa harus derhaka terhadap Nabi SAWA yang begitu kasih dan sayang kepada kaum Muslimin? Aku tidak dapat membayangkannya, begitu juga orang lain, tafsiran apa yang boleh membenarkan pelanggaran dan pengabaian seperti ini?

Seperti biasa ketika membaca peristiwa-peristiwa yang menyentuh tentang kemuliaan para sahabat, maka aku berusaha untuk tidak mempercayai kebenarannya. Namun bagaimana mungkin aku dapat bersikap demikian sementara para ahli sejarah dan ahli hadith Sunnah dan Syiah bersepakat dalam meriwayatkannya.]

Aku telah berjanji kepada Tuhanku untuk berlaku adil dan jujur. Aku tidak boleh bersikap taksub dengan madzhabku, dan menjadikan kebenarannya semata-mata sebagai ukuran. Dan memang kebenaran adalah pahit seperti yang dikatakan. Nabi bersabda,”Katakanlah kebenaran itu walau untuk diriku sekalipun; katakanlah kebenaran itu walau pahit sekalipun”. Kebenaran dalam hal ini adalah para sahabat yang telah mengecam Nabi dalam pengangkatan Usamah sebagai pemimpin mereka, sebenarnya mereka telah tidak patuh pada perintah Tuhan mereka. Mereka telah mengabaikan nas-nas yang sangat jelas yang tidak dapat diragukan lagi atau ditakwilkan. Mereka tidak mempunyai alasan dalam hal ini. Usaha sebahagian orang untuk menjaga kemuliaan sahabat atau salaf as-soleh dengan mengajukan berbagai alasan yang apologetik sangatlah rapuh. Seorang yang rasional tidak dapat menerimanya, melainkan mereka yang tidak berfikir, atau mereka yang taksub buta yang tidak dapat membezakan antara yang wajib dipatuhi dengan yang wajib dihindari.

Aku juga sering merenungkan kalau-kalau aku boleh dapatkan suatu jawapan yang memuaskan tetapi sayang semua itu gagal untuk menyakinkanku. Aku baca alasan-alasan Ahlul Sunnah yang mengatakan bahawa mereka sebenarnya adalah tokoh-tokoh dan pemuka-pemuka Quraisy. Mereka adalah orang yang pertama memeluk Islam sementara Usamah masih baru dan tidak pernah ikut serta di dalam berbagai peperangan yang menentukan seperti Perang Badar, Perang Hunain, dan Perang Uhud. Usamah juga waktu itu masih terlalu muda. Dan kebiasaannya jiwa orang-orang tua tidak akan rela berada di bawah perintah anak muda. Itulah kenapa mereka mengecam Nabi dalam pengangkatannya ini dengan maksud agar menggantikannya dengan salah seorang tokoh sahabat lain.

Alasan seumpama ini sama sekali tidak bersandarkan pada hujah akal atau naql (nas syariat). Seorang Muslim yang membaca al-Qur’an dan mengetahui hukum-hukumnya akan menolak hujah ini kerana Allah berfirman:”Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah dia. Dan apa yang dilarangnya bagimu maka tinggalkanlah” (Al-Quran: 59:7). Juga firmanNya:”Dan tidaklah patut bagi lelaki Mukmin dan tidak (pula) bagi perempuan yang mukminah, apabila Alllah dan RasulNya telah menetapkan suatu ketetapan, akan ada bagi mereka pilihan (yang lain) tentang urusan mereka. Dan barang siapa yang menderhakai Allah dan RasulNya maka sesungguhnya dia telah sesat dengan kesesatan yang nyata” (Al-Qur’an: 33: 36)

Setelah adanya nas-nas yang jelas ini alasan apa kiranya dapat diterima oleh orang-orang yang berakal. Apa yang harus dikatakan kepada kaum yang telah menyebabkan Allah akan marah kerana kemarahan RasulNya. Mereka telah menuduhnya “meracau” dan bertengkar di hadapanya, padahal – demi ayah dan ibuku – baginda sedang sakit sehingga mereka dihalau dari kamarnya. Tidak sampai di situ. Yang sepatutnya mereka kembali ke jalan yang benar dan memohon ampun kepada Allah atas apa juga yang telah mereka lakukan, dan memohon kepada Rasul agar memintakan ampunan bagi mereka seperti yang diajarkan oleh al-Qur’an, tetapi mereka terus melakukan protes terhadapnya tanpa mempedulikan kasih sayang yang diberikannya kepada mereka. Mereka tidak memberikan penghormatan yang sewajarnya kepada baginda. Dua hari setelah tuduhan yang mereka lontarkan kepadanya, mereka pula mengecam pengangkatan Usamah sebagai pemimpin pasukannya sehingga baginda terpaksa mendesak mereka keluar dengan keadaan yang menyedihkan seperti yang dikatakan oleh para  ahli sejarah. Lantaran terlalu sakit, baginda tidak dapat berjalan dan terpaksa diapit oleh dua orang. Kemudian baginda bersumpah kepada Allah bahawa Usamah sebenarnya sangat layak dalam memimpin. Rasul juga mengatakan bahawa sebelum ini mereka juga telah mengecamnya kerana mengangkat Zaid bin Harithah sebagai pemimpin pasukan agar kita tahu betapa sikap seperti ini telah mereka lakukan jauh sebelum hari itu. Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa mereka sebenarnya bukan di antara orang-orang yang mudah menerima ketentuan baginda dan berserah sepenuhnya kepadanya. Tetapi mereka tergolong di antara orang-orang yang rela memprotes dan mengkritik walaupun ianya bertentangan dengan hukum-hukum Allah dan RasulNya.

Bukti yang menunjukkan kita atas sikap protes mereka ini adalah tindakan mereka yang enggan pergi walaupun Nabi sendiri memberikan bendera kepemimpinan  kepada Usamah dan dengan marah-marah menyuruh mereka segera pergi berangkat. Demi ayah dan ibuku, mereka tidak juga pergi sehinggalah beliau SAWA wafat dengan hati yang kesal atas sikap umatnya yang dikhuatirkan kelak akan berbalik ke belakang dan terjerumus ke neraka; tiada yang selamat melainkan sedikit sekali bagaikan segelintir binatang ternak seperti yang diumpamakan Nabi SAWA.

Jika kita ingin jujur di dalam melihat peristiwa ini maka kita akan dapati bahawa Khalifah Kedua adalah tokoh yang paling berperanan di sini. Kerana beliaulah yang datang menghadap Khalifah Abu Bakar setelah wafatnya Rasulullah dan memintanya menyingkirkan Usamah serta menggantikannya dengan orang lain. Abu Bakar menjawab:”Wahai Ibnu Khatab, apakah kau suruh aku menyingkirkannya sementara Rasulullah telah mengangkatnya?”

Di mana Umar dibandingkan dengan Abu Bakar yang mengetahui kebenaran ini? Ataukah di sana ada rahsia tersendiri yang tidak diketahui oleh ahli-ahli sejarah. Atau mungkin juga mereka yang menyembunyikannya lantaran ingin menjaga “kemuliaan” sahabat, seperti yang mereka lakukan di dalam menggantikan kalimat “yahjur” dengan kalimat “ghalabahu al-waja”.

Aku sangat hairan dengan sikap para sahabat yang membangkitkan amarah Nabi pada hari Khamis itu dan menuduhnya telah meracau serta berkata,”cukup bagi kami Kitab Allah”. Sementara Kitab Allah sendiri menyatakan:”Katakanlah jika kalian mencintai Allah maka ikutilah aku (Muhammad) kelak Allah akan mencintai kalian” (Ali Imran: 31). Seakan-akan mereka lebih tahu akan Kitab Allah daripada orang yang menerimanya sendiri. Kitab Allah daripada orang yang menerimanya sendiri. Lihatlah hanya setelah dua hari tragedi yang menyayat hati itu dan dua hari sebelum hari pertemuannya dengan Allah SWT mereka telah membangkitkan amarahnya lebih banyak dengan mengecam pengangkatan Usamah dan tidak mematuhi perintahnya. Jika dalam tragedi pertama baginda terbaring sakit di atas tilamnya, tetapi di kali kedua ini baginda terpaksa keluar dengan kepala yang berikat dan badan yang berbalut selimut sambil berjalan bertatih-tatih diapit oleh dua orang. Baginda naik ke atas mimbar dan berkhutbah lengkap. Mula-mula memuji Allah dan mengucapkan Tauhid atasNya agar menunjukkan kepada mereka bahawa dirinya tidaklah meracau.Kemudian diberitahunya bahawa beliau sedar akan protes dan kecaman mereka. Diingatkannya mereka dengan suatu peristiwa di mana mereka telah memprotesnya juga empat tahun yang lalu. Apakah setelah itu mereka masih menganggap bahawa baginda meracau dan tidak sedar apa yang diucapkannya?

Mah Suci Engkau Ya Allah dan segala puji bagiMu. Bagaimana mereka begitu berani terhadap RasulMu, tidak setuju dan menentang keras dengan perjanjian damai yang dilakukannya sehingga beliau sebanyak tiga kali menyuruh mereka berkorban dan mencukur rambut masing-masing tetapi tiada siapa pun yang mematuhinya. Di waktu lain mereka menarik bajunya dan melarangnya menyembahyangkan jenazah Abdullah bin Ubai. Mereka berkata kepada beliau:”Sesungguhnya Allah telah melarangmu menyembahyangkan jenazah orang-orang munafik.” Seakan-akan mereka mengajarkan apa yang diturunkan Allah kepadanya. Padahal Allah berfirman di dalam kitabNya:”Dan Kami turunkan kepadamu (Muhammad) al-Qur’an agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka” (Al-Qur;an: 16:44). Dan firmanNya:”Sesungguhnya Kami telah menurunkan Kitab kepadamu (Muhammad) dengan membawa kebenaran supaya kamu mengadili antara manusia dengan apa yang telah Allah wahyukan kepadamu” (Al-Qur;an: 4: 105). Dan firmanNya:”Sebagaimana (Kami telah menyempurnaka nikmat Kami kepadamu) Kami telah mengutus kepadamu Rasul di antara kamu yang membacakan ayat-ayat Kami kepada kamu dan mensucikan kamu dan mengajarkan kepadamu al-Kitab dan hikmah serta mengajarkan kepada kamu apa yang belum kamu ketahui” (Al-Qur’an: 2: 151)

Hairan sungguh terhadap mereka yang meletakkan diri mereka lebih tinggi dari diri Rasulullah SAWA. Kadang-kadang mereka tidak patuh pada perintahnya, atau menuduhnya telah meracau, atau bertengkar di hadapannya tanpa beradab, dan pada tempat yang lain mengecam pemilihan Usamah sebagai pemimpin pasukan mereka sebagaimana yang mereka lakukan terhadap ayahnya Zaid bin Harithah sebelum ini. Apa yang harus diragukan lagi bagi orang yang meneliti bahawa Syiah sebenarnya mempunyai alasan yang sangat kuat ketika menyoal sikap sebahagian sabahat seperti itu. Mereka memang lebih menghormati dan mencintai Nabi SAWA dan kerabat keluarganya.

Empat atau lima contoh yang aku sebutkan di atas hanyalah sebagai contoh yang sedikit sahaja. Ulama Syiah telah memperincikannya hingga ratusan di mana para sahabat telah mengabaikan nas-nas yang nyata dan jelas. Mereka tidak berhujah melainkan dengan riwayat ulama Ahlul Sunnah sendiri di dalam berbagai kitab sahih yang muktabar.

Ketika aku ketahui sikap sebahagian sahabat terhadap Rasullullah SAWA adalah demikian, maka aku merasa bingung dan hairan. Sebagaimana aku juga hairan melihat sikap ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang menggambarkan kepada kita bahawa para sahabat sentiasa dalam keadaan benar dan tidak boleh dikritik. Ini bermakna mereka tidak mengizinkan seorang peneliti untuk sampai kepada suatu kebenaran, dan membiarkan mereka terus tenggelam dalam suasana pemikiran yang kontradiktif. Aku ingin membawa beberapa contoh sebagai tambahan sahaja, yang kiranya akan dapat memberikan gambaran yang sebenar tentang sahabat. Dan dari sini kita akan memahami sikap Syiah terhadap mereka.

Bukhari telah meriwayatkannya di dalam kitabnya Jilid 4 halamn 47, di dalam Bab as-Sabru ‘ala adza (Sabar dari Gangguan); dan firman Allah yang bermaksud,”Sesungguhnya orang-orang yang sabar akan diberikan ganjaran” di dalam Bab Adab. Katanya,”al-A’masy meriwayatkan kepada kami bahawa beliau pernah mendengar Syaqiq bercerita tentang Abdullah yang berkata:”Suatu hari Nabi membahagikan sesuatu kepada sahabat-sahabatnya sebagaimana yang biasa beliau buat. Seorang dari Ansar memprotes dan berkata: pembahagian ini bukan kerana Allah SWT. Aku katakan kepadanya bahawa aku akan bilang kepada Nabi yang ketika itu berada di antara para sahabatnya. Aku ceritakan kepadanya apa yang berlaku. Tiba-tiba mukanya berubah dan sangat marah sekali sehingga aku menyesal memberitahunya hal tersebut:” Baginda Nabi kemudian berkata:”Nabi Musa AS telah diganggu lebih dari itu, tetapi beliau bersabar.”

 Bukhari juga meriwayatkan dari bab yang sama di dalam fasal Bab at-Tabassum wa ad-Dhank (Bab Tersenyum dan Tertawa). Katanya Anas bin Malik meriwayatkan:” Suatu hari aku berjalan bersama Rasulullah yang pada ketika itu memakai syal Najrani yang bertepi tebal. Datang seorang Badwi yang tibaa-tiba sahaja menarik dengan kuat syalnya baginda. Anas berkata, aku lihat kulit leher Nabi lebam akibat tarikan keras yang dilakukan oleh si Badwi ini. Kemudian dia berkata:”Hai Muhammad. berikan kepadaku sebahagian dari harta Allah yang ada padamu”. Lalu Nabi melihatnya sambil tertawa dan menyuruh sahabatnya untuk memberikannya.

Di dalam bab yang sama, fasal Man Lam Yuwajih an-Nas Bil Atab, Bukhari meriwayatkan bahawa Aisyah pernah berkata bahawa pernah melakukan sesuatu dan mengizinkan para sahabatnya untuk melakukan yang serupa. Tiba-tiba sebahagian sahabatnya menolak melakukan yang sama. Berita ini sampai ke telinga Nabi lalu baginda berkhutbah dan memuji-muji Allah. Kemudian baginda berkata:” Kenapa orang-orang ini menghindarkan dari sesuatu yang aku lakukan. Demi Allah aku lebih tahu dari mereka tentang Allah dan lebih takut kepadaNya dibandingkan dengan mereka”.

Siapa yang merenungkan contoh riwayat serupa ini dia akan merasakan bahawa para sahabat telah meletakkan diri mereka lebih tinggi dari kedudukan Nabi sendiri. Mereka percaya bahawa Nabi boleh berbuat salah dan mereka yang benar. Sebahagian ahli sejarah terikut-ikut di dalam membenarkan tindakan sahabat walaupun jika ianya bertentangan dengan perbuatan Nabi atau kadang-kadang menunjukkan bahawa kedudukan ilmu dan ketaqwaan para sahabat adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan Nabi, seperti yang dikatakan kononya Nabi keliru di dalam menyelesaikan masalah tawanan perang Badar dan Umar bin Khatab yang benar, Mereka telah meriwayatkan berbagai hadith palsu yang kononnya Nabi SAWA bersabda:” Seandainya Allah timpakan kepada kita suatu musibah, maka tiada akan selamat melainkan Umar bin Khatab”. Seakan-akan mereka ingin berkata ” Kalaulah Umar tiada maka celakalah Nabi “. Semoga Allah melindungi kita daripada kepercayaan yang salah seperti ini. Demi jiwaku, mereka yang mempunyai kepercayaan seperti ini akan jauh dari Islam sejauh dua kutub barat dan timur. Dia wajib merujuk kembali akalnya atau menghalau syaitan dari hatinya. Allah berfirman:” Maka pernahkan kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya, dan Allah telah mengunci mati pendengaran dan hatinya dan meletakkan tutupan atas penglihatannya. Maka siapakah yang akan memberinya petunjuk sesudah Allah (membiarkannya sesat). Maka mengapa kamu tidak mengambil pelajaran?” (Al-Qur’an: 45: 23)

Demi jiwaku. Mereka yang percaya bahawa Rasulullah SAWA boleh diumbang-ambingkan oleh nafsunya dan lari dari jalan yang benar sehingga pernah membahagikan sesuatu bukan kerana Allah semata-mata, tetapi kerana nafsu dan emosinya, dan mereka yang menghindari dari berbuat sesuatu yang Rasulullah lakukan lantaran menduga yang mereka lebih bertaqwa dan lebih arif kepada Allah dibandingkan dengan RasulNya; orang-orang seperti ini memang sangat tidak layak untuk dihormati oleh kaum Muslimin apalagi menempatkan mereka seperti para malaikat. Lalu menghukumkan bahawa mereka adalah makhluk yang terbaik setelah Rasulullah, dan kaum Muslimin mesti mengikut mereka dan berjalan di bawah naungan sunnah mereka hanya semata-mata mereka adalah sahabat Rasul SAWA. Hal ini bercanggah dengan sikap Ahlul Sunnah Wal Jamaah yang menyertakan semua sahabat di dalam salawat mereka kepada Nabi dan keluarganya. Jika Allah telah tahu kedudukan mereka dan menempatkannya di posisi yang memang layak bagi mereka, lalu memerintahkan mereka bersalawat kepada Nabi dan keluarganya yang suci agar mereka tunduk dan tahu kedudukan Ahlul Bayt yang sebenarnya di sisiNya, maka bagaimana kita kemudian  menempatkan mereka, para sahabat lebih tinggi dari kedudukan keluarga Nabi atau menyamakan mereka dengan orang-orang yang telah diutamakan oleh Allah di atas semua makhluk alam semesta ini.

Aku membuat kesimpulan bahawa Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah yang telah memusuhi Ahlul Bayt Nabi, memburu mereka, dan membunuh mereka berserta para Syiah, dan pengikutnya, mereka ini tahu tentang keutamaan keluarga Nabi dan kedudukan mereka yang tinggi. Jika Allah tiak akan menerima solat seseorang melainkan dengan bersalawat ke atas mereka, maka bagaimana mereka akan memberikan alasan atas permusuhan dan sikap mereka yang lari dari garis Ahlul Bayt? Itulah kenapa kita lihat mereka telah mengiringkan sahabat dengan Ahlul Bayt agar dapat memberikan gambaran kepada orang ramai bahawa antara sahabat dan Ahlul Bayt sebenarnya adalah sama. Terutama sekali jika kita mengetahui bahawa “master mind” mereka yang sebenarnya adalah sebahagian sahabat itu sendiri. Mereka telah mengupah sebahagian sahabat lain yang lemah akan dan karektor atau bahkan golongan tabi’in agar meriwayatkan berbagai hadith palsu tentang keutamaan sahabat khususnya untuk mereka yang pernah menjawat kedudukan khalifah, yang merupakan sebagai sebab utama naiknya mereka – Bani Umaiyyah dan Bani Abbasiyyah ke puncak kekuasaan. Sejarah adalah sebaik-baik bukti atas apa yang aku katakan ini. Lihatkah Umar bin Khatab yang sangat terkenal dengan penguasaannya kepada semua gabenornya dan akan memecat mereka serta merta lantaran suatu keraguan yang dilihatnya, lihatlah betapa beliau sangat berlemah lembut terhadap Muawiyah bin Abi Sufian dan tidak pernah mengawalnya sama sekali. Dahulunya Abu Bakarlah yang melantik Muawiyah sebagai gabenor Syam, lalu kemudian dikekalkan oleh Umar di sepanjang hayatnya. Beliau juga tidak pernah memprotesnya bahkan menegur atau mengecamnya sekalipun, walau banyak pengaduan yang dibuat mengatakan bahawa Muawiyah memakai emas dan sutera yang telah diharamkan oleh Rasulullah SAWA kepada kaum lelaki. Umar menjawab kepada mereka:” Biarkan dia. Dia adala Kisra (Raja) Arab”. Dan Muawiyah terus berkuasa selama dua puluh tahun tanpa ada yang menegur dan memecatnya. Ketika Uthman berkuasa diberikannya lagi wilayah-wilayah lain untuk ditadbirnya, sehingga dia dapat menguasai tidak sedikit dari kekayaan negara Islam dan dapat memobilisasikan kekuatan tentera menentang kepemimpinan Imam Ali. Kemudian secara kekerasan dan dengan tangan besi, dia dapat menguasai semua kaum Muslimin, lalu kemudian memaksa mereka memberikan bai’ah kepada Yazid, puteranya yang fasik dan kaki botol. Kisah Yazid ini adalah cerita panjang yang tidak dapat kita muatkan dalam buku yang ringkas seperti ini. Apa yang penting adalah pengetahuan kita akan mentaliti para sahabat yang duduk di jabatan khalifah dan yang telah menyiapkan secara langsung berdirinya suatu kerajaan Bani Umaiyyah berdasarkan keputusan Quraisy yang enggan menerima Nubuwah dan khalifah di tangan Bani Hasyim. [3]

Kerajaan Bani Umaiyyah mempunyai hak, bahkan kewajipan untuk berterima kepada mereka yang telah menyiapkan untuk berdirinya kerajaannya itu. Paling tidak sebagai ungkapan terima kasih ini adalah mengupah sejumlah “perawi” yang mahu meriwayatkan berbagai “hadith” tentang keutamaan para leluhur mereka dengan mengangkatnya lebih tinggi dari kedudukan Ahlul Bayt, musuh utama mereka. Jika hadith-hadith keutamaan ini dikaji  berdasarkan hujah-hujah syariah da akliah (rasional), maka keabsahannya akan cepat diragukan melainkan jika ada kelainan di dalam fikiran kita dan tidak mampu membezakan antara perkara-perkara yang berkontradiktif.

Sebagai contoh, kita banyak mendengar tentang keadilan Umar yang diceritakan oleh berbagai perawi. Sehingga dikatakan:”Ya Umar, kau telah berlaku adil maka itu kau dapat tidur”. Atau kononnya Umar dikebumikan di dalam keadaan berdiri agar keadilan tidak mati bersamanya, dan berbagai cerita lain yang menarik tentang keadilannya. Namun sejarah yang benar mengatakan kepada kita bahawa Umar ketika membahagi-bahagikan harta Baitul Mal pada tahun dua puluh Hijrah, beliau tidak mengikut sunnah Nabi. Nabi SAWA telah membahagi sama rata antara segenap kaum Muslimin dan tidak mengutamakan satu dari yang lainnya. Begitu juga Abu Bakar di dalam masa kekhalifahannya. Tetapi Umar menciptakan suatu cara baru mengutamakan golongan yang sabiqun (Muslimin senior) di atas yang lainnya, dan golongan Muhajirin Quraisy di atas Muhajirin selain Quraisy, golongan Muhajirin di atas golongan Ansar, golongn Arab di atas bukan Arab, golongan bebas di atas hamba-hamba [4] mengutamakan suku Mudhir di atas suku Rabi’ah dengan memberikan suku pertama tiga ratus dan kedua dua ratus [5] serta mengutamakan suku Aus di atas suku Khazraj [6].

 Di manakah letaknya keadilan dalam sistem kelas seperti ini wahai orang-orang yang berfikir? Kita telah banyak mendengar tentang cerita-cerita Umar. Bahkan dikatakan bahawa beliau adalah sahabat yang paling alim. Kononnya Allah banyak membenarkan pendapat Umar ketika berlaku perselisihan antara Nabi dan Umar, dengan menurunkan ayat-ayat yang menyokong pendapatnya. Namun sejara yang membuktikan kepada kita bahawa Umar banyak menyalahi ayat-ayat al-Qur’an hatta setelah turunnya sekalipun. Ketika seorang sahabat bertanya kepadanya di zaman khalifahnya:”Ya Amirul Mukminin, aku kini janabah tetapi tidak ada air, bagaimana hukumnya?” Umar menjawab:”Jangan solat!” Ammar bin Yasir mengingatkan khalifah agar melakukan tayamum tetapi Umar tidak peduli. Katanya:”Ya Ammar, engkau hanya bertanggungjawab atas tugas-tugasmu sahaja” [7].

Di mana ilmu Umar tentang ayat tayammum yang diturunkan di dalam al-Qur’an? Mana ilmu Umar tentang sunnah Nabi yang mengajarkan kepada mereka bagaimana bertayammum sebagaimana baginda ajarkan mereka tentang wudhu? Di dalam berbagai peristiwa, Umar banyak mengakui dirinya tidak alim bahkan menurutnya semua orang lebih alim dari dirinya hatta orang-orang wanita sekalipun. Beliau juga berulang kali mengatakan demikian,”Kalaulah tiada Ali maka Umar telah celaka”. Sehigga akhir hayatnya beliau tidak tahu hukum Kalalah, yang sering dihukumkannya di zaman pemerintahannya seperti yang dicatat di dalam sejarah.

Mana ilmunya hai orang-orang yang berakal? Kita juga sering mendengar akan kepahlawanan, keperkasaan dan keberaniannya sehingga dikatakan bahawa kaum Quraisy merasa gentar setelah Islamnya Umar, dan agama Islam sendiri menjadi kuat. Kononnya Allah telah memuliakan Islam kerana Umar bin Khatab, dan Nabi tidak menyatakan dakwahnya secara terang-terangan melainkan setelah Islamnya Umar. Namun sejarah yang benar tidak menunjukkan kepada kita keperkasaan dan kepahlawanan itu bahkan sejarah juga tidak pernah menunjukkan kepada kita ada seorang yang dikenal atau orang biasa sekalipun yang dibunuh oleh Umar di dalam peperangan seperti Badar, Uhud, dan Khandak dan sebagainya. Bahkan sejarah membuktikan sebaliknya, di mana Umar pernah lari bersama sahabat-sahabat lain di dalam peperangan Uhud Hunain. Ketika Rasulullah mengutusnya untuk membebaskan kota Khaibar, beliau kembali dalam keadaan kalah. Bahkan di dalam berbagai peperangan sariyyah (peperangan yang tidak diikuti oleh Nabi) sekalipun, Umar tidak pernah menjadi komandan pasukannya. Di dalam sariyyah  terakhir  juga beliau hanya ditunjuk sebagai anak buah kepada Usamah bin Zaid, seorang anak muda berusia belasan tahun. Mana dakwaan keperkasaan tersebut wahai orang-orang yang berakal?

Kita juga sering mendengar tentang ketaqwaan Umar bin Khataba serta rasa takutnya yang amat sangat sehingga menangis kerana takutkan Allah SWT, Konon dikatakan bahawa beliau takut dihisab Allah SWT jika seekor baghal di Iraq sekalipun tersesat lantaran tidak disediakan jalan untuknya. Tetapi sejarah yang benar mengatakan kepada kita bahawa beliau sesungguhnya seorang yang keras dan kasar. Beliau tidak berhati-hati dan malu untuk memukul orang yang bertanya kepadanya tentang suatu ayat Kitab Allah sehingga melukai tanpa suatu dosa yang dilakukannya. Bahkan seorang wanita pernah jatuh dan tergugur kandungannya lantaran melihatnya dengan penuh ketakutan. Kenapa beliau  tidak takut kepada Allah ketika menghunus pedangnnya dan mengancam setiap orang yang mengatakan bahawa Muhammad telah mati. Beliau bersumpah  bahawa Muhammd sebenarnya tidak mati, dia hanya pergi bermunajat kepada Tuhannya seperti yang dilakukan oleh Musa bin Imran. Umar mengancam akan memukul leher setiap orang yang mengatakan bahawa Nabi telah mati [8]. Kenapa beliau tidak takut kepada Allah ketika mengancam akan membakar rumah Fatimah jika orang-orang yang berada di dalamnya tidak mahu keluar untuk membai’ah  (Abu Bakar) [9]. Dikatakan kepadanya bahawa Fatimah ada di dalamnya.”Sekalipun ada”, Jawab Umar.Beliau juga “berani” terhadap Kitab Allah dan Sunnah RasulNya dengan mengamalkan berbagai hukum – di masa pemerintahannya – yang bertentangan dengan nas-nas al-Qur’an dan Sunnah Nabi SAWA [10].

 Nah di mana letaknya warak dan ketakwaan setelah menyaksikan serangkaian fakta yang menyedihkan ini wahai hamba-hamba Allah yang soleh?

Aku ambil sahabat yang besar dan terkenal ini sebagai contoh semata-mataa. Itupun aku ringkaskan sedemikian rupa agar tidak panjang dan biarlah sederhana. Jika aku ingin tuliskan secara terperinci maka ia akan memuatkan berjilid-jilid buku. Seperti yang aku katakan di atas, aku hanya mengetengahkannya sebagaia contoh semata-mata, tidak lebih dari itu.

Apa yang aku sebutkan di atas, hanya segelintir dari peristiwa yang berlaku tetapi ia telah memberikan kepada kita suatu pengetahuan yang jelas tentang mentaliti para sahabat dari sikap para ulama Ahlul Sunnah yang kontradiktif. Mereka melarang setiap orang untuk mengkritik dan meragukan sahabat, tetapi dalam masa yang sama mereka meriwayatkan di dalam berbagai buku mereka fakta-fakta yang boleh menimbulkan keraguan dan kecaman. Kalaulah ulama Ahlul Sunnah Wal Jamaah tidak menyebutkan fakta-fakta yang jelas menyentuh tentang sahabat dan melukai keadilan mereka, maka mereka akan berjasa di dalam menghilangkan segala jenis keraguan dari benak kita.

Aku teringat akan perjumpaanku dengan salah seorang ulama dari Najaf al-Asyraf, Asad Haidar, penulis buku al-Imam as-Sodiq Wal al-mazahib al-Arba’ah (Imam Sodiq dan Empat Mazhab). Waktu itu kami berbicara tentang Sunnah-Syiah. Diceritakannya kepadaku tentang ayahnya yang berjumpa dengan seorang alim dari Tunisia di masa musim haji lima puluh tahun yang lalu. Mereka berdua berdiskusi panjang tentang kepimpinan Amirul Mukmimin Ali bin Abi Talib. Orang alim Tunisia ini mendengar ayahku membilang hadith-hadith yang membuktikan tentang kepimpinan Imam Ali AS dan haknya di dalam masalah khilafah. Dihitungnya sehingga empat atau lima dalil. Ketika selesai, ditanyainya apakah dalil selain ini.”Tidak”, jawabnya. Kemudian dia berkata:”Keluarkan tasbihmu dan mula hitung”. Orang alim dari Tunisia ini menyebutkan dalil-dalil berkenaan sehingga seratus, yang hatta ayahku sendiri tidak tahu”. Syaikh Asad meneruskan:”Jika Ahlul Sunnah membaca kitab-kitab mereka, maka mereka akan berpendapat seperti kami, dan perselisihan ini telah selesai sejak dari dulu lagi”.Demi jiwaku. Sesungguhnya ini adalah kebenaran yang tidak dapat dihindari bagi mereka yang telah membebaskan dirinya dari taksub buta dan setia kepada dalil yang bernas.

Berikan Balasan

Isikan data di bawah atau klik salah satu ikon untuk log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Logout / Ubah )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Logout / Ubah )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Logout / Ubah )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Logout / Ubah )

Connecting to %s